PEMERGIAN Ketua Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Ustaz Safri Muhammad Zein, 48, pada kira-kira jam 9.50 malam merupakan kehilangan besar.
Bertanggungjawab ke atas kajian My #QuranTime 1.0 dan 2.0 yang disiarkan menerusi tiga stesen televisyen sejak tahun 2020, Allahyarham juga tenaga pengajar bahasa Arab dan al-Quran di Kumpulan Karangkraf sejak tahun 2014.
Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub mendedahkan sepanjang khidmat, pendakwah itu meninggalkan hasil kerja yang menjadi ladang pahala.
"Tak terkira pahala yang terkumpul," kongsinya di Facebook.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff sempat berkongsi coretan mengenai arwah yang disifatkan sebagai kehilangan besar buat organisasi itu.
"Satu kehilangan yang amat sangat. Tiada lagi orang yang saya akan cari setiap kali ingin bertilawah, tazkiyah, difahamkan dan mencari hikmah daripada al-Quran dan sunah.
"Perjumpaan akhir kita di Masjid Darul Ehsan SS15, Sabtu lepas, brainstorming Surah Al Hajj dan As Saff dalam keadaan sakit gigi yang teramat, Ustaz tetap berikan komitmen untuk menyelesaikan content.
"Pagi semalam, kami menunggu ustaz untuk sampaikan tadabbur, rupanya telah dibawa ambulans ke hospital dan ditidurkan. Ketika saya sampai seiring azan Isyak di hospital, ustaz sedang bertarung nyawa.
"Pecah berderai hati ini, seperti puing-puing halus yang berterbangan. Berserakan. Namun pastinya kasih sayang ALLAH mengatasi semua kasih di dunia.
"Surah Al Mulk pun yang kita sudah bincangkan isinya belum sempat dilaksanakan ketika isu tanah jerlus berlaku. Antara renungan penting adalah tentang keberkatan, kematian dan amal baik," ujarnya.
Kongsi Marhaini, Allahyarham yang merupakan graduan Sarjana dalam bidang Syariah Ulumul Quran dari Universiti Tripoli, Libya terdahulu sempat bertemu ibu tersayang di kampung halaman.
"Ustaz pergi setelah selesai tentang Wellness #QuranHour yang disampaikan dalam keadaan sakit gigi dan tidak sihat setelah kembali menziarah emak di Medan bersama isteri dan anak-anak.
"Ustaz beritahu hendak sangat berjumpa emak kerana bimbang tidak sempat bertemu. Saya sangkakan saat itu, ia tentang mak yang semakin dimamah usia dan akan melakukan perjalanan jauh mengerjakan umrah dengan biaya dihadiahkan ustaz untuknya.
"Rupanya ustaz yang pergi, meninggalkan kami semua," kongsinya.
Dalam pada itu, Marhaini turut berkongsi kebaikan yang dilakukan Allahyarham Ustaz Safri dan keperibadiannya yang menyentuh hati. Malah wajah Allahyarham juga dikatakan bersih.
"Berehatlah duhai pembawa panji-panji al-Quran yang memimpin kami tanpa henti dengan mutiara-mutiara al-Quran dan hikmahnya.
"Ustaz yang sentiasa ada waktu untuk al-Quran dan kami, halus bahasanya, baik budi pekertinya, amat pemurah dan senang menolong. Amat bertanggungjawab dan membaca lebih 20 tafsir untuk setiap episod My #QuranTime dari tahun 2020.
"Saya cemburu. Kematian ustaz yang menghidupkan. Tidak akan kami sia-siakan perjuangan ustaz, sampai mati. Biiznillah. Berehatlah setelah lelahmu yang panjang di dunia. Amat banyak pencen kubur ustaz insya-ALLAH," kongsinya.
Memetik laporan Sinar Harian, Ustaz Safri Muhammad disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.50 malam tadi selepas dimasukkan ke hospital kerana mengalami sakit gigi yang teruk dan pitam.
"Keadaan kesihatannya mula merosot dan mengalami batuk menyebabkan doktor mengambil keputusan untuk menidurkannya jam 5 petang tadi,” kata isterinya, Rusamiah Ismail, 51.
Ujarnya, doktor mengesahkan jantung arwah terhenti dan pihak hospital terpaksa melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebanyak lima kali sebelum dia disahkan meninggal dunia.
Difahamkan, Allahyarham yang berasal dari Medan, Indonesia turut meninggalkan tiga orang anak yang berusia 15 hingga 20 tahun.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Bukit Kuda dan akan disempurnakan di Masjid Kampung Kuantan, Klang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cemerlang.
Sumber: Facebook, Sinar Harian