SESEORANG yang terlalu taksub dengan sosial media, kadangkala tidak menyedari perbuatannya itu hanya membuka aib dan ruang orang ramai untuk mengkritik kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi melibatkan ahli keluarga atau pasangan.
Kalau kita lihat, banysk kes aib tersebar di media sosial. Hal tersebut telah dijadikan beberapa contoh oleh seorang pelukis digital, Abeben Studio.
Dalam karya beliau, perbuatan tersebut sebenarnya begitu dekat dan tanpa sedar kita turut sama berbuat demikian.
Oleh itu, dalam perkongsian yang sama, beliau turut berkongsi hadis tentang hal tersebut. Jom ikuti perkongsiannya.
Daripada Ibn Umar R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang muslim, nescaya ALLAH akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi (2032) dalam Sunan-nya)
Menyebarkan aib orang lain, walaupun di sekadar share video, gambar, atau berbalas-balas komen di media sosial, turut dikira sebagai dosa mengumpat. Nabi SAW pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Huzaifah:
"Tidak akan masuk syurga orang yang mengumpat.” (Riwayat Muslim)
Sabda Nabi SAW:
"Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam.
Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan ALLAH telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’.
"Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan ALLAH menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.” Riwayat Al-Bukhari (6069)
Semoga ALLAH tutup aib dan mengampunkan segala dosa kita. Insya- ALLAH.
Jangan suka berkongsi sampai tidak sedar sebenarnya kita dah buka aib seseorang. Ingat, ya!