'Tak boleh lupa jasa mamy' – Anak kenang pengorbanan Didie Alias, urus arwah ayah meninggal dan sahabat sejati Amyza Aznan

Iklan

DALAM hiruk-pikuk dunia hiburan yang sering dipenuhi cerita sensasi, sesekali muncul kisah yang membuatkan kita berhenti sejenak, bukan kerana kontroversi, tetapi kerana nilai kemanusiaan yang begitu tulus.

Nama Didie Alias menjadi sebutan kebelakangan ini apabila keprihatinannya terhadap sahabat baik, Amyza Aznan, yang kehilangan anak, meraih perhatian ramai.

Iklan
Iklan

Tanpa perlu diuar-uarkan, Didie itu dilihat setia berada di sisi Amyza dalam tempoh yang cukup berat itu. Sikapnya yang sentiasa hadir ketika sahabat diuji membuatkan ramai tersentuh dan memuji keikhlasannya.

Lebih mengharukan, sisi sebenar pelakon itu turut dikongsikan oleh anak perempuannya, Nur Dhaniyah Mohd Ridzuan, menerusi hantaran di Threads. Coretan tersebut membuka ruang untuk orang ramai melihat siapa Didie di luar pentas dan kamera.

Iklan

Menurut Dhaniyah, ibunya bukan jenis yang memilih bulu apabila melibatkan soal ziarah dan kebajikan. Sama ada kenalan rapat, saudara-mara mahupun individu yang tiada pertalian keluarga, selagi mampu, Didie pasti akan datang menziarahi jika dimaklumkan tentang kesakitan atau musibah.

Iklan

“Sesiapa pun yang sakit, kalau dia boleh sampai, memang dia akan datang,” kongsinya, ringkas tetapi cukup menggambarkan prinsip hidup wanita itu.

Sifat bertanggungjawab itu juga terserlah ketika keluarga mereka sendiri diuji. Dhaniyah mengimbau detik pemergian bapanya apabila Didie mengambil alih urusan jenazah sepenuhnya. Dalam keadaan anak-anak yang masih terkejut dan hilang arah, Didie tampil menguruskan segala hal berkaitan arwah bekas suaminya.

"Masa arwah ayah meninggal pun Mamy yang uruskan A to Z. Kita orang anak-anak lost dah masa tu, memang total lost.

"Dia lah yang menguruskan jenazah ayah padahal ex-husband dia ni… tak boleh lupa jasa Mamy bahagian ni," ujarnya.

Bagi Dhaniyah, pengorbanan itu bukan perkara kecil dan menjadi antara jasa terbesar yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Doa dan pujian membanjiri ruangan komen

Perkongsian tersebut pantas mengundang perhatian warganet.

Ruangan komen dipenuhi kata-kata positif yang rata-ratanya memuji keperibadian pelakon drama Seribu Tahun itu.

Antara komen yang ditinggalkan termasuklah:

“Dia memang seorang yang sangat berhati baik. Semoga Allah sentiasa lindungi dia.”

“Inilah sahabat sejati, sentiasa ada waktu susah dan senang.”

“Daripada dulu saya perhatikan, cara dia menghargai kawan memang lain macam. Ikhlas.”

“Semoga segala kebaikan Mommy Didie dibalas dengan ganjaran yang indah.”

“Everyone needs a friend like her.”

Ada juga yang berkongsi pemerhatian bahawa Didie bukan sahaja kuat sebagai ibu, malah kental menghadapi pelbagai ujian hidup tanpa pernah menghilangkan sifat empati terhadap orang lain.

Melihat gelombang doa yang tidak putus-putus itu, Dhaniyah meluahkan rasa sebak dan terharu. Dia mengucapkan terima kasih atas setiap doa yang dititipkan buat ibunya dan berharap segala kebaikan tersebut kembali kepada semua yang mendoakan.

Di sebalik karakter ceria yang sering mencuit hati penonton, jelas terpancar sisi seorang wanita yang menjadikan empati sebagai prinsip hidup, bukan sekadar kata-kata, tetapi dibuktikan melalui tindakan.