Wanita ini kongsi resipi gulai ayam original Kelantan. Siap 'payung' tip kuah tak hanyir dan berlendir!

Iklan

Uniknya Malaysia ni, dalam satu menu masakan ada pelbagai jenis resipi mengikut selera dan cara masak negeri itu sendiri.

Misalnya dalam penyediaan gulai ayam. Kalau ikut selera utara, rasa rempah yang kuat sememangnya menjadi pilihan mereka berbanding pantai timur yang lebih rasa lemak.

Bila dah menetap di luar dari negeri sendiri, sesekali mesti rindu nak makan masakan kampung kan? Contohnya, nasi bungkus selera Kelantan atau selalu orang panggil Nasi Kak Wok.

Bagi sesiapa yang mungkin sebelum ini tidak berapa mahir memasak menu tersebut, haaa ni ada seorang sahabat kita, Afy Al Habibi di laman Facebook ada kongsikan resipinya.

Bukan itu sahaja, malah beliau juga tak lokek ilmu kongsikan tip supaya bau gulai tak hanyir dan kuah tidak jadi berlendir atau macam ada lapisan jeli kerana kaki ayam. Tunggu apa lagi, jom kita tengok resipi di bawah!

Resipi gulai Ayam versi Kelantan

Untuk peminat sejati nasi bungkus selera Kelantan; cikgu suka benarlah makan begini. Jadi anak rantau pun tetap bawa budaya makan nasi dalam kertas pembungkus di rumah.

Tak nak kuah gulai jadi berlendir atau macam lapisan jeli sebab kaki ayam ni sila ikuti tips diberi di bawah. Bau gulai pun tak hanyir.


Bahan mentah :-

1/2 ekor ayam + 100g kopeh ayam ( tulang/Sisa/lebihan isi ayam)

Bahan tumis:-

5 sekawan

Bahan kisar:-

2 biji bawang merah saiz bola ping pong

1 ulas bawang putih

2 hiris nipis halia

Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Bahan perasa :-

- 1/3 relung kecil nisse

- 1 sudu besar garam bukit (jangan membukit)

- 1/2 sudu kecil perisa Hilal

- 1 sudu besar gula

Cara-caranya :-

1. Tipsnya, rebus asing kopeh, terutamanya kaki ayam. Masa rebus tu boleh letak asam keping dan sedikit garam. Agak-agak separa masak, buang semua air rebusan ini. Lalukan bawah air dan toskan.

2. Bahagian ayam lain pula cuci bersih dan toskan. Bila tengok gambar ni semula ada lemak ayam yang cikgu terlepas pandang nak buang.



3. Panaskan satu senduk kecil minyak, tumis 5 sekawan sehingga naik bau.



4. Kemudian tuang bahan kisar tadi. Tumis hingga kekuningan.



5. Rempah gulai cikgu guna semestinya rempah dari Kelantan. Gunakan sebanyak 3 1/2 sudu besar.

6. Cikgu campur dua cubit dengan serbuk cili.Kiranya cikgu dah tak guna cili kisar. Kalau nak tambah tak ada masalah. Boleh tumis sekali selepas bawang tadi ya.



7. Gunakan api paling perlahan. Biarkan rempah garing seketika sehingga terbit minyak. Cara cikgu memang tak bancuh dulu dengan air sekali. Asalkan jaga api je.



8. Masukkan satu mangkuk air asam jawa(semangkuk air + dua cubit asam jawa).

9. Masukkan perasa, bab citarasa ni terpulang kat tekak sendiri. Tak suka manis langsung usah letak sebiji pun. Kita rai kelainan cara masakan orang lain. Pilihan terbaik di tangan kita.

10. Tutup periuk sekejap. Biarkan sehingga pes pecah minyak. Begini kejadiannya. Cantik pecah minyak. Barulah hasil gulai nanti pun nampak menarik dan tak cepat basi.



11. Kemudian masukkan 1/2 ekor ayam dan kopeh direbus tadi. Masukkan juga air kosong secawan. Kacau sebati. Tutup periuk. Renehkan dalam api perlahan 1/2 jam - 40 minit.

12. Selepas masa mereneh tadi ayam hampir empuk begini.



13. Masukkan santan kelapa 1/3 cawan santan atau 80ml . Duduk sini cikgu banyak guna santan kotak jenama MS je sejak dulu. Santan asli lagilah sedap ya.

14. Tambah air 120-130 mililiter. Ikut atas kepekatan yang diingini. Ni cikgu tambah perasa peringkat kedua untuk rasa lebih ngam dengan kuah. Juga ikut atas selera individu.



15. Benda paling penting juga untuk menaikkan aroma gulai Kelantan, lada solok hijau. Lain macam bau gulai tu nanti. Lepas tu biar lagi dalam 15-20 minit api paling perlahan. Kacau-kacau sesekali.



16. Tutup api selepas kuah gulai memekat & mendidih beberapa kali. Siap!

Perghh hasilnya memang dapat rasa gulai macam beli nasi berlauk di kampung. Masak malam makan pagi esok lagilah sedap terangkat. Jangan lupa bungkus nasi. Nak sedap makan kena guna beras Siam. Letak sambal jantan digabung sekali sambal belacan.



Kasi banjir kuah satu bungkus! Kuah atau nasi mesti salah satunya masih suam panas ya. Baru syok makan untuk rasa ‘nasi bekok’. Bekok = Kembang. Ikat getah. Biarkan 20-30 minit.



Fuhh, buka je ikatan getah tu terus tak sabar nak gaul dan menikmatinya. Kalau suka follow cara cikgu rapat-rapat.

Semoga bermanfaat.