PELAKON, pengarah dan produser tersohor, Erma Fatima seorang ibu yang penyayang.
Memiliki lima cahaya mata angkat yang sedang meningkat dewasa, sesekali aktres berusia 56 tahun itu berkongsi mengenai anak-anaknya termasuk anak angkat istimewa bernama Citra.
Meningkat usia setahun lagi, Pengarah Terbaik Anugerah Profima 2011 itu sempat menitipkan ucapan buat Citra. Kata Erma, permata hatinya itu terbiasa mengambil berat tentang dirinya.
Malah, ketulusan dan kasih sayang itu membuatnya bahagia.
"Happy Birthday Citra. Anugerah terindah daripada buat aku.
"Setiap hari sebelum tidur dia akan tanya aku"Mama nak kopi?" Dan pertanyaan itu satu kebahagiaan buat aku.
"Tanpa dia sedar, tanpa perlu di paksa, tanpa perlu berpura pura. Itulah keajaiban keikhlasan anak istimewa aku ini.
Lebih menyentuh hati, Erma atau nama penuhnya Fatimah Rahmad Ali mendoakan kesejahteraan Citra dan berharap penghujung hayatnya bersama anak perempuannya itu.
"Mungkin pengakhiran hidup mama nanti di sisi Citra.
"Moga ALLAH memberkati dan merahmati hidup Citra hingga ke jannah," titipnya.
Tidak pernah menyembunyikan tentang kelainan upaya dialami Citra, Erma pernah menjelaskan anak perempuannya itu mengalami masalah kerosakan dalam otaknya dan bukan autisme seperti didakwa ramai.
Ujarnya kerosakan otak dialami Citra susulan pengambilan ubat-ubatan oleh ibu kandung ketika hamil.
Hanya memiliki sebelah tangan, anak angkatnya itu berdikari dan adakala menggunakan kaki untuk melakukan sesuatu.
Rata-rata warganet tersentuh ucapan Erma buat Citra dan mendoakan kebahagiaan hidup anak-beranak itu di samping menitip ucapan hari lahir.
"Moga bahagia selalu Erma dan Citra. Banyak pahala Erma menjaga anak angkat lagi-lagi yang istimewa ini."
"Moga terus berbahagia Erma dan anak-anak."
"Selamat hari lahir Citra. Semoga terus menjadi anak solehah dan sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik berpanjangan."
Selain Citra, Erma memiliki empat anak angkat lain iaitu Syamil Ikhwan, Ahmad Arir, Ahmad Aifin dan Nurain.