Belum fikir soal jodoh, Scha Elinnea mahu terbang lebih tinggi. Didik peminat jangan pandang remeh soal kesihatan mental

Iklan

NAMA Scha Elinnea boleh dikatakan meledak sekelip mata selepas drama adaptasi novel popular, Nuh & Nayla yang ditayangkan di slot Akasia TV3 mencatat rating memberangsangkan.

Mana tidaknya, pencapaian drama romantis karya Ieya Sya itu menduduki carta nombor satu dalam tayangan di aplikasi perkhidmatan penstriman video tempatan terbesar Malaysia, Tonton.

Iklan
Iklan

Meski sudah membintangi lebih 20 nashkah sentuhan produksi tempatan, tetapi nampaknya karya terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd tersebut antara drama yang memberi impak hebat terhadap kerjaya pelakon jelita berkenaan.

Lebih menyinar, jumlah pengikut di media sosial meningkat secara mendadak dan setiap perkongsian di aplikasi TikTok mencecah lebih 1 juta tontonan.

Iklan

Ketika ditemui baru-baru ini sempena sesi wawancara untuk slot personaliti muka depan SinarPlus, pemilik nama sebenar Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen itu tampil anggun dengan persalinan serba putih.

Iklan

Diiringi pembantu dan jurusolek peribadi, pemegang watak utama sebagai Nayla berkenaan juga ditemani pasukan komunikasi Media Prima Berhad yang tiba pada jam yang dijanjikan.

Seusai sesi penggambaran untuk dua koleksi busana peribadi bersama jurufoto rasmi, Asril Aswandy Shukor di Studio Sinar Harian, Shah Alam, Selangor, satu persatu persoalan dilontarkan kepada empunya badan.

Labur duit

Sambil tersenyum manis, Scha Elinnea yang mesra disapa Scha itu mengakui tawaran lakonan khususnya drama semakin lebat.

"Untuk peminat, jangan terkejut sebab banyak plot twist yang tak disangka-sangka dan pastinya membuatkan anda semua teruja,” katanya yang kini sedang sibuk dengan drama terbaharu, Anak-Anak Mafia terbitan Zeel Production.

Memegang watak aksi sebagai Katrina berbanding karakter sebelum ini yang lemah lembut membuatkan anak tunggal itu perlu bersedia 100 peratus dari segi mental dan fizikal.

Akui agak gementar, namun pada masa sama instafamous media sosial yang memiliki pengikut lebih 537,000 orang itu teruja untuk menjayakan watak gengster yang sudah lama diidamkan.

"Kalau boleh saya akan berikan sepenuh hati untuk nampak lain daripada lain. Demi lebih realistik dari segi penampilan, saya akan cari rujukan yang sesuai untuk watak mafia, selain sanggup potong rambut,” katanya penuh semangat.

Selain Scha sebagai satu-satu watak perempuan, drama di bawah jenama Media Prima Berhad itu turut menggandingkan hero muda seperti Mierul Aiman, Fitri Farok, Fariz Isqandar dan Zhen Ning.

Antara karya filem yang berjaya menaikkan nama peserta program realiti, Master In The House Malaysia berkenaan seperti Marabahaya Underground (2021) dan Seandainya Kau Ada (2021).

Impi pakar kulinari

Biarpun sering dihimpit kontroversi, personaliti berusia 25 tahun itu tetap teguh meranduk arus industri dan melangkah penuh bergaya mewarnai kaca televisyen.

Tidak mahu terus terpalit dengan imej seksi, kini penampilan calon Artis Baharu Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-34 itu lebih sopan.

Tatkala dilontar soalan sama ada Scha sudah mempasakkan impian bergelar anak seni sejak kecil, namun jawapan yang dikongsikan peminat rona hitam, putih dan merah itu agak mengejutkan.

Cerita anak kacukan Melayu Pattani (Thailand) itu, sebenarnya beliau sendiri tidak pernah membayangkan dirinya menempah nama dalam dunia seni sebaik sahaja tamat belajar di peringkat sekolah menengah.

"Nak dijadikan cerita, saya dapat tawaran untuk drama pertama, Mr Grey. Masa itu macam tak percaya bila berjaya dalam uji bakat yang dibuat hanya menerusi video dengan loghat kedah seperti diminta produksi,” ceritanya.

Tanpa berselindung, Scha akui dirinya takut untuk memberitahu ibu bapanya selepas menerima tawaran untuk berlakon sebagai Nurul Jannah dalam drama tersebut.

"Bukan apa, masa itu papa nak sangat saya sambung belajar tapi alhamdulilah mereka beri lampu hijau selepas lihat semakin lama semakin berkembang dalam industri.

Hasrat untuk menyambungkan pelajaran dalam bidang yang diminati bagaimanapun masih tertangguh berikutan tawaran berlakon yang datang silih berganti tanpa henti.

"Mungkin sudah tertulis rezeki saya dalam dunia lakonan,” ujarnya yang handal memasak menu ayam masa merah yang dikuasai ketika belajar di sekolah menengah.

Soal jodoh

Bersembang dengan model cantik setinggi 167 sentimeter (sm) itu menyerlahkan dirinya seorang yang suka menghabiskan masa bersama keluarga jika bercuti panjang.

Momen paling menyeronokkan baginya apabila dapat berkumpul beramai-ramai ketika sambutan musim perayaan terutamanya pada bulan Syawal.

"Memang seronok dan meskipun sibuk, saya akan cuba balik kampung untuk jumpa mereka kalau ada jeda masa panjang sebab nak lepaskan rindu,” ujarnya yang menyimpan cita-cita mahu membawa ibu dan ayah menunaikan umrah di Tanah Suci satu hari nanti.

Sengaja mencuit hati si gadis tinggi lampai dengan soalan tentang jejaka idaman, Scha yang tersipu-sipu malu berkata, dirinya masih dalam sesi perkenalan.

"Si dia perlu nampak kacak maskulin. Jika tidak bergelar artis, mungkin saya sudah bergelar isteri orang kot,” jawabnya sambil ketawa manja.

Tatkala sibuk dengan kerjaya hakiki, tuan punya badan rupa-rupanya sedang berjinak-jinak dalam bisnes berasaskan produk kecantikan dengan jenama sendiri, Drusilla Beauty.

Lip butter, lip matte dan pemerah pipi yang dikaji dan dibuat sendiri berasaskan bahan organik itu diperkenalkan pada November tahun lalu menerusi pasaran TikTok.

"Tak semua termasuk saya sesuai pakai lip matte atau lip butter. Sebab itu, saya nak kongsi produk yang berbaloi untuk semua tak kira umur,” ujarnya yang ligat berjualan busana abaya import dari Dubai ketika musim perayaan Aidilfitri.

Kesihatan mental

Bagi yang mengikuti perkembangan anak jati Kelantan yang dibesarkan di Kedah dan Kuala Lumpur itu pasti mengetahui kisah depresi sehingga beliau berdepan masalah kebimbangan melampau dan kemurungan.

Akui semakin pulih meskipun masih bergantung dengan ubat, Scha memberitahu, bukan mudah sebenarnya untuk keluar daripada titik hitam dalam hidupnya gara-gara stres dan hubungan lampau.

"Lagi satu, sibukkan diri dengan aktiviti yang disukai seperti pergi gim atau berenang. Pilihlah kawan yang betul dan letak famili serta kawan baik terlebih dahulu berbanding pasangan.

"Sebab apa? Kita kena ingat, satu hari nanti pasangan boleh tinggalkan kita begitu saja, tetapi keluarga dan kawan baik tak akan biarkan kita kesusahan,” pesan pemilik kucing Munchkin bernama Loiee itu.

Buat mereka di luar sana yang berdepan isu kesihatan mental, Scha menasihatkan supaya mendapatkan rawatan segera daripada pakar psikiatri bertauliah sama ada klinik kerajaan atau swasta.

"Hanya mereka yang alami sahaja tahu bagaimana rasanya. Jangan anggap kalian keseorangan, dapatkan bantuan dan saya sudi kongsikan nasihat sebaik mungkin,” saran pencinta buku itu.