Perjuangkan budaya negara melalui fesyen, pereka muda, Afiq Syazani muncul juara Precious Of Malaysia. Bakal beraksi di Paris

Iklan

PERTANDINGAN fesyen Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week (ICFW) yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan pereka muda Afiq Syazani muncul sebagai juara.

Iklan
Iklan

Beliau mengetepikan pesaing hebat iaitu Rashid Moshi yang menduduki tempat kedua sementara tempat ketiga dimenangi oleh UiTM dan Zuramir pula tempat keempat.

Lebih mengujakan, pemenang bagi pertandingan itu akan berpeluang ke Paris pada tahun depan.

Iklan

Untuk rekod, sebanyak 23 jenama berentap dan menampilkan keunikan fesyen masing-masing dalam pertandingan tersebut.

Menurut penganjurnya, Jonathan dan Farel Mikhail dari FM Group, usaha ini adalah untuk terus memartabatkan budaya Malaysia ke luar negara sekaligus memberi peluang kepada pereka muda untuk terus berkarya menghasilkan yang terbaik.

Iklan

"Kami tidak mahu kemenangan mereka hanya berakhir dalam pertandingan ini, sebaliknya kami merancang membawa rekaan mereka ke Paris.

"Kalau ikut perancangan yang disusun dan telah mendapat persetujuan, mereka akan ke Paris pada Jun tahun depan.

"Dalam program itu, para pemenang ini akan bawa rekaan fesyen mereka yang bertemakan budaya Malaysia ini ke sana. Beberapa program telah diatur dan akan diumumkan kelak.

"Ini satu peluang keemasan buat mereka apabila bakal memperkenalkan budaya Malaysia ke Paris. Dalam masa yang sama, pereka fesyen muda dari Paris juga akan menyertai Precious Of Malaysia.

"Jadi, kita boleh nampak perkongsian budaya yang berbeza sekaligus menaikkan imej pereka fesyen muda dari Malaysia,” ujar Jonathan.

Jonathan dan Farel Mikhail ditemui media di acara pertandingan fesyen Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week (ICFW) yang berlangsung di Menara Affin @ Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas mengenai pembabitan luar biasa yang membabitkan penyertaan empat Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia iaitu Universiti Teknologi MARA Shah Alam (UiTM Shah Alam), Taylor’s University, ESMOD Kuala Lumpur dan Kolej Komuniti Selayang, akui Farel Mikhail untuk pertandingan tersebut, pihaknya menerima permohonan dari banyak IPT.

"Untuk anjuran kali ketiga ini, kami hanya memilih empat IPT sahaja kerana mahu lebih fokus dan pentingkan kualiti.

"Insya-Allah, ICFW tahun depan kami akan libatkan lebih banyak IPT untuk menghantar peserta.

"Apa-apa pun kami lihat juga kesungguhan dan rekaan yang bakal ditampilkan. Ini kerana, kami mahukan sentuhan baharu, kreatif dan idea luar kotak terhadap busana tradisional," ujarnya.

Selain jenama-jenama tempatan, wakil dari negara luar iaitu Indonesia dan Filipina turut memberikan saingan sengit.

Bukan itu sahaja, menurut Jonathan, pemenang diberi keistimewaan untuk memperagakan rekaan mereka di hadapan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang mencemar duli hadir ke Malam Gala Precious Of Malaysia yang berlangsung pada 4 Ogos 2024 di Menara Affin @ TRX.

"Koleksi yang dibawa oleh peserta Precious Of Malaysia kali ini sangat mengagumkan. Sebenarnya agak terkejut juga dengan hasil rekaan mereka. Kami sangat bangga dengan pencapaian luar biasa mereka.

"Tambahan pula, kami telah menguar-nguarkan lebih awal tentang pertandingan fesyen ini menerusi media dan media sosial.

"Menang atau kalah, soal itu nombor dua. Apa yang lebih penting adalah masing-masing ada kekuatan dan keunikan tersendiri. Ini secara tak langsung, baik peserta dari dalam atau luar negara, mereka telah menaikkan elemen budaya ke tahap yang lebih tinggi,” ungkap beliau lagi.

Dalam pertandingan ini, hasil rekaan dinilai dari empat sudut iaitu motif, kreativiti, koleksi dan rekaan itu sendiri.

"Hasil usaha mereka dalam memenuhi empat kriteria ini telah memberi gambaran di mana tahap mereka dan sebagai persediaan untuk bersaing secara sihat dengan pereka-pereka fesyen di luar sana.

"Misalnya, kalau lihat rekaan daripada tim UiTM sebenarnya sudah boleh berdiri hebat sebaris pereka-pereka fesyen dalam pasaran,” ulas Farrel.

Apa yang istimewa, Precious Of Malaysia disokong oleh Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Perlancongan, Seni dan Budaya.

Selain itu, antara penaja yang turut serta menyokong acara ini adalah Affin Bank Berhad, Vivo, Pavilion Damansara Heights, MyCar, Sunshine Asia Group, Famous Amos, Ascott Kuala Lumpur dan banyak lagi.

Selain ICFW, Precious Of Malaysia juga akan menganjurkan Hari Tanjak Malaysia bersempena bulan kemerdekaan Ogos ini dan Hari Malaysia pada 16 September 2024.

Hari Tanjak Malaysia yang akan diadakan pada 10 Ogos ini di Pavilion Damansara heights mensasarkan 1001 orang hadir memakai tanjak pada hari tersebut.

Sempena acara ini, turut dianjurkan pameran dan booth bermula 5 hingga 11 Ogos. Orang ramai dijemput hadir memakai tanjak bagi memeriahkan lagi acara.