FENOMENA lagu dwibahasa, Oh My Kandhale (OMK) yang semakin trending dan meniti bibir anak muda nampaknya memberi impak luar biasa terhadap populariti Zubir Khan serta Ezra Kairo.
Meski bergelar pendatang baharu dalam industri seni tanah air, namun karya OMK yang juga merupakan gabungan genre muzik Melayu dan Tamil antara pencetus lonjakan kemasyhuran buat anak jati Selangor dan Kuala Lumpur itu dalam sekelip mata.
Mana tidaknya, lagu dan lirik yang ditulis sendiri oleh dua anak muda tinggi lampai itu menerima lebih 4.3 juta tontonan di saluran Youtube, selain mengunguli carta muzik lokal dalam platform digital.
Sesuai dengan sambutan Hari Malaysia yang disambut seluruh rakyat berbilang kaum, SinarPlus mempelawa dua jejaka bersuara lunak tersebut sebagai wajah muka hadapan pada minggu ini.
Tampil bergaya bersama dua pegawai pengiring dan seorang pegawai perhubungan awam agensi, XO House Malaysia, pemilik nama sebenar Daniel Ezra Muhamad Shafiq Nickleson itu penuh santun ketika disambut penulis.
Sementara menunggu ketibaan Zubir Khan yang datang berasingan, Daniel Ezra atau mesra disapa Ezra ramah menjawab satu persatu soalan yang dilontarkan sambil wajahnya dioles rapi jurumekap rasmi kami.
Tatkala ditanya mengenai naskhah duet sulung bersama Zubir Khan yang berjaya menambat hati peminat, Ezra yang berusia 23 tahun itu sangat bangga dengan pencapaian itu.
Boleh dikatakan baru setahun jagung bergelar penyanyi, artis rakaman di bawah label EMI Music Malaysia itu sebelum ini hanya dikenali lagu berbahasa Inggeris.
"Saya akui lagu OMK membawa tuah kepada kami berdua sebagai pendatang baharu dalam industri seni dan pada masa sama, ia dapat menyatupadukan semua rakyat khususnya anak muda,” kata peminat sukan renang itu.Pandangan Ezra turut dipersetujui Zubir Khan. Pada masa sama, pemilik nama sebenar Muhammad Zubir Mohamad Ali itu percaya semua pencapaian tersebut adalah rezeki daripada ALLAH.
Nilai persahabatan
Melihat keakraban persahabatan antara Zubir dan Ezra tersebut, siapa sangka permulaan perkenalan mereka sejak lima tahun lalu sebenarnya terselit satu kisah lucu.
Beritahu komposer berbakat itu lagi, beliau sendiri tidak menduga mereka dipertemukan lagi selepas dua tahun menerusi satu sesi penstriman langsung yang dikendalikan Zubir di media sosial.
Sementara itu, Zubir menambah, ajakan Ezra ketika itu yang mahu bekerjasama menghasilkan lagu bersama termasuk OMK diterima dengan hati terbuka.
"Lagu OMK ini juga ada sentuhan seorang lagi rakan baik kami, Yue Wai Ming. Pada mulanya lagu ini versi Inggeris tapi diubah kepada Melayu dan Tamil,” cerita pelantun lagu Yennode Macha itu.
Kepada satu soalan, Zubir yang berdarah kacukan Melayu-Pakistan itu memberitahu, dirinya mula mempelajari bahasa Tamil secara suka-suka ketika umur 10 tahun lagi.
"Bila ada majlis kahwin, saya suka menyanyi lagu versi Tamil dan Urdu. Kawan-kawan pun tahu saya ada kelebihan itu. Nak dijadikan cerita, selepas habis belajar, saya susah nak cari kerja disebabkan kekurangan pada diri,” ceritanya sedikit emosi.Namun, berkat galakan keluarga dan kawan-kawan yang mahu beliau mencuba sebagai penyanyi untuk lagu-lagu bukan Melayu membuka lembaran rezeki yang cukup luas.
Pengenalan lagu yang diubah sendiri seperti Per Yenne Solle, Thevadhai, Nenji Yenghutu, Marainthe Uyire dan Soga Kathai mencatat jutaan tontonan di YouTube.
Tidak sekadar genius mencipta lagu, Zubir juga merupakan pemain bola sepak yang pernah mewakili pasukan untuk posisi sayap kiri hingga ke Liga FAS.
Dibuli
Kepada kami, Zubir yang merupakan pelakon untuk syarikat produksi drama dan filem lokal Tamil itu tidak lokek menceritakan tentang kisah kehilangan tangan kanannya dalam satu kemalangan ketika usianya empat tahun.
"Tipulah kalau tak ada orang mengejek terutama zaman sekolah rendah, tapi tak semua kerana kebanyakan kawan-kawan sudah kenal saya dari kecil,” ungkap anak bongsu daripada lima beradik itu.Disebabkan kekurangan tersebut, Zubir pada awalnya gemar menyorokkan kecacatan tersebut dengan beg kerana tidak mahu timbul persoalan yang sama.
Namun, beliau akhirnya memberanikan diri untuk menyerlahkan tangannya dan bakat tanpa mengendahkan cakap-cakap orang. Komposer berjiwa cekal itu terus positif demi membina nama sendiri.
Tidak hanya Zubir, Ezra juga pernah berdepan insiden buli hingga menyebabkan beliau trauma untuk menempuh zaman persekolahan.
Tanpa berselindung, graduan Taylor’s University itu mengaku, dirinya hanya mampu bersekolah dalam tempoh seminggu sahaja sebelum berpindah ke institusi lain.
"Saya ambil pendekatan untuk cerita pada emak segala-galanya dan alhamdulillah saya dipindahkan ke sekolah lain,” kata pemegang Diploma Perniagaan itu.Pengertian Hari Malaysia
Tidak sempurna sesi temu bual kami tanpa bertanyakan sambutan Hari Malaysia kepada kedua-dua penyanyi berjiwa patriotisme itu sebelum menamatkan sesi pertemuan pada hari tersebut.
Buat Ezra, Hari Malaysia membawakan pengertian cukup mendalam buat semua kerana anak bangsa dapat bergabung di bawah satu bendera yang disayangi.
"Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia wajar disambut dengan penuh makna sebagai menghargai perjuangan datuk nenek kita dahulu demi mencapai sebuah kebebasan,” tuturnya.
Beliau juga menolak isu perkauman yang sering menjadi modal untuk memprovokasi jiwa anak muda jika komuniti berbilang kaum hidup dengan bersatu.
"Saya dikelilingi kawan Melayu, Cina dan Pakistan. Semuanya baik-baik belaka. Percayalah, kita semua manusia dan akan kembali ke tanah jua. Jadi, kembalilah kepada asas dan tak salah berkawan dengan semua tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama,” sarannya.
Begitu juga Zubir yang bersetuju dengan pandangan berkenaan seraya berkata, dirinya sendiri tidak terkesan dengan elemen provokasi yang sering menjadi konten di media sosial.
"Sewajarnya tak patut wujud pemikiran seperti itu sedangkan Malaysia adalah tanah air kita yang patut dibela sebaiknya. Alhamdulilah kawan-kawan saya memang tak ada macam itu,” kata Zubir sambil tersenyum.