SAYUNYA! Tanpa disedari sudah genap setahun nahas Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Seksyen U16, Bandar Elmina, Shah Alam. Tragedi cukup menyentuh hati itu mengorbankan 10 nyawa.
Lebih memilukan, laporan akhir siasatan tragedi itu mendedahkan butiran transkrip rakaman suara antara dua anak kapal yang berakhir dengan laungan 'Ya ALLAH'!
Memetik laporan terperinci dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), rakaman kotak hitam perakam suara kokpit berdurasi kira-kira 26 minit
Berikut adalah info penting yang dipetik Sinar Harian:
1-Rakaman berkenaan merekodkan suara dikenal pasti sebagai pembantu juruterbang menyebut 'lift dump unlock, handle illuminated' ketika proses pendaratan.
2-Selepas itu, terdapat bunyi amaran berpunca daripada pengaktifan 'lift dump' dalam tempoh satu setengah saat sebelum kedengaran suara panik dikenal pasti sebagai juruterbang utama.
3-"Woah woah woah woah woah woah woah woah. what's going on? (apa yang sedang berlaku?)," menurut butiran rakaman dalam laporan dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) pada Jumaat.
4-Dalam tempoh 11 saat kemudian, rakaman berakhir dengan laungan 'Ya ALLAH' oleh kedua-dua juruterbang.
Juruterbang:"Ya ALLAH. [jeritan] [Almighty ALLAH.]"
Pembantu Juruterbang:"Ya ALLAH. Ya ALLAH. Ya ALLAH. [jeritan] [Almighty ALLAH. Almighty ALLAH. Almighty ALLAH."
Nahas yang berlaku pada 17 Ogos 2023 itu disahkan berpunca daripada kehilangan kawalan semasa penerbangan disebabkan masalah protokol yang tidak disengajakan.
Siasatan terperinci BSKU mendedahkan punca utama kemalangan adalah peluasan secara tidak sengaja daripada 'lift dump spoilers' yang kemungkinan besar dilakukan oleh pembantu juruterbang semasa melakukan pemeriksaan sebelum pendaratan.
Tindakan tersebut menyebabkan kehilangan daya angkat secara tiba-tiba, seterusnya mengakibatkan kehilangan kawalan yang dahsyat sehingga berlakunya nahas.
Siasatan itu juga mendapati, latihan kru yang tidak mencukupi dan kurangnya kesedaran tentang operasi sistem ‘lift dump’ turut menjadi faktor penyumbang kepada nahas tersebut.
Dalam kejadian 17 Ogos tahun lalu, pesawat berkenaan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas ketika menghampiri Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Mangsa terdiri daripada enam penumpang dan dua anak kapal, serta seorang penunggang motosikal p-hailing dan seorang pekerja e-hailing yang melalui kawasan itu.
Antara mangsa terkorban dalam tragedi itu ialah Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Selain beliau, mangsa lain yang dikenal pasti, Khairil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki, dan Idris Abdol Talib @Ramali.
Dua kru kapal yang juga juruterbang ialah Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim.
BAPA MUHAMMAD HAFIZ REDA, CUCU UBAT RINDU
Selain enam penumpang dan dua anak kapal pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dan penumpang kereta, pekerja p-hailing, Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, adalah salah seorang mangsa yang meninggal dunia dalam nahas berkenaan.
Muhammad Hafiz yang merupakan anak sulung kepada lima adik-beradik kebetulan lalu di lokasi kejadian disahkan maut di lokasi kejadian pada kira-kira jam 2.40 petang.
Setahun berlalu, bapanya, Muhamad Salleh Othman, 58, mengakui sukar untuk melupakan tragedi nahas terbabit dan kehilangan anak sulung daripada lima beradik itu secara tiba-tiba.
"Saya sering terbayang wajahnya biarpun sudah setahun berlalu, kematiannya secara mengejut, amat sukar untuk diterima, namun kami reda, semuanya sudah tertulis," katanya.
Malah beliau juga enggan mengambil tindakan undang-undang berhubung nahas itu.
"Memang ada peguam yang tawarkan untuk lawan tapi bagi hati kami lagi berat jika memikirkan nak lawan (saman), arwah pi (pergi) macam itu, dia tak akan tenang bila kita duk lawan dan mungkin beri masalah pada keluarga...tak payah.
"Sepanjang hayat arwah tak pernah bagi masalah pada keluarga, takkan keluarga nak buat masalah, nak fight (lawan) semua... tak payahlah...Bila ALLAH ambil dengan cara begitu, kita reda," katanya dipetik dari portal berita tempatan.
Bagaimanapun, kerinduan Muhamad Salleh kepada Allahyarham Muhamad Hafiz terubat apabila cucu lelakinya, Shah Haidar yang kini berusia 10 bulan itu dikatakan mempunyai iras seakan-akan arwah semasa kecil.
"Arwah dulu pun sama, semasa kecil suka dibawa ronda naik motosikal, walaupun letih tetapi lega, apatah lagi bila wajahnya ada iras arwah semasa kecil, mungkin ALLAH ubati kesedihan kami dengan cara begini," katanya.
Dalam pada itu, bapa tersebut turut berkongsi rakan arwah yang datang dari Selangor semata-mata mahu menziarahi pusara di Tanah Perkuburan Masjid Al-Huda, Kampung Jerung, Sungai Petani.
"Saya tidak tahu apa kebaikan arwah sehingga rakan sekerjanya dari Selangor datang menziarahi dan buat tahlil di kubur setiap dua atau tiga bulan sekali.
"Saya rasa sebak apabila rakan-rakannya sanggup datang dari jauh dan akan pulang semula pada hari yang sama semata-mata untuk ziarah kubur arwah," katanya.
Sumber: Sinar Harian 1, 2, Harian Metro
Artikel berkaitan:
Kebetulan memilukan, nahas pesawat di Elmina bukan kali pertama, 46 tahun lalu 34 hilang nyawa
8 fakta penting laporan awal nahas Elmina
Allahuakbar, jasad rider maut nahas pesawat terhempas Elmina ditemukan sempurna, keluarga terima berita sayu usai solat Maghrib
Kronologi pesawat terhempas di Elmina, rupanya pemandu Grab tak ambil penumpang sejak jam 2 petang
Nahas Elmina: Seolah tahu akan pergi, pemandu Grab serah gambar kepada anak, WhatsApp bergurau dengan isteri