Mpox atau cacar monyet adalah penyakit viral yang semakin mendapat perhatian global sejak kebelakangan ini.
Sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan Public Health Emergency of International Concern pada bulan lalu, kita dapat lihat media massa terus memberi liputan meluas tentang berita-berita berkaitan di seluruh dunia.
Pada 14 Ogos lalu, WHO mengisytiharkan penyakit itu sebagai kecemasan kesihatan awam global susulan lonjakan kes strain baharu Mpox, Clade 1b, di Republik Demokraktik Congo (DRC) yang turut merebak ke negara-negara berdekatan.
Berdasarkan maklumat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Africa (Africa CDC), hanya terdapat 13 kematian dilaporkan untuk tahun ini daripada jumlah keseluruhan 2030 kes yang direkodkan setakat 1 Mac 2024.
Meskipun kemungkinan berlaku kelewatan dalam kemaskini data, namun demikian, jumlah kematian yang tercatat masih rendah berbanding jumlah kes yang sedia ada.
Kebanyakan kematian berlaku di negara-negara Afrika kemungkinan disebabkan oleh tahap fasiliti kesihatan di sana tidak sehebat negara maju atau negara membangun.
Setakat artikel ini dikeluarkan, terdapat 31 kes disyaki dikesan di negara kita yang mana 25 kes daripadanya disahkan negatif sementara enam lagi masih dalam pemantauan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kes Mpox di Malaysia kekal sembilan kes dengan kes pertama dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan terakhir ialah pada November tahun sama.
Bagi yang pertama kali mendengar penyakit Mpox ini, ia adalah penyakit yang berpunca daripada virus monkeypox, sebahagian daripada genus Orthopoxvirus dan boleh menjejaskan sesiapa sahaja melalui pelbagai bentuk jangkitan.
Menurut Pegawai Perubatan di The Sky KL Clinic, Dr Roland Victor, penyakit tersebut boleh disebarkan melalui kontak rapat.
"Ungkapan kontak rapat itu mungkin mudah untuk ditulis, tetapi kita sendiri harus faham apa terma kontak rapat itu sebenarnya.
"Pertama, melalui kulit dengan kulit. Sekiranya ada kulit yang terbuka, luka dan sebagainya memudahkan virus ini untuk bergerak daripada seorang individu ke individu yang lain.
"Cara kedua melalui air liur, kumuhan atau kahak, cecair badan yang lain seperti alat kemaluan dan dubur.
"Bagi ibu hamil, mereka mampu menyebarkan penyakit itu kepada anak dalam kandungannya. Sama juga ibu yang sedang menyusu bayi kecil, memberi mereka makan atau kontak rapat melalui ciuman dan sebagainya,” jelas beliau.
Selain itu, terdapat golongan berisiko tinggi seperti individu yang mengalami masalah sistem imun yang lemah. Contohnya mereka yang mempunyai HIV atau penyakit autoimun.
Dalam pada itu, Dr Roland turut membuat pencarian di beberapa jurnal dan mendapati bahawa masih tidak boleh memberi sepenuhnya kepastian bahawa virus berkenaan boleh dijangkiti melalui udara.
Namun, ada sesetengah jurnal mengatakan transisi secara pertuturan yakni mulut ke mulut boleh menyebabkan perpindahan virus berkenaan berlaku.
Selain itu, penyebaran melalui peralatan seksual juga boleh menjadi punca seseorang itu dijangkiti. Misalnya, cadar yang digunakan oleh individu yang ada virus tersebut.
Justeru itu, penting buat mereka yang bertugas dalam kerja pembersihan untuk menitikberatkan penjagaan rapi ketika menguruskan hospiliti sedemikian.
Malah, penyebaran juga boleh berlaku melalui haiwan bersaiz kecil seperti tupai, tikus dan sebagainya. Simptom ruam pada badan
Berkongsi lanjut, kata Dr Roland, antara simptom bahawa seseorang itu dijangkiti adalah berlaku ruam pada kulit di bahagian muka, tangan, badan atau di bahagian kemaluan.
"Sebenarnya, ruam ini kebanyakannya berlaku di bahagian kemaluan. Malah, bahagian dalam mulut, kerongkong dan mata turut mengalami situasi yang sama. Gejala seperti demam juga merupakan simptom pertama yang mudah didapati.
"Di samping itu, berlaku pembengkakan di nodus limfa, seperti di bahagian tengkuk, ketiak, di bawah atau tengah celah kangkang,” tambah beliau.
Terdapat juga simptom-simptom lain seperti sakit badan, keletihan dan sakit otot. Malah, ada juga yang sakit di bahagian kemaluan terutama ketika membuang air kecil dan besar.
Biasanya, tempoh inkubasi atau isolasi untuk penyakit Mpox itu mengambil masa lebih kurang satu hingga dua minggu. Ada sesetengah kes jika mengalami demam yang teruk, ruam akan mula timbul.
Namun, ada juga keadaan yang mana ruam itu akan muncul lebih lambat, mungkin di penghujung tempoh tersebut. Biasanya, simptom-simptom ini akan reda dalam masa tiga hingga empat minggu.
"Mungkin pada minggu pertama atau kedua, pesakit akan mengalami demam, rasa tidak selesa, dan sebagainya. Kemudian, ruam-ruam ini akan muncul pada penghujung tempoh tersebut.
"Ruam yang naik di tubuh badan ini mengandungi cecair dan ada juga yang berisi nanah.
"Kemudian, ruam-ruam ini akan membentuk kerak atau kulit mati yang akan mengering.
"Seterusnya, kulit baru akan tumbuh dan membiarkan kulit-kulit hitam itu jatuh dengan sendirinya secara normal.
"Perlu diingatkan, jangan kopek ruam-ruam tersebut sekiranya anda dijangkiti oleh Mpox," ujar Dr Roland.
Tambah pakar itu lagi, perkara paling sensitif yang melibatkan penyakit Mpox itu ialah faktor risikonya. Ini kerana, kebanyakan jangkitan berlaku melalui hubungan intim. Sama ada hubungan intim sama jantina atau tidak.
"Justeru, semua pihak perlu mengambil langkah penjagaan terutama bagi individu yang mengadakan hubungan biseksual.
"Maksudnya, mereka yang terlibat dalam hubungan sulit di luar. Kemudiannya membawa penyakit itu pulang ke rumah dan merebak kepada pasangan.
"Penyakit ini bukan hanya berlaku antara lelaki dengan lelaki sahaja, malah ia boleh menjangkiti sesama kaum wanita.
"Perkara ini boleh terjadi terutama jika mereka menggunakan alat untuk memuaskan hubungan intim.
"Saya harap anda faham bagaimana penyakit ini boleh tersebar,” jelas beliau yang juga merupakan seorang pempengaruh di media sosial.
Kontak fizikal
Tambah Dr Roland, salah satu cara paling mudah untuk mengenal pasti Mpox adalah dengan menggunakan ujian PCR iaitu sama seperti yang kita gunakan semasa COVID-19. Pihak perubatan boleh mengesan dan menjalankan ujian PCR untuk melihat kod genetik.
Jika kod genetik tersebut sepadan, mereka tahu bahawa salah satu punca ialah virus berkenaan.
Selain itu, anda juga boleh menggunakan kaedah tradisional dari segi pemerhatian pada simptom yang dialami. Antaranya pembentukan gelembung atau ruam-ruam pada badan.
"Mengenai isolasi, saya berpendapat ia sama dengan demam campak. Jika boleh, elakkan keluar kerana penyakit ini boleh merebak melalui kontak fizikal.
"Kita juga perlu beri perhatian kepada komuniti yang mempunyai gaya hidup yang lebih ekstrim seperti individu dengan ramai pasangan atau yang terlibat dalam aktiviti seperti pesta liar.
"Dalam keadaan ini, penularan boleh berlaku dengan sangat cepat. Jadi, kita perlu tahu siapa pasangan kita sama kenal atau tidak.
"Dalam pada itu, amalkan penggunaan alat pelindung seperti kondom sebagai langkah pencegahan. Sedikit sebanyak ia boleh membantu,” ulasnya.
Antara perkara penting mengenai Mpox:
- Perlu jalani isolasi di rumah
- Jika pasangan ada simptom, maklumkan kepada mereka supaya mengambil langkah pencegahan. Jangan keluar menghadiri acara atau berjumpa orang lain.
- Disebarkan menerusi migrasi manusia yang bergerak ke luar negara dan balik.
Terdapat beberapa bentuk vaksinasi dan di Amerika Syarikat mereka juga sedang menggunakan terapi off-label. Vaksin yang mereka ada bukanlah vaksin mRNA, iaitu virus dilemahkan dan digunakan sebagai asas vaksin tersebut.
Dirawat secara simptomatik.Contohnya, jika ada demam, pesakit diberi ubat demam. Jika ada batuk, diberi ubat batuk. Jika badan rasa lemah, mereka diberi suplemen seperti B-kompleks.
Gaya hidup yang sihat sudah mencukupi untuk membantu badan melawan jangkitan.
Ini termasuk mendapatkan cahaya matahari untuk vitamin D, serta mengambil makanan tambahan seperti vitamin B-kompleks dan vitamin C, yang sangat digalakkan.
"Ada juga orang yang berminat menggunakan produk semula jadi yang boleh meningkatkan imuniti seperti kunyit dan daun semambu.
Tidak ada masalah dengan penggunaan bahan-bahan itu kerana ia adalah komponen kesihatan asas yang boleh membantu meningkatkan daya tahan badan.
"Semasa pandemik sebelum ini, kita lihat ramai yang menggunakan habbatus sauda, madu, rasam, dan sebagainya.
"Namun, perlu difahami bahawa semua itu bukan ubat yang secara langsung membunuh virus, tetapi ia membantu meningkatkan daya tahan imuniti anda secara keseluruhan.
"Jadi, jika sistem imun anda kuat, peluang untuk melawan sebarang jenis jangkitan akan menjadi lebih baik,” ulas beliau.
Oleh yang demikian, penting untuk tidak terlalu takut atau cemas dengan wabak ini.
Perubatan mungkin kelihatan menakutkan, tetapi ia adalah bidang yang dikendalikan oleh pakar yang tahu cara terbaik untuk merawat dan menguruskan situasi.
Anda hanya perlu memahami simptom, mengenal pasti penyakit dengan betul dan mengetahui langkah rawatan yang tepat.
Paling penting, jangan panik kerana semuanya masih terkawal.