KEHILANGAN seorang jurutera Faizal Ahmad, 39, menyentuh hati ramai. 10 hari tidak pulang selepas keluar bekerja pada jam 4 petang 16 Ogos lalu, keberadaannya menimbulkan tanda tanya.
Sempat memberitahu akan pulang selepas selesai melaksanakan tugasnya itu dalam tempoh dua atau tiga hari, jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Panji, Kota Bharu, Kelantan hilang tanpa jejak.
"Saya tak dapat pastikan tempat dia bekerja tetapi dikatakan di daerah ini (Kota Bharu) sahaja, namun kini sudah 10 hari dia tidak pulang dan telefon bimbitnya pula tidak dapat dihubungi.
"Kalau dia terbaca ini, saya nak beritahu, tolonglah balik.
Suri rumah yang sedang sarat hamil enam bulan itu berasal dari Johor Bharu, Johor manakala suaminya asal dari Taiping, Perak dan mereka sudah enam tahun menetap di Kota Bharu.
Lebih menyentuh hati, sepanjang kehilangan Faizal, anak lelaki sulung mereka yang berusia enam tahun memendam rindu.
"Dia juga bapa yang sangat penyayang dan rapat dengan anak sulung. Sekarang anak kami kerap menangis kerana rindukan bapanya.
"Biasa, dia akan menelefon saya jika telefon bimbitnya bermasalah atau habis bateri, tetapi kali ini terakhir saya dapat bercakap dengan dia hanya pada jam 8.30 malam, 16 Ogos lalu, itu pun hanya perbualan biasa, tak ada yang pelik,” katanya.
Malah ulang tahun perkahwinan mereka pada 16 Ogos tidak dapat diraikan bersama.
"Ya ALLAH jauhkanlah kami daripada perkara-perkara tidak baik, juga daripada mereka yang cuba meruntuhkan dan menjatuhkan.
"Moga pengakhiran kami, pengakhiran yang Engkau redai dan satukan kami di syurgamu nanti ya ALLAH," titip Nurul Ain di Facebook.
Mengakui Faizal suami yang baik dan tiada perselisihan faham sebelum kehilangan, Nurul Ain turut berkongsi butiran lanjut agar lelaki itu segera ditemui.
Individu: Faizal Bin Ahmad
Umur: 39 tahun
Berat, Tinggi: 165 sentimeter/ 73 kilogram
Lokasi terakhir diketahui: Istana Balai Besar Kelantan
Pakaian terakhir dilihat: Baju uniform JPS dan baju T hitam
Tarikh dan waktu terakhir dihubungi: 16/08/2024, jam 8.34 malam
Kenderaan terakhir dinaiki: Yamaha Ego Avantiz nombor pendaftaran DDU4787
Difahamkan, wanita itu telah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu pada Ahad dan berharap agar suaminya pulang dalam keadaan selamat.
"Saya meminta orang ramai yang terlihat suami saya untuk membantu menghubungi saya atau mana-mana balai berdekatan,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian, Facebook