Buang rasa takut demi rezeki anak-anak. Ibu tunggal ini teruja jadi duta kecil promosi keunikan Malaysia dengan GRAB

Iklan

BUKAN mudah untuk Azlina Md Shukri bangkit semula selepas berdepan sebuah perpisahan yang cukup memeritkan pada Januari 2019.

Apatah lagi, saat itu beliau bersendirian menanggung tiga anak yang masih kecil.

Iklan
Iklan

Tidak mahu terus menoleh ke belakang, ibu berhati cekal itu tegar keluar daripada kemelut kewangan dengan mencuba sesuatu yang tidak pernah terbayang seumur hidupnya.

Kepada SinarPlus, wanita berusia 50 tahun itu memberitahu, sebelum ini beliau bekerja sebagai pegawai bank dan sudah berkhidmat selama hampir 13 tahun dalam dunia perbankan.

Iklan

Pun demikian, ujian yang datang pada tahun 2018 membuatkan ekonominya mulai goyah.

Iklan

Tambahan pula tekanan kerja yang tidak tentu masa membuatnya nekad mencari kerjaya lain.

"Sebenarnya saya sudah mendaftar dengan Grab sejak tahun 2017 lagi, cuma masa itu belum ada kekuatan lagi sebab fikir banyak perkara termasuk soal keselamatan,” katanya yang menetap di rumah sewa di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Penceraian dan masalah kewangan bagaimanapun menjadi titik tolak buat ibu kepada tiga cahaya mata itu untuk terus memberanikan diri menjana pendapatan sampingan demi kelangsungan hidup zuriat tercinta.

"Pada mulanya, saya hanya bermula dengan lima trip perjalanan saja untuk kawasan sekitar Lembah Klang. Itupun ambil selepas habis waktu kerja dan hujung minggu.

"Memang tak beranilah nak bawa penumpang sampai lewat malam. Paling lama pun saya ambil hingga jam 11 malam sahaja,” ujarnya yang bergantung harap dengan anak sulung untuk menjaga adik-adiknya.

Melihat duit poket yang semakin memberangsangkan saban bulan mendorong anak jati Kedah itu mengambil keputusan drastik untuk menjadi pemandu sepenuh masa pada tahun 2019.

"Lagi satu, kalau kita rajin buat trip memang banyaklah dapat sebab ia bergantung atas permintaan. Sekurang-kurangnya upah sekarang boleh cecah hampir RM2,000 untuk seminggu,” ceritanya penuh ceria.

Duta kecil

Akui Azlina, sebagai pemandu yang membawa label Grab Malaysia, sudah tentunya beliau secara automatik bergelar duta kecil kepada pelancong asing yang bercuti ke ibu kota.

Lebih membanggakan beliau, kebanyakan pengunjung yang pernah menggunakan khidmatnya melahirkan rasa teruja dan menunjukkan hormat yang cukup tinggi sebagai pemandu wanita.

"Itu antara momen yang paling menarik, selain saya menjadi kaunselor dan pendengar setia kepada mereka yang penuh dengan cerita dan kisah warna-warni,” tuturnya.

Bukan sekadar tugas semata-mata, bahkan wanita berjiwa besar itu juga yakin kepercayaan yang diberikan penumpang tidak hanya selamat sampai ke destinasi tetapi selesa dapat meluahkan sesuatu yang terbuku dalam hati.

Menyedari kekangan dan kepayahan para ibu tunggal untuk bangkit selepas kehilangan tempat bergantung, Azlina sempat menitipkan kata-kata motivasi supaya mereka dapat meneruskan kehidupan demi anak-anak dan diri sendiri.

"Jangan terus murung dan merenung kisah silam. Kalau nak menangis hari ini, menangislah sepuas-puasnya. Esok kita buka bab hidup yang baharu. Saya akui memang bukan mudah untuk maju ke depan tetapi kena kuatkan semangat,” nasihat beliau.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang berlangsung semalam, Azlina yang berjiwa patriotisme itu juga teruja apabila menjadi sebahagian hampir 100 peserta Grab Malaysia yang menyertai perarakan tersebut.

"Selalunya kita lihat orang berarak di dataran, tapi kali ini saya bersama mereka. Satu pengalaman cukup menyeronokkan dan kalau boleh nak cuba lagi tahun depan,” ungkapnya penuh berharap.