Jika dahulu, tugas ibu ayah membesarkan anak-anak. Bila mereka dah menginjak dewasa, tanggungjawab mula beralih.
Biarpun ia bukan satu tanggungjawab, tetapi memuliakan ibu bapa juga adalah satu ibadah iaitu tidak sempurna amal ibadah seseorang anak jika beliau mengabaikan kebajikan ibu bapa serta dimurahkan rezekinya dari segi pelbagai cabang.
Menyentuh tentang rezeki, seorang lelaki di laman Facebooknya berkongsi dalam satu perkongsian yang menyatakan bahawa kehidupannya lebih murah rezeki selepas berhenti kerja di bandar kerana menjaga ibu yang sakit.
Tambah Coach Bahar, beliau tidak pernah lupa lapan pesanan arwah ibu ketika masih ada dan masih dipraktikkan sehingga kini.
Jom ikuti perkongsiannya.
Perkara paling best dalam hidup aku adalah ketika mak usap kepala aku, cium dahi, bergurau sambil gelak. Bila mak tiba-tiba tak ada, hati aku remuk, kosong dan macam tak ada haluan. Aku jaga mak, duduk satu rumah lepas kahwin.
Aku tinggalkan Shah Alam, aku tinggalkan bisnes kat sana. Aku balik kampung. Mak cakap" kau nak kerja apa kat kampung ni. Jangan macam tu". Aku senyum aku yakinkan mak yang rezeki kat mana-mana. Tapi aku pun masa tu terfikir apalah yang aku nak kerja. Lepas je aku kahwin aku balik kampung jaga mak. Macam aku yang jaga mak tapi sebenarnya mak yang jaga aku.
Sejak itu aku tinggal di kampung, berulang kerja lebih 150km sehari ke parit raja dari Muar. Selepas itu lebih jauh 300km setiap pagi ke Nusajaya dari Muar. Tapi aku mesti balik setiap hari, jengah mak malam hari kat bilik sama ada tengah mengaji Quran atau sudah tertidur.
Mak selalu nasihat aku. Aku paling ingat tentang rezeki. Mak ulas pasal rezeki ni memang power. Masa tu aku sedang jatuh terduduk gagal dalam bisnes. Aku tak ada apa-apa. Kosong semula.
1. Rezeki yang ditetapkan
Mak cakap" Setiap yang bernyawa pasti ada rezekinya. Setiap seorang tu ada rezekinya dengan tak perlu ambil rezeki dari orang lain. Bayangkan mak sakit pun bila masih hidup ada yang suapkan mak". Allahuakbar menyusup ke hati aku masa tu bila mak cakap macam tu. Jadi jangan pernah risau tentang rezeki kita ni.
2. Rezeki yang digantungkan
Aku tak faham juga apa maksud mak masa tu. Rupanya bila aku semak tafsir Quran surah An-Najm: 39 maka" Tidaklah manusia mendapatkan apa-apa kecuali apa yang dikerjakannya.”
3. Mak pesan. Sesuatu halangan dan cabaran berlaku tu perlulah bersabar. Jika tak boleh sabar kau bersyukur kerana setiap orang yang bersyukur Allah pasti tambahkan rezekinya berlipat kali ganda.
4. Rezeki yang tidak disangka-sangka.
Mana kita tahu rezeki kita hari ni? Biasa yang kita dapat rezeki yang tidak disangka-sangka. Rezeki datang dari pelbagai arah dan caranya.
Rezeki kita jumpa orang baik
Rezeki kita anak masuk universiti
Rezeki kita dapat makan siap orang belanja.
Itu semua rezeki
5. Rezeki kerana istighfar dan berselawat
Mak pernah pesan, doa yang paling sampai ketika kamu berdoa bersungguh-sungguh ketika hujan turun dan sehingga hati kamu bergetar. Ketika segalanya diserahkan kepada kekuasaan Allah maka memperbanyakan hartanya dan rezekinya.
6. Rezeki kerana bernikah
Bila aku cakap nak khawin walaupun masa tu umur aku baru 22 tahun. Mak lah orang yang menyokong. Mungkin masa tu ramai yang terkejut dan rasa belum masanya aku bernikah. Mak dengan tenang cakap" adalah tu rezekinya". Betul mak cakap dalam 7 bulan je aku tunang semua hantaran, kelengkapan kahwin siap. Aku jual kuih raya je tahun tu dapat 70K bersih.
7. Rezeki kerana anak
Selang setahun aku dapat anak. Sampai anak aku sembilan orang. Mak yang paling happy sebab mak cakap" ada tu rezeki anak-anak". Korang bayangkan, setiap anak tu lahir ada perkara besar dalam hidup keluarga kami.
Irfan - aku dapat kerja jadi pensyarah siap jadi ketua jabatan termuda lagi.
Syamilla - aku dapat sambung belajar ke UK
Aina & Aifa - Kemenangan aku dapat anak kembar itu pun satu rezeki besar
Alya - Aku balik Malaysia mulakan hidup baru. Balik dari UK Alya lahir aku dilantik CEO GLC
Iman - Aku mula buka hotel dan kopitiam
Aisyah - Bisnes aku maju dengan pelbagai syarikat
Ikhwan - Aku bangkit dari bisnes yang lama jatuh dan bankrup.
Iqbal - Aku diterima bekerja dan dimuliakan sehingga menjawat jawatan penting yang tak pernah aku impikan. Siap gaji JUSA lagi tu. Masa tu aku fikir, aku pernah terbuang boleh pula naik macam tu. Kalau KEHENDAKNYA semua bukan mustahil.
8. Rezeki kerana bersedekah
"Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada ALLAH, pinjaman yang baik (infak & sedekah), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipatan yang banyak.”
Surah Al-Baqarah: 245
Yang ini memang aku pegang cakap mak. Mak cerita dari aku kecil lagi. Kata mak" kamu tolong orang lain, Allah bukakan hati orang lain tolong mak kat kampung".
Satu keajaiban. Masa aku berulang alik dari UKM ke Muar sebab arwah abah sakit. Ada sekali aku terlambat sampai bas station pudu. Masa tu jam 11 malam. Bus ke UKM tak ada. Aku sepatutnya tunggu esok sedangkan jam 8 pagi ada exam di UKM.
Aku call mak, mak cakap senang je" ada berapa duit dalam poket kau... sedekahkan". Ada anak-anak gelandangan tidur di situ aku belikan nasi. Aku ke surau jumpa orang yang kebetulan naik van nak ke kajang. Dapat aku tumpang. Sampai sekarang aku ingat kisah ni.
Kita ada rezeki kita, anak kita ada rezeki mereka. Jangan risaulah dengan rezeki.
Korang yang baca sampai habis dan share saya doakan dimurahkan rezeki. Perkongsian yang baik juga rezeki kan.
Rezeki datang pelbagai cara dan kadang tanpa kita duga. Malah, sekarang ni pun kita dikurniakan rezeki nyawa untuk hidup, rezeki udara untuk bernafas dan rezeki kesihatan supaya boleh berbakti pada keluarga dan orang tua. Jadi, nikmat apa lagi yang kita semua nak dustakan? Belajar untuk bersyukur dengan sebesar atau sekecil rezeki yang kita perolehi ya!