SEKOLAH ibarat rumah kedua bagi murid manakala para guru pula bagaikan ibu ayah yang mendidik dan menjaga.
Erat ikatan bagaikan keluarga, tidak hairanlah ada murid menitiskan air mata tatkala terjadinya perpisahan mahupun persaraan dengan guru yang disayangi.
Baru-baru ini tular di laman sosial seorang guru, Zainun Zahari, 46, menjejaki bekas muridnya bernama Putri Alyaa.
Nota perpisahan yang dimuat naik Zainun meruntun hati warganet. Beliau yang dihubungi SinarPlus berkata, kenangan pertukaran penempatan lapan tahun segar diingatan menyebabkan beliau berusaha menjejaki kembali murid bernama Putri Alyaa itu.
"Ketika itu saya hadapi pertukaran sekolah. Saya mohon pindah ke Terengganu kerana mengikut suami bertugas di sini," ujarnya.
Bait kata-kata pada warkah perpisahan yang dikarang murid berkenaan menggambarkan kesedihan yang dirasakan tatkala ustazah tersayang.
"Walaupun hadiah pemberian ini kecil, hanya Tuhan yang mampu membalas sebesar mana hadiah kepada Ustazah.
"Kita tahu Ustazah bertukar ke sekolah lain. Tetapi Ustazah mesti ingat satu perkara!
"Perkara itu ialah Ustazah jangan lupakan saya. Sampai di sini sahaja ucapan saya. Putri Alyaa," katanya.
Dalam hantaran yang tular hingga menerima 5,000 share itu, Zainun berkata pemberian Putri Alyaa sangat bermakna buatnya.
Lapan tahun berlalu, kenangan yang terukir di sebuah sekolah rendah Kota Bharu segar dalam ingatannya. Sebekas karipap dimasak ibu dan sekeping warkah yang sudah berubah usang menyentuh hati pendidik itu.
"Mencari Putri Alya. Anak murid saya yang seorang ini tak tau kenapa bagaikan ada sesuatu yang sentiasa membuatkan saya mencari-cari di mana dia sekarang.
"Semasa saya berhijrah dari Sekolah Kebangsaan Datu Hashim, Putri hadiahkan saya sebekas karipap yang sangat sedap dan dengan air mata yang berlinang.
"Dia agak manja dengan saya duhulu. Saya tidak beritahunya akan berpindah tetapi akhirnya dia tahu juga.
"Cikgunya pula bukan seorang yang suka bergambar, jadi tiada gambar kenangan bersama Putri. Putri baru darjah dua atau tiga masa tu. Saya simpan nota kasih daripada Putri sampai sekarang bersama bekasnya sekali.
"Walau hanya sebekas karipap yang dihadiahkan mungkin keikhlasan dan ketulusannya mengikat hati saya kepadanya.
"Percayalah, bukan kebendaan yang menjadi nilai tetapi keikhlasan dan ketulusan hati," luah Zainun di laman sosial Facebook.
Dalam pada itu, guru subjek Pendidikan Islam itu mengakui mereka berdua mempunyai hubungan akrab sementelah personaliti anak muridnya yang manja.
Zainun juga meminta warganet mengesan Putri Alyaa.
"Putri Alyaa sebenarnya memang rapat dengan saya dulu. Agak manja.Notanya tu saya simpan dan saya ulang baca. Setiap kali baca tu, perasaan saya kuat untuk mencarinya sehingga saya post tentang pencarian saya.
"Sesiapa yang ada maklumat tentang Putri Alyaa boleh PM saya ya. Saya hendak bertanya khabar. Rindu seorang guru terhadap murid manjanya dulu. Saya sayang semua murid saya," katanya lagi.
Dengan kuasa viral laman sosial, dalam masa dua hari sahaja Zainun mula menerima beberapa mesej mengenai Putri Alyaa dan usaha menjejaki bekas anak muridnya itu makin menjadi kenyataan.
"Saya sudah jumpa Putri Alya. Ada beberapa individu yang DM saya dan cuba membantu sejak hantaran di Facebook saya mula diviralkan.
"Tapi ada mesej yang saya rasa hampir kepada jawapan tepat. Petang semalam (Ahad) salah seorang ibu kepada kawan Putri Alyaa mesej saya menerusi FB dan berikan saya maklumat tentang Putri untuk saya sahkan.
"Walaupun masih samar disebabkan saya tidak memiliki maklumat lengkap Putri Alyaa, saya rasa itulah orangnya. Sebaik sahaja saya lihat gambar yang dikongsi, saya tahu itulah Putri Alyaa yang saya cari- cari." katanya.
Ujar Zainun, anak kecil yang diajarnya dahulu kini sudah mencecah usia 18 tahun. Mengakui sudah berhubung dengan keluarga bekas muridnya itu, Zainun berkata mereka sedang menunggu masa yang sesuai untuk bersua.
"Saya sudahpun berhubung dengan Putri Alyaa namun sayangnya peluang untuk bertemu mata belum tiba atas kekangan tertentu pada pihak saya.
"Untuk memgesahkan lagi, kami berhubung menerusi panggilan video. Manalah tahukan penat-penat menangis, rupanya salah orang. Alhamdulillah betul dialah orang yang saya cari-cari. Subhanallah, hampir rasa mustahil untuk menemui (Putri Alyaa) semula jumpa sebenarnya.
"Ia luar jangkauan. Hantaran saya tentang pencarian Putri Alyaa diviralkan sebegitu rupa oleh orang ramai yang sangat prihatin dan bersemangat membantu bahkan dimuat naik semula di platform di media sosial lain juga.
"Terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan atas doa, dorongan dan ucapan daripada semua pihak.
"Saya baca satu persatu komen dan perkongsian anda semua. Terima kasih atas keprihatinan dan perkongsian semua. Saya juga mohon maaf, tak dapat kongsi sebarang gambar buat masa sekarang disebabkan kami belum sempat bertemu.
Dalam pada itu, beliau kini yang menetap di Terengganu menitipkan syukur selepas usaha dilakukan membuahkan hasil.
"Sepanjang 19 tahun menjadi guru termasuk di sekolah swasta, tentunya tidak terakam bilangan murid saya.
"Namun saya percaya, setiap murid mempunyai keistimewaan dan kisah tersendiri. Saya sentiasa doakan kejayaan setiap murid yang pernah hadir dalam hidup ini. Semoga mereka berjaya dan cemerlang dalam apa jua bidang mereka ceburi.
"Saya doakan juga semoga ALLAH memperkenankan segala doa dan impian kalian semua yang banyak mendoakan pertemuan saya dan Putri Alyaa.
"Semoga kita semua dianugerahkan kejayaan di dunia dan akhirat. Terima kasih rakyat Malaysia," titipnya.
Sementara itu, warga maya yang mengikuti pencarian murid kesayangan Ustazah Zainun itu di pelbagai platform mengakui tersentuh dan sebak. Tidak kurang yang meluahkan ingin melihat wajah terkini Putri Alyaa apabila kedua-dua bertemu nanti.
Ujar mereka:
"Alhamdulillah Ustazah. Moga hubungan silaturahim Ustazah dengan Putri Alyaa terus berkekalan."
"Semoga kalian dapat bersemuka semula."
"Cinta murid kepada gurunya. Semoga dipermudah dan dipertemukan kembali insya-ALLAH."