KES pembunuhan bekas graduan Universiti Perguruan Sultan Idris, Nur Farah Kartini terus mendapat perhatian warganet. Dalam perkembangan terbaharu, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada Jumaat menetapkan 7 Oktober untuk penyerahan laporan kimia dan bedah siasat bagi kes Lans Koperal Muhammad Alif Monjani yang didakwa membunuh Nur Farah Kartini Abdullah.
Menerusi tinjauan SinarPlus, ibu Allahyarham, Salmah Abdullah, abang, Muhammad Farizza Azmi, sepupu, Suzur Sofia Smeth Jaya dan beberapa ahli keluarga hadir ke mahkamah.
Dalam sebutan kes hari ini, Peguam Nur Aida Md Zainuddin yang mewakili suspek, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani dalam temu ramah bersama portal berita tempatan mendedahkan tertuduh berusia 26 tahun itu mendapat sokongan penuh daripada keluarganya walaupun ditempatkan di Penjara Sungai Buloh.
Menurut Nur Aida Md Zainuddin, pihaknya sudah menjangkakan tempoh proses laporan tersebut akan mengambil masa yang lama.
"Laporan kimia buat masa ini masih belum siap lagi dan kebiasaanya akan mengambil masa antara dua hingga tiga bulan (laporan keluar).
"Kemungkinan juga tarikh akan datang laporan itu belum siap dan, jika sudah siap baru kita bertindak ikut arahan selanjutnya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan setelah semua dokumentasi pertuduhan lengkap, pendakwaraya akan memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Terdahulu, penetapkan 7 Oktober untuk penyerahan laporan kimia dan bedah siasat oleh dilakukan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri selepas Timbalan Pendakwa Raya, Asma Che Wan memaklumkan mahkamah bahawa kedua-dua laporan itu masih belum siap.
Imbas kembali, Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai sebelum mayatnya dijumpai di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam di sini, kira-kira pukul 6 petang, 15 Julai.
Pada 26 Julai lalu, anggota polis yang bertugas di Perak itu didakwa membunuh Nur Farah Kartini di antara 9 pagi 10 Julai hingga 6 petang 15 Julai.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Sumber: Bernama, Malaysia Gazette