Sedihnya! 4 tahun terputus hubungan, anak temui rangka bapa dalam pangsapuri. 'Tiada siapa tahu, tiada bau busuk'

Iklan
Kredit foto: Sinar Harian, Kosmo

EMPAT tahun tidak disedari meninggal dunia, hanya rangka ditemukan.

Demikian insiden yang menimpa warga emas berusia 74 tahun di Kepong, Kuala Lumpur sekali gus menjawab teka-teki selepas beberapa tahun kelibatnya tidak dilihat penduduk setempat.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, rangka lelaki berusia 72 tahun ditemui anak lelaki mangsa yang datang untuk bertemunya selepas empat tahun mereka terputus hubungan.

Difahamkan, anak lelaki berkenaan mendapati kediaman bapanya berkunci dan gagal dihubungi.

Iklan

"Anaknya bertindak memecahkan pintu rumah berkenaan sebelum menemukan si bapa dalam keadaan hanya tinggal rangka.

"Difahamkan, mangsa tinggal berseorangan selepas bercerai,” katanya.

Iklan

Turut dimaklumkan kali terakhir dua beranak itu berhubung ialah pada tahun 2020.

"Rangka mangsa kemudian diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan dan tempoh kematian sebenar mangsa tidak dapat dipastikan,” katanya.

MAHU PULANG KE KAMPUNG

Sementara itu, tular mesej di media sosial mengenai penemuan mayat warga emas itu yang dikatakan sudah tidak kelihatan sejak empat tahun lalu.

Dalam mesej yang tular mengatakan kejadian itu tidak disedari penduduk setempat kerana mangsa pernah memaklumkan kepada rakan dan penduduk mahu pulang ke kampung sebelum kehilangannya.

"Sehinggakan semalam (Khamis) anak arwah datang mencari dan pihak JMB terpaksa mengumpil kunci untuk melihat keadaan rumah.

Menurut jiran, lelaki berkenaan yang dikatakan pendiam semasa hayatnya diselalu ke surau untuk solat berjemaah dan mengajar kanak-kanak belajar al-Quran.

"Saya akan selalu lalu depan rumah dia untuk hantar anak ke rumah pengasuh, tetapi untuk beberapa tahun ini tidak melihatnya dan tak pernah pula bau (mayat).

"Mungkin asbab amalan dia, aibnya dilindungi atas amalan yang sering dibuat sewaktu ada di dunia ini,” katanya penduduk yang ingin dikenali sebagai Nurina.

TIADA UNSUR JENAYAH

Sementara itu, pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkata, pihaknya mengambil tindakan memecahkan pintu rumah tersebut sebelum menemukan rangka manusia terbaring di ruang tamu.

"Saya ditugaskan untuk pecah pintu itu dibantu anak arwah. Selepas sahaja masuk ke dalam rumah memang nampak bersepah dan lebih terkejut ada satu rangka badan manusia terbaring.

"Keadaan rumah ketika itu lampu masih terbuka, kipas juga sedang berpusing lagi, saya tengok sekeliling duit milik arwah masih ada yang diletakkan berhampiran tilamnya, jadi saya rasa tiada unsur jenayah,” katanya.

Menurut sumber yang sama, arwah tidak pernah lewat membuat bayaran yuran penyelenggaraan sebelum kali terakhir dibuat pada September 2021.