RAMAI mengetahui Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin berusaha mendapatkan cahaya mata sulung, Siti Aafiyah menerusi prosedur in-vitro fertilization (IVF).
Namun, pendedahan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tentang sisi pengorbanan penyanyi itu yang tidak diketahui umum mengejutkan dan menyentuh hati.
Pada sebuah sidang media, Tunku Azizah bertitah ketika proses kelahiran Aafiyah, Siti berdepan komplikasi yang hampir meragut nyawanya.
Titah Tunku Azizah lagi, Siti tidak pernah mendedahkan perkara itu kepada umum dan menyifatkan penyanyi itu masih hidup sebagai satu keajaiban.
"Siti masih hidup hari ini adalah keajaiban. Dia tidak pernah beritahu sesiapa, saya ceritakan kepada anda.
"Siti hampir kehilangan nyawa melahirkan Aafiyah," titahnya.
Siti yang mengakui perkara itu menitiskan air mata mengimbau proses kelahiran puteri sulungnya enam tahun lalu. Semua mengetahui perjalanan saya malah saya pernah merakam dan menyiarkannya di saluran YouTube.
"Memang ia satu perjalanan yang sangat mencabar bukan sahaja sebagai seorang wanita tetapi kita sendiri.
"ALLAH kurniakan saya rezeki dari segi kerjaya dan sebagainya tetapi DIA menduga saya dengan cahaya mata.
"Saya percaya kepada rezeki ALLAH. ALLAH akan beri kepada saya tepat pada waktunya," katanya.
Ujar Siti, perkara berkenaan tidak dikongsikan sebelum ini dengan mana-mana pihak.
"Saya (pernah) hadapi komplikasi selepas bersalin pertama kali. Tapi ALLAH selamatkan saya dan ambil keputusan untuk sekali lagi melahirkan selepas itu,” katanya.
Pelantun lagu Bukan Cinta Biasa itu juga mengakui mengagumi semangat Tunku Azizah dan menjadikan baginda penguat semangat berjuang demi zuriat.
"Sebenarnya waktu menjalani kaedah IVF, saya menjadikan Tunku Azizah sebagai idola. Jika saya buat rawatan lima kali, tapi Tunku Azizah menjalani rawatan sebanyak 17 kali untuk mendapatkan zuriat. Masya-ALLAH.
"Perjuangan menjadi seorang ibu bukanlah perkara yang mudah. Baik bersalin normal atau pembedahan, kedua-duanya ada perjuangan dan pengorbanan,” katanya.
Untuk rekod, Siti mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa pada 21 Ogos 2006 dan mereka dikurniakan anak sulung, Siti Aafiyah, 6, pada 19 Mac 2018 selepas menjalani rawatan IVF.
Pada 19 April 2021, penyanyi kelahiran Pahang itu melahirkan cahaya mata keduanya, Muhammad Afwa, 3, yang juga menerusi kaedah rawatan yang sama.
Manakala Tunku Azizah pula dikurniakan cahaya mata sulung setelah melalui 17 sesi rawatan IVF dan menanti selama hampir satu dekad untuk menjadi seorang bonda.
Sumber: TikTok Melodi, TikTok Malaysia Gazzete