Setiap kali keluar makan bersama rakan atau ahli keluarga, soalan makan di mana sentiasa meniti di bibir setiap orang. Keadaan menjadi susah apabila kedai yang disenaraikan mendapat penolakan daripada individu lain.
Kadangkala, soalan ini boleh menimbulkan pergaduhan sampai saat akhir masih belum mendapat kata putus untuk dengan memilih kedai yang sesuai untuk menjamu selera.
Seorang pakar psikoligi klinikal dalam perkongsiannya di laman X menjelaskan tentang istilah psikologi yang dikenali sebagai"The Paradox of Choice (PoC)".
Istilah ini merujuk kepada situasi yang mana terlalu banyak pilihan menyebabkan kesukaran untuk membuat keputusan.
Logiknya, semakin banyak pilihan, semakin seronok untuk memilih. Namun, realitinya tidak begitu.
"Dulu, nak tengok TV cuma ada beberapa saluran seperti TV1, TV2, TV3, 8TV, dan Channel 9. Hidup rasa lebih ringkas.
"Sekarang, ada beratus-ratus saluran seperti HyppTV, iFlix, dan Astro. Akhirnya, kita tetap tengok saluran yang sama. Inilah yang dinamakan PoC," tulis Aiman.
Tambah Aiman, Barry Schwartz menjelaskan PoC dengan tiga konsep mudah. Pertama, kelumpuhan minda (mind paralysis) ketika membuat pilihan.
"Dalam satu eksperimen di pusat beli-belah, terdapat satu gerai menjual 24 jenis jeli. Pelanggan bebas mencuba dan memilih.
"Keesokan harinya, gerai itu menjual hanya 6 perisa jeli. Hasilnya, jualan meningkat 10 kali ganda.
"Ketika inilah berlakunya inner mind paralysis. Disebabkan pilihan terlalu banyak iaitu 24 perisa, pelanggan tidak dapat memilih yang terbaik dan akhirnya memutuskan untuk tidak membeli. Pelanggan lebih mudah memilih bila pilihan terhad iaitu 6 perisa sahaja," jelasnya.
Situasi ini sama seperti yang berlaku pada kita apabila ditanya, minda kita akan membayangkan pelbagai jenis kedai makan di luar sana, sehingga berlakunya inner mind paralysis.
Kita tidak dapat membuat pilihan, dan akhirnya pergi ke kedai yang sama seperti biasa atau membiarkan pemandu membuat keputusan sendiri.
Kedua, pilihan yang terlalu banyak akan melemahkan keputusan kita.
"Analoginya, apabila ditanya tentang ciri-ciri pasangan yang kita inginkan, ramai akan memberi pelbagai kriteria seperti tinggi, berkulit putih, rendah, comel, hormat orang tua, menghargai masa bersama, badan sasa dan banyak lagi.
"Namun, apabila kita bertemu seseorang yang kita suka, walaupun dia hanya memenuhi tiga daripada 10 kriteria yang kita cari, akhirnya kita tetap memilihnya.
"Ini kerana, kita akan kembali kepada dua hingga tiga kriteria asas dan dominan yang kita inginkan, manakala kriteria lain akan ‘dimaafkan’,” Ujar Aiman.
Selalunya ketika diaju soalan berikut, kita akan mempunyai beberapa kriteria yang kita suka seperti sedap, pelayan mesra, cepat siap, murah, tempat selesa dan sebagainya.
Namun, kita sebenarnya mencari kriteria yang sangat spesifik dan akhirnya kita pergi ke kedai yang biasa kita kunjungi iaitu yang memenuhi apa yang kita cari.
Ketiga, terlalu banyak pilihan akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam diri jika pilihan yang diambil salah.
Kita akan sentiasa merasa rugi jika tidak memilih ‘yang ini’ apabila sudah memilih ‘yang itu’.
"Baiklah, kita pergi ke kedai A. Tapi nanti rugilah kedai B ada nasi lemak yang sedap.
"Kita makan di sini. Tapi kedai yang kita lalui tadi, pelayannya mesra.
"Jom makan di sini, murah. Eh, tapi kedai tadi lebih murah jika mengambil menu untuk 4 orang.
"Kesimpulannya, kita memang tidak akan jumpa kedai yang sempurna memenuhi keinginan kita," tambahnya.
Justeru itu, Aiman juga sempat mencadangkan beberapa solusi untuk masalah ini yang mungkin berguna untuk anda:-
1) Senaraikan 3 kriteria utama seperti murah, sedap dan mudah parking.
2) Senaraikan 3 kedai yang memenuhi kriteria tersebut.
3) Fahami bahawa kita tidak akan dapat pilihan yang sempurna. Terima seadanya dan bersyukur dengan apa yang ada.
Jangan serabut,"Less is more”.
Jadi, untuk makan tengahari ni dah fikir ke nak makan mana?