INSIDEN mengerikan yang menimpa Nor Zaidah Ab Rahman pada tahun 2010 benar-benar mengubah 360 darjah hidup wanita berjiwa kental tersebut.
Daripada seorang usahawan makanan dan jahitan yang sentiasa bergerak aktif berkongsi rezeki dengan komuniti ibu tunggal, asnaf dan golongan memerlukan, beliau terpaksa berkerusi roda selepas disahkan seorang kurang upaya (OKU).
Mengimbau semula detik menakutkan itu, Nor Zaidah memberitahu, dirinya tidak menyangka masih hidup meskipun berdepan kemalangan yang hampir meragut nyawanya.
Masakan tidak, kenderaan jenis Proton Iswara yang dipandu ketika dalam perjalanan untuk mengambil anak di sekolah secara tiba-tiba dihimpit oleh tayar belakang sebuah treler sehingga mengakibatkan kedua-dua kakinya terhenyak teruk.
Cerita ibu anak lima itu lagi, beliau berdepan kecederaan parah apabila tulang paha kanan patah empat, manakala pergelangan kaki kiri kritikal disebabkan impak kemalangan tersebut.
Sebanyak 17 prosedur pembedahan terpaksa dilalui Nor Zaidah untuk menyambungkan semula tulang yang patah sepanjang tempoh tujuh tahun rawatan di hospital sama.
Pun demikian ujar wanita berusia 49 tahun itu, tidak semua pembedahan berjaya lantaran berdepan masalah tulang tak bersambung sehingga 'menolak' besi yang dimasukkan pada tulang paha.
"Lagi membuatkan saya jatuh terduduk bila kedai jahitan yang menjadi satu-satunya sumber rezeki musnah dalam satu kebakaran pada tahun 2014,” katanya penuh sebak.
Hilang bisnes dan menanggung kerugian lebih RM200,000 dengan 10 mesin jahit industri musnah sekelip mata, ditambah keadaan masih belum pulih diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga.
Tidak mahu terus hanyut dalam kemurungan, Nor Zaidah akui dirinya kerap mendekatkan diri dengan ILAHI dan mendapatkan nasihat daripada para ustaz yang dikenali.
"Alhamdulillah, ALLAH bukakan jalan dan menerusi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, saya sertai Program 2 Years Exit untuk bina semula perniagaan,” katanya yang berpangkalan di No 33, Lot 1403, Jalan Besar Tanjong Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Tanjak warisan
Benarlah orang kata, usaha keras tidak pernah mengkhianati hasil. Berkat kegigihan dan kreativiti jahitan akhirnya berjaya membawa pemilik jenama Zai Collection berkenaan menembusi pasaran United Kingdom dengan produk tanjak.
Cerita penerima Anugerah Khas OKU 2016 itu penuh semangat, hasil berguru selama sembilan tahun akhirnya beliau dapat menguasai skil membikin lebih 200 berbanding 400 jenis tanjak warisan.
"Pada masa sama, saya juga menghasilkan 20 jenis tanjak kreasi sama ada untuk kain tersedia seperti songket, batik atau bercorak yang boleh disiapkan dalam tempoh 25 minit sahaja,” ujarnya.
Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi mendorong penerima Anugerah Khas Majlis Belia Kuala Pilah 2017 itu meraih pelbagai penghargaan sehingga tersenarai sebagai penerima Pingat Jasa Kebaktian Negeri Sembilan pada tahun 2018.
Untuk rekod, Nor Zaidah juga terpilih sebagai johan Ikon Usahawan Say Lead Pro anjuran Selangor Youth Community dan Ikon RISE Maybank Foundation pada tahun lalu.
Melihat semua helaian portfolio cukup membanggakan tersebut, suri hati kepada Saifulrizal Zahri itu percaya, ia tidak akan berlaku tanpa dorongan suami dan anak-anaknya.
"Saya juga sering nasihatkan kepada ibu tunggal dan golongan asnaf yang mengikuti kelas jahitan atau mana-mana program motivasi, jangan sesekali putus asa walau diuji bah besar sekalipun kerana ALLAH ada.
"Jika tiada tangan, kita masih ada kaki untuk bergerak. Jangan beri alasan tak mahu ubah nasib kerana ditimpa musibah. Percayalah, setiap ujian yang datang sebenarnya memberi 1,000 hikmah,” nasihatnya.