SEDANG tular di laman sosial pengakuan dua wanita tentang kehidupan bermadu yang dilalui bersama seorang pempengaruh.
Pasangan berkenaan sebelum ini terlihat baik-baik sahaja, malah keakraban menimbulkan kekaguman dan menjadi inspirasi.
Siapa sangka, rupanya ada kisah kurang enak berlaku di sebaliknya. Dua pengguna laman sosial TikTok yang pernah menjadi isteri kedua dan madu itu tampil dengan dakwaan mendedahkan nasib dilalui sepanjang bergelar isteri.
Pendedahan tersebut menerima pelbagai pandangan dan reaksi orang ramai.
Ia juga mendapat perhatian daripada penyampai radio dan pendakwah, Ustaz Tajdid Hadhari yang berkongsi perbuatan tersebut adalah haram,
"Apabila sebut tentang tidur bersama, bahkan dalam 'bersama' tersebut sebenarnya ia tidak boleh. Hukumnya haram.
"Dalam hadis Riwayat At Tabrani, perbuatan tersebut dinamakan sebagai mushaqah atau sihaq.
"Bahkan dalam sebuah hadis Nabi bersabda, janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain. Dan janganlah wanita melihat aurat wanita yang lain. Inikan pula jika melakukan hubungan intim. Tak boleh, hukumnya haram," kongsinya.
Menerusi perkongsian yang sama, Ustaz Tajdid berkongsi pendapat ulama yang menegaskan perbuatan berkenaan tidak dibenarkan.
"Dalam pendapat ulama Ibnu Kudamah, beliau ada menyatakan sekalipun kedua isteri itu reda, suami berkenaan tidur bersama kedua mereka dalam satu selimut dan reda seorang daripada mereka berhubungan intim, dan satu lagi melihatnya itu tidak dibenarkan.
"Ini kerana hal demikian merupakan lambang rendah akhlak, kehinaan dan menjatuhkan maruah. Maka, tidak boleh sekalipun reda keduanya. Namun, jika rumah yang sama, tetapi bilik berbeza maka dibolehkan dengan syarat saiz bilik itu sama.
"Itu yang dinyatakan oleh Ibnu Kudamah. Jadi, janganlah kita terikut-ikut dengan budaya yang bukan budaya kita, bahkan ia melambangkan kehinaan. Walaupun kedua-duanya isteri kepada seorang suami tersebut tapi perlu dijaga adab," ujarnya.
Rakaman penstriman langsung dua wanita itu bertebaran di laman sosual TikTok menimbulkan rasa pilu. Dakwa mereka, bekas suami tidak hanya memukul, malah turut menyeksa wanita itu apabila menuntut cerai hingga sanggup menuduh menghidap HIV selain dipanggil pelacur.
Difahamkan, lelaki itu juga meminta isteri kedua melangsaikan hutangnya berjumlah RM23,000 dan mengugut akan mencari perempuan lain jika tidak berbuat demikian.