Kejam! 402 kanak-kanak diselamatkan dari rumah amal popular, ada didedah hubungan songsang buat ramai terkedu. 'Diajar cara meliwat dan...'

Iklan

BERULANG kali penulis membaca kisah ini kerana tidak menyangka ia terjadi di negara kita.

Iklan
Iklan

Seramai 402 orang kanak-kanak diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal dipercayai milik sebuah kumpulan perniagaan bermotif agama di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan pada Rabu.

Lebih menyedihkan, mereka terdiri 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksplotasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik sebuah kumpulan berkenaan.

Iklan

Berikut adalah fakta penting yang dikongsikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain:

1-Dalam Ops Global yang dijalankan jam 6 hingga 11 pagi Rabu itu, pihaknya turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian.

Iklan

2-Menurutnya, individu ditahan terdiri 66 lelaki dan 105 perempuan berusia 17 hingga 64 tahun.

3-Semua mangsa kanak-kanak yang diselamatkan akan menjalani saringan awal pemeriksaan kesihatan di fasilti disediakan sebelum proses dokumentasi akan dilaksanakan di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur yang akan mengambil masa 14 hari.

4-Razarudin berkata, serbuan itu dilakukan susulan laporan polis diterima pihaknya pada 2 September lalu mengenai kes pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak di rumah amal di Port Dickson.

5-Bertindak atas maklumat berkenaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka lapan kertas siasatan iaitu empat di Negeri Sembilan dan empat lagi di Selangor.

6-Dalam kes di Port Dickson itu, enam suspek berusia 20-an hingga 40-an ditahan terlibat terdiri daripada lima lelaki dan seorang perempuan adalah daripada guru agama, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian.

7-Antara modus operandi digunakan, mangsa didedahkan cara meliwat sebelum diliwat penjaga dan dipaksa pula untuk meliwat penghuni lain.

8-Mangsa yang tidak sihat dihalang mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan kritikal.

9-Kumpulan itu juga dipercayai menggunakan kanak-kanak dan sentimen agama untuk menagih simpati bagi mendapatkan sumbangan.

10-Mangsa dicederakan menggunakan objek dipanaskan sebagai hukuman jika melakukan kesilapan dilakukan.

11- Pihak rumah amal juga selain menyentuh tubuh badan mangsa dengan alasan melakukan rawatan secara perubatan Islam.

12-Siasatan OP Global setakat ini menjurus kepada kesalahan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611]; Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [792]; Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] Kanun Keseksaan [Akta 574] dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa.

13-Dalam tempoh 2011 hingga 7 September lalu, polis telah menerima 41 laporan polis terhadap kumpulan perniagaan itu termasuk 19 di Selangor, Negeri Sembilan (13), Perlis (1), Kedah (3),Pulau Pinang (2), Kuala Lumpur (1), Melaka (1), Johor (5),Pahang (2), Terengganu (1) dan Sabah (1)," katanya.

14-Katanya, setakat ini berdasarkan siasatan awal polis mendapati setakat ini tiada ahli politik terbabit dalam kegiatan kumpulan itu.

TIDAK PERNAH KE SEKOLAH

Penduduk berhampiran sebuah rumah amal berkenaan yang diserbu di Puchong, Shamsuri Omar, 65, berkata kebanyakan penghuni rumah amal tersebut adalah kanak-kanak dan remaja wanita yang berusia 13 tahun ke atas.

Difahamkan hampir 80 penghuni wanita di rumah amal tersebut tidak banyak bergaul dengan penduduk setempat dan membuat aktiviti sendiri di premis yang diduduki itu.

Manakala seorang lagi penduduk berkata beliau tidak pernah melihat penghuni rumah berkenaan ke sekolah.

Sementara itu, seorang lagi penduduk tempatan yang enggan namanya dikenali mendakwa, kanak-kanak rumah amal telah diberhentikan sekolah bagi menjalankan aktiviti perniagaan

"Ketika saya jadi pentadbir sekolah di Rawang sebelum ini, ada beberapa remaja perempuan berusia 16 tahun bersekolah di tempat saya.

"Namun daripada lima hari persekolahan, mereka hanya datang sekolah dua atau tiga hari sahaja.

"Pihak kami (sekolah) kemudiannya ada hubungi organisasi tersebut tetapi akhirnya mereka diberhentikan sekolah dengan alasan untuk berniaga," jelasnya.

INDOKTRINASI

Terdahulu, sebuah page di Facebook membongkar modus operandi kumpulan berkenaan yang dikaitkan dengan sebuah ajaran sesat popular suatu ketika dahulu.

Pihaknya mendakwa rumah amal berkenaan menjalankan sistem perhambaan dan penganiayaan terhadap kemanusiaan.

Malah, dakwanya para pemimpin atasan mengamalkan poligami dan bertemu isteri untuk tujuan hubungan intim manakala anak yang lahir akan diletakkan di bawah jagaan rumah anak-anak yatim untuk indoktrinasi.

Rumah amal berkenaan juga dipercayai sumber pendapatan daripada kutipan derma awam.

Sementara itu, pihak rumah amal berkenaan dalam satu kenyataan menafikan tuduhan mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.

Sumber: Sinar Harian 1, 2