PROSEDUR pemindahan tulang sumsum menjadi ikhtiar terakhir buat Nur Syalia Syarafuddin selepas disahkan menghidap kanser leukemia limfoblastik akut (ALL) sejak tahun 2019.
Beritahu ibunya, Nurul Aida Raduan kepada SinarPlus, pada awalnya, Nur Syalia yang manja dipanggil Ya disangka sudah pulih sepenuhnya selepas sel kanser berjaya ‘direhatkan’ pada tahun 2020.
"Masa itu, saya dan suami sudah nampak keadaannya tak ubah seperti waktu dia sakit dulu. Tak mahu bersangka bukan-bukan, kami terus rujuk ke klinik sebelum Ya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Pun demikian, apa yang dikhuatiri pasangan suami isteri berkenaan benar-benar terjadi. Sel kanser darah dikatakan kembali agresif dan merebak hingga 50 peratus dalam badan.
Sekali lagi, kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu dimasukkan ke Hospital Melaka sebelum dipindahkan ke Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur selepas dikhabarkan keadaannya lebih serius.
Cerita Nurul Aida, dirinya sendiri tidak menyangka anak kelima daripada enam beradik itu boleh berdepan relaps atau penyakit berulang sebanyak dua kali.
"Proses rawatan bermula 21 Mei lalu dan sedikit demi sedikit, saya nampak perubahan akibat kesan ubat. Dia nampak lebih murung, kerap cirit-birit dan tiada selera makan,” ujarnya yang menetap di Kampung Gelam, Melaka.
Lebih memilukan, Syalia berdepan masalah ulser dalam mulut yang sangat teruk sehingga menyukarkannya untuk makan dan minum sehingga terpaksa bergantung kepada tiub makanan.
"Bila sakit berpanjangan, saya nampak dia depresi dan tawar hati. Lebih banyak tidur dan sudah tak seceria dulu. Barangkali Ya rindu nak balik rumah jumpa kakak, abang dan adiknya,” tutur ibu tabah itu.
Atas nasihat doktor, Syalia dibenarkan pulang ke rumah pada Jumaat lalu dan rawatan diteruskan di Hospital Melaka dan HTA Kuala Lumpur setiap tiga kali dalam tempoh seminggu.
Kewangan
Sibuk menguruskan Syalia dan berkampung di hospital hampir dua bulan, Nurul Aida bergantung harap dengan anak sulung dan anak kedua untuk menguruskan adik beradik lain.
Muhammad Rizman Irfan Norizman, 14, dan adiknya, Nurul Qristina Amelia, 13, menjadi tulang belakang buat keluarga sekiranya si ayah terpaksa melakukan trip penghantaran jauh.
"Saya bersyukur anak-anak faham dan masing-masing tahu tugasan yang sudah diamanahkan. Moga ALLAH lindungi kami semua,” ungkapnya penuh sayu.
Tatkala ditanya soal kos yang perlu ditanggung, ditambah masih mempunyai empat anak kecil yang masih bersekolah, suri hati kepada Syarafuddin Ismail, 35, akui, simpanan yang ada sekadar cukup-cukup makan.
Memandangkan suaminya hanya bekerja sebagai pemandu lori manakala dirinya suri rumah sepenuh masa, soal kewangan menjadi isu paling berat.
"Kalau dihitung, semua keperluan perubatan Ya seperti ubat, susu khas, lampin pakai buang dan kos ulang-alik ke hospital setiap minggu dianggarkan mencecah RM400 seminggu,” luahnya tanpa berselindung.
Jika sebelum ini, duit simpanan berjumlah RM50,000 sudah digunakan untuk membeli tujuh botol ubat dengan harga ubat sebotol mencecah RM8,500.
Justeru, Nurul Aida memohon keprihatinan orang ramai untuk membantu meringankan kos yang ditanggung demi memastikan Syalia kembali sembuh sepenuhnya.
"Selain itu, doa buat Ya juga penting supaya dia kembali bersemangat,” katanya yang menanggung lima lagi anak masing-masing berusia dua hingga 14 tahun.
Kepada orang ramai yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 04042021778937 atas nama Syarafuddin Ismail.