BARU-baru ini tular di laman sosial TikTok dua beradik yang berarak mewakili Malaysia ke European Kids Horseback Archery Championship 2024 di Gauchoux, Perancis.
Sedang negara lain membawa anggota pasukan yang ramai memeriahkan acara pembukaan, pasukan Malaysia menjadi perhatian kerana hanya dihadiri mereka berdua.
Kecil-kecil cili padi, biarpun hanya dua penyertaan dari Malaysia, masing-masing mengungguli kategori yang dipertandingkan.
Bangga penulis melihat si abang, Abdurrahman Ahmad Mu’az, 14, muncul juara bagi kategori bawah 14 manakala adik, Heba Nusaybah, 12, pula meraih naib juara untuk kategori bawah 12.
Ketika dihubungi SinarPlus, ibu yang turut merangkap pengurus, Nurul Fathim Ridayu Ramli, 39, berkata ia adalah kali pertama Abdurrahman dan Heba menyertai kejohanan di Eropah.
Pertandingan itu disertai lebih 110 pesaing dari 16 negara antaranya Perancis, Belanda, Belgium, Indonesia, Brazil, Finland, Poland, England, Sepanyol, Jerman, Afrika Selatan, Switzerland, Turkiye, Amerika Syarikat dan Ireland.
"Terdahulu, paling jauh bertanding pun di Indonesia. Namun demi untuk memberikan pendedahan, kami cuba tahun ini ke Eropah," katanya.
JUAL KUIH RAYA DEMI KEJOHANAN DI EROPAH
Penulis sempat bertanya mengenai kos yang ditanggung memandangkan ia adalah tajaan sendiri. Bagaimanapun, apa yang lebih mengagumkan Abdurrahman dan Heba berusaha keras untuk ke Eropah.
"Saya katakan kepada mereka, jika mahu bertanding di Eropah, mesti usaha lebih cukupkan dana untuk menampung kos.
"Alhamdulillah, Abdurrahman dan Heba membuat jualan biskut raya iaitu Biskut Badam Coklat dan Cornflakes Madu pada Aidilfitri lalu.
"Jumlah keuntungan diperolehi ditambah dengan pemberian daripada datuk dan nenek bolehlah menampung perbelanjaan ke sana yang mencecah RM25,000," kata Nurul Fathim.
ENAM JAM NAIK BAS DAN KERET API
Perjalanan yang dilalui untuk sampai ke lokasi pertandingan juga bukan mudah. Tiga beranak menaiki pengangkutan awam kerana mahu berjimat.
"Dari lapangan terbang Paris ke bandar Limoges naik bas lima jam. Dari Limoges ke bandar Bellac naik kereta api lagi sejam.
"Angkutlah beg semua tiga beranak. Lokasi pertandingan jauh dari bandar Paris. Jaraknya macam Kuala Lumpur dengan Perlis. Makan pun bawa ‘ready-to-eat food’ dari Malaysia. Punya nak berjimat,” ujarnya.
Nurul Fathim juga bersyukur kos penginapan yang mahal boleh dijimatkan apabila pihak penganjur menyediakan kawasan perkhemahan khas dinamakan 'yurt' untuk para peserta secara percuma.
Biarpun penyertaan merupakan tajaan sendiri, kemenangan dan pendedahan yang diterima diperingkat antarabangsa memperkaya pengalaman.
"Alhamdulillah ‘ala kulli hal (atas segalanya). Pengalaman yang mahal tapi berbaloi,” katanya.
LATIHAN HAMPIR SETIAP HARI
Baru dua tahun serius berkuda dan memanah, dua anak muda membuktikan kemampuan setelah berpeluang menaiki podium di negara asing.
Bukan calang-calang anak Melayu meraih kemenangan dalam sukan itu terutama kategori kanak-kanak. Sudah tentu Abdurrahman dan Heba mempunyai kemahiran dan disiplin tinggi.
Baru dua tahun serius berkuda dan memanah, anak muda ini mampu menaiki podium di negara asing.
Bercakap mengenai latihan, Nurul Fathim yang juga berkata kedua-dua anaknya yang mendapat pendidikan di rumah atau 'homeschool' itu berlatih hampir setiap hari pada sebelah pagi dan petang.
Membeli seekor kuda untuk kegunaan anak-anaknya, pemilik Arba Equestrian Archery mengakui latihan yang kerap penting untuk menajamkan kemahiran.
Gembira melihat anak-anaknya seronok mendalami sukan memanah berkuda, Nurul Fathim berharap kedua-dua mereka konsisten dan tidak berputus asa memajukan diri.
"Saya harap mereka lakukan ini (memanah dan berkuda) bukan untuk suka-suka tetapi sunah dan jihad.
"Sentiasa istiqamah berlatih meningkatkan prestasi dan sebagai seorang Muslim, capai tahap tertinggi.
"Semoga lebih ramai lagi yang menyertai sukan ini dan memecah tanggapan ramai bahawa ia hanya untuk golongan elit sahaja," katanya.
Ujarnya sudah tiba masa sukan memanah berkuda membuka peluang kepada peserta muda sebagai pelapis pada masa akan datang.