MUNGKIN anda pernah berhadapan dengan situasi nak makan, tetapi tidak disediakan sinki atau anda sebenarnya malas nak bangun dan basuh tangan.
Oleh sebab itu, ada yang mengambil jalan pintas dengan menggunakan air peluh pada gelas atau botol air sejuk dengan harapan air itu mampu bersihkan tangan anda untuk menjamu selera.
Tahukah anda, air peluh dari gelas atau botol itu sebenarnya air kondensasi? Kondensasi ialah proses pertukaran air daripada bentuk wap kepada cecair, iaitu wap air di udara bertukar menjadi air apabila wap tersentuh permukaan luar gelas yang sejuk. Titisan air terbentuk pada permukaan gelas.
Namun, awas ya! Tidak sesuai sebenarnya mencuci tangan hanya menggunakan air kondensasi tersebut. Perkara ini dikongsikan oleh Public Health malaysia baru-baru ini yang mengatakan air kondensasi ini bukan air bersih. Sebaiknya, gunakan air bersih dan sabun untuk memastikan tangan betul-betul bersih dari kuman dan bakteria.
Dalam perkongsian yang sama, mereka juga berkongsi sebab air tersebut tidak sesuai untuk mencuci tangan, antaranya:
• Tak bersih: Air kondensasi berasal dari udara dan mungkin ada kotoran atau debu.
• Tak mencukupi: Jumlah air sedikit dan tak cukup untuk mencuci tangan dengan baik.
• Tak bunuh kuman: Air saja tak mampu membunuh bakteria atau kuman.
• Kebersihan terjamin: Gunakan air bersih dan sabun untuk cuci tangan yang lebih efektif.
Mungkin perkara ini nampak kecil dan dianggap biasa, tetapi utamakan air yang bersih demi kebersihan dan kesihatan diri sendiri ya!