PEMERGIAN bekas pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah terus diingati.
Baru-baru ini keluarga graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) dengan Kepujian itu menerima kunjungan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Memuat naik foto bersama ibu dan nenek Allahyarham, Md Amin berkongsi ziarahnya itu menerusi Facebook peribadinya, pada Selasa.
"Sedang berada di Miri, Sarawak, saya mengambil kesempatan untuk menziarahi bonda dan nenda arwah Nur Farah Kartini. Rumah mereka betul-betul di tengah bandar Miri, di Kampung Lereng Bukit.
"Kehadiran kami disambut mesra. Kesemua mereka tenang dengan dugaan yang dihadapi dan berdoa agar arwah sentiasa dirahmati ALLAH," katanya.
Bertamu ke rumah bekas pelajarnya, Md Amin berkongsi pengalaman disambut mesra keluarga itu.
"Sempat kami dijamu dengan pisang goreng dari pokok yang ditanam di sebelah rumah mereka.
Inilah budi bahasa orang kita, meraikan tetamu walau sesibuk mana jua.
Perkongsian Md Amin disambut baik warga maya yang rata-rata memuji usahanya menyambung silaturahim dan terus menghulurkan bantuan. Ujar mereka:
"Syukur, Alhamdulillah, Naib Canselor UPSI berjiwa turun padang. Syabas Datuk, alumni UPSI berasa bangga."
"Alhamdulillah. NC yang sangat prihatin dan ambil peduli. Semoga dipermudah segala urusan keluarga arwah Farah. Aminn."
Tidak kurang yang mengakui tersentuh melihat wajah bonda Allahyarham, Salmah Abdullah yang kelihatan sugul.
Terdahulu, Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai selepas menghantar kereta sewa di sebuah taman perumahan di Tanjung Malim.
Allahyarham ditemukan meninggal dunia di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada pukul 6 petang, 15 Julai.
Susulan itu, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Lans Koperal Alif Monjani didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 26 Julai lalu kerana membunuh Nur Farah Kartini.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai Majistret.
Hal ini kerana kes bunuh itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia didakwa melakukan pembunuhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara di antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes seterusnya bagi menyerahkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan telekomunikasi (telco).
Mahkamah menetapkan 30 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Sumber: Facebook