Bayi 8 bulan maut, pengasuh ada rekod lampau, taska tidak berdaftar. Perubahan penempatan bapa ke Melaka dipercepat 

Iklan

KES menyayat hati si kecil Muhammad Al Fateh Fikry Amri yang maut dalam jagaan pengasuh di sebuah taska di Taman Kelemak Jaya Utama, Alor Gajah, Melaka terus menyentuh hati.

Bayi dinanti selama 13 tahun oleh pegawai tentera, Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, dan isteri, Sabrina Hakiem Zaini, 39, yang bertugas sebagai guru itu maut pada Jumaat dipercayai diperlakukan kejam oleh pengasuh.

Pengasuh didakwa menyumbat botol susu dan menekup muka bayi dengan bantal hingga mengakibatkan kematian.

Malah, suspek berusia 34 tahun itu dikatakan bermasalah dan mempunyai kes lampau.

SEBELUM INI DIJAGA PENGASUH LAIN

Suspek menggantikan pengasuh asal yang bercuti pada hari tersebut.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Portal berita melaporkan ibu kepada tiga anak yang itu baru sehari menjaga bayi berkenaan yang dihantar ke taska itu sejak lima hari lalu dan dijaga pengasuh lain bermula Isnin sehingga Khamis lalu.

Bapa mangsa, Mohd Fikry berkata, maklumat tersebut hanya diketahui selepas beliau mendesak pengurus taska berkenaan menceritakan kejadian sebenar menimpa anak sulungnya itu.

"Mula-mula dapat menerima panggilan telefon pukul 9 pagi, isteri, Sabrina Hakiem Zaini beritahu dia dimaklumkan anak mungkin jatuh tapi itu pun dia tiada kepastian.

"Bila saya sampai dari tempat bertugas di Kem Perdana, Sungai Besi Kuala Lumpur, saya desak pengurus taska supaya menceritakan hal sebenar.

"Selepas itu barulah dia akui memang pengasuh yang menjaga anak saya itu ada masalah dan pernah buat kes sebelum ini.

"Anak saya memang lasak kerana baru pandai merangkak dan bila saya lihat sistem kamera litar tertutup (CCTV) taska ketika kejadian sekitar 8 pagi, mungkin dia tidak suka keadaan itu dan bedung anak,” katanya.

SUSPEK IBU KEPADA TIGA ORANG ANAK

Suspek yang berasal dari Endau, Johor ditahan di taska terbabit kira-kira jam 3.30 petang pada hari yang sama oleh anggota polis Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan direman di Mahkamah Ayer Keroh pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

TASKA TIDAK BERDAFTAR JKM

Pegawai JKM ketika membuat pemeriksaan di taska yang meragut nyawa bayi lelaki berusia lapan bulan di Taman Kelemak Utama di sini, pada Jumaat.


Dalam perkembangan berkaitan, Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Melaka, Datuk Kalsom Nordin mendedahkan taman asuhan kanak-kanak (taska) yang menjadi lokasi insiden tragis Muhammad Al Fateh tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Walaupun sudah lebih tiga tahun beroperasi,ia masih dalam proses mendapatkan surat sokongan pendaftaran.

Namun pihak pengurusan taska sedang mendapatkan sokongan pendaftaran dari Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi aspek keselamatan.

Bagaimanapun, katanya taska berkenaan telah mendapat sokongan daripada agensi yang lain seperti Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah.

JKM BUAT PEMERIKSAAN LANJUT

Taska berkenaan sudah tiga tahun beroperasi.


Susulan kejadian itu, dua kakitangan JKM telah menjalankan pemeriksaan di premis terbabit pada jam 3.30 petang pada Jumaat selain turut dihadiri pasukan forensik polis.

"Unit kanak-kanak (taska) dan Unit Penguatkuasaan JKM hari ini sekali lagi telah melakukan pemeriksaan dan menemuduga pengusaha taska.

"Setakat ini pemeriksaan yang dilakukan, kita tidak pernah menerima sebarang aduan kes di taska ini yang merekodkan kehadiran 10 orang kanak-kanak termasuk mangsa bayi yang meninggal dunia," katanya lagi.

Tambahnya, JKM akan melakukan tindakan Penguatkuasaan LAK (tutup) selaras dengan peruntukan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) selain akan mengenakan tindakan pendakwaan selepas siasatan lanjut dijalankan.

MINDEF BANTU PENEMPATAN BAPA DIPERCEPAT

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata pihaknya akan membantu bapa mangsa, Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur agar boleh tinggal sebumbung dengan isteri, Cikgu Sabrina Hakiem di Melaka.

Beliau berkata, kementerian memahami situasi dialami oleh anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja itu dan isterinya bukan sesuatu yang mudah sementelah pasangan itu telah berusaha selama 13 tahun untuk mendapatkan cahaya mata.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menziarahi bapa mangsa, Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri dan Cikgu Sabrina Hakiem di Melaka.


"Permohonan bagi perubahan penempatan ini akan dipertimbangkan. Namun ia bergantung pada kelulusan pihak berkuasa perkhidmatan pertahanan,” katanya.

Adly juga menambah, pihak kementerian akan memastikan kesejahteraan keluarga dengan memberi sokongan psikologi terutamanya untuk Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri, yang jelas paling terkesan dengan kejadian itu.

Sumber: Sinar Harian, Malaysia Gazette