PEJAM celik, lagi beberapa hari sahaja lagi kita bakal menyambut bulan kemerdekaan yang ke-67.
Bersempena meraikan hari bersejarah yang bakal menjelang tidak lama lagi, produk Rasa Suri baru-baru ini menganjurkan program Semarak Kemerdekaan.
Berlangsung meriah pada 17 Ogos lalu di Perkarangan Dewan Komuniti Fasa 18 R13 Putrajaya itu, program tersebut merupakan anjuran bersama Puteri dan Wanita UMNO Bahagian Putrajaya.
Program kemasyarakatan bertemakan Jom Masak Dan Menang Bersama Rasa Suri itu adalah sebuah pertandingan memasak dalam usaha memperkenalkan masakan melayu tradisi kepada khalayak ramai.
Antara masakan warisan tradisi yang menjadi pilihan adalah ayam masak gulai lemak cili api, ayam Masak merah, daging masak hitam dan sambal tumis udang.
Mengulas lanjut mengenai program yang diadakan itu, Pengarah Urusan Rasa Suri, Surazi Jais berkata, pelbagai teknik masakan dan kreativiti ditunjukkan oleh 22 kumpulan yang bertanding untuk menawan hati juri pada hari tersebut.
"Dengan acara sebegini, dapat mencungkil bakat terpendam para peserta di samping memperkenal masakan Melayu tradisi.
"Acara seperti ini hendaklah diteruskan dan sasaran Rasa Suri adalah untuk menjelajah satu Malaysia dengan memperkenalkan masakan tradisi menggunakan produk tersebut," ujarnya lagi.
Selain itu,pihak penganjur turut mengadakan pertandingan mewarna, busana tradisional dan sukan rakyat seperti congkak dan batu seremban yang melibatkan pelbagai peringkat umur.
Penutup bagi program berkenaan disempurnakan oleh Naib Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya. Turut hadir dalam majlis itu adalah Datin Seri Utama Datuk Anggraini Sentiyaki, selaku penasihat bagi Persatuan Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan.