Sebak! Pemuda tak pernah sampai Pulau Pinang, beg pula tertukar di stesen bas. Kecekalan sambung belajar runtun hati warganet

Iklan

Iklan
Iklan

KEPUTUSAN permohonan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menyaksikan ramai mendapat tawaran termasuk dari institusi Technical and Vocational Education and Training (TVET) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu politeknik.

Pelajar daripada pelbagai latar belakang ekonomi meraih peluang menyambung pelajaran dalam pelbagai bidang yang diminati.

Iklan

Saat ini juga menyaksikan pelbagai kisah duka dan cabaran ditempuh demi menuntut ilmu. Seperti kisah pelajar baharu berbangsa Cina yang tular di media sosial terpaksa mengharungi pelbagai cabaran untuk mendaftar di sebuah politeknik di Pulau Pinang.

Iklan

Pengguna Facebook dikenali sebagai Zaidil Adha telah memuat naik kisah pelajar yang bernama Lim ZY yang terpaksa mendaftardi Politeknik Balik Pulau (PBU) dari Batu Pahat tanpa ditemani ibu atau bapa.

Zaidil yang merupakan Pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) PBU menerima panggilan telefon daripada bapa Lim yang memaklumkan anak mereka itu terpaksa datang awal sehari ke politeknik susulan kehabisan tiket bas.

"Pada petang Jumaat, seorang bapa menghubungi pejabat saya dengan nada cemas. Dia memberitahu bahawa tiket bas dari Batu Pahat ke Pulau Pinang untuk 27 Julai 2024 sudah habis.

"Pendaftaran pelajar baharu PBU pula dijadualkan 28 Julai 2024, Ahad. Dalam keadaan terdesak, bapa berkenaan membeli tiket pada 26 Julai 2024 untuk Lim.

"Bapa tersebut dengan rendah hati memohon agar Lim dibenarkan masuk asrama lebih awal,” katanya.

Katanya lagi, bapa berkenaan yang kurang berkemampuan terpaksa tidak dapat menghantar anaknya untuk mendaftar dan meminta Zaidil menjelaskan kepadanya cara untuk ke PBU.

"Saya cadangkan supaya Lim naik Grab kerana lebih mudah, namun bapa tersebut kata dia tak cukup duit. Lim terpaksa naik bas Rapid Penang, berjalan kaki 20 minit dari perhentian bas terdekat ke PBU,” jelasnya.

Tersentuh dengan nasib Lim, Zaidil dalam hantarannya meluahkan rasa kagumnya terhadap pelajar itu. Walaupun tidak pernah tiba di Pulau Mutiara atau menaiki bas ekpres berseorangan, Lim berani melakukannya sendirian.

Demi membantu Lim, Zaidil meminta kebenaran ketua jabatan untuk mendaftarkan Lim dengan lebih awal disamping meminta bantuan mengambil kunci asrama untuk pelajar itu.

Keesokan harinya, Zaidil merancang untuk menjemput Lim di perhentian bas supaya dia tidak perlu berjalan kaki namun pelajar itu dalam perjalanan menuju ke PBU dengan menaiki Grab.

Sudah tiba di politeknik namun ada lagi cabaran dihadapi Lim apabila tertukar beg pakaian.

"Lim membawa beg ke tandas perpustakaan untuk menukar pakaian sementara saya menunggunya di luar. Tiba-tiba, dia keluar dengan muka merah, mata berair dan tangan terketar-ketar,” katanya.

Rupa-rupanya, Lim telah tersalah mengambil beg ketika dia turun di perhentian bas namun Zaidil tidak sanggup membiarkan pelajar dalam kesukaran dan menawarkan diri untuk membantu.

Sebaik sahaja berjaya mendapatkan beg pelajar itu semula, mereka singgah sebentar di pasaraya untuk membeli barang keperluan Lim sebelum bergerak pulang ke politeknik.

"Setiap kali mengambil barang, Lim akan mengira di kalkulator telefon bimbitnya untuk memastikan dia tidak melebihi bajet.

"Di kaunter, saya bayarkan semua barang yang dibelinya. Lim tunduk-tunduk seperti orang Jepun mengucapkan terima kasih,” ujarnya.

Sebaik tiba di politeknik, pegawai itu menghantar Lim ke bilik dan tidak lama selepas itu beberapa ahli jawatankuasa berbangsa Cina datang menghulurkan bantuan.

Kisah pelajar baharu itu menyentuh hati ramai. Warga maya rata-rata terharu dengan keprihatinan Zaidil dan kecekalan Lim.

Ujar mereka:

"Terharunya, nampak pelajar tu sangat bersemangat. Terima kasih juga untuk pegawai Hal Ehwal Pelajar tu sebab sanggup luangkan masa membantu."

"Terbaik pegawai Politeknik Balik Pulau."

"Faham sangat keadaan Lim. Terima kasih bos!"

"Sungguh luhur dan terbaik Zaidil Adha. Tahniah kerana menjadi teladan terbaik."

"Semoga berjaya dua insan hebat ini."

"Keprihatinan pihak Encik menyebabkan adik ini tidak berputus asa. Terbaik!"

"Teringat masa sekolah dulu, lepas darjah 6 terus masuk asrama. Jauh dari famili. Keadaan saya seperti Lim. Takut, seronok dan risau semua ada. Sebab tidak biasa di tempat orang dan jauh dari keluarga. Setiap kali call ibu bapa, saya menangis. Alhamdulillah, itulah cabaran yang menguatkan kita hari ini."

"Baca kisah Lim teringat zaman sambung belajar dulu. Saya pun tidak dihantar ibu ayah kerana tidak berkemampuan. Tumpang kereta saudara tolongg hantarkan. Selamat maju jaya Lim. Percayalah, pelajaran mampu mengubah nasib keluarga kita."

"Sebaknya. Moga jadi pelajar cemerlang terbilang. Jangan sia-siakan peluang yang ada. Terima kasih orang baik."

Sumber: Facebook Zaidil Adha