Sentuhan magis Nurin Alya. Meski tak boleh bercakap dan mendengar, pencapaian Rinleed Batik jadi inspirasi ramai

Iklan

MESKI tidak sesempurna insan lain, namun Nurin Alya Halid tidak pernah merasai kekurangan diri sebagai tembok konkrit yang menghalang potensinya untuk berjaya.

Pada usia 24 tahun, Nurin Alya atau mesra disapa Nurin sudah memiliki perusahaan batik sendiri dengan jenama Rinleed Batik yang berpangkalan di Kampung Melayu Raya, Sagil, Johor.

Iklan
Iklan

Kepada SinarPlus, anak jati Tangkak itu berkata, dirinya yang kelainan upaya pertuturan dan pendengaran tidak mampu mencapai kejayaan tersebut tanpa dorongan padu ibu bapanya.

"Namun alhamdulillah, semuanya dipermudah dan ibu ayah banyak membantu sebagai tulang belakang untuk berurusan bersama pihak agensi kerajaan dan perseorangan,” beritahunya menerusi aplikasi WhatsApp.

Iklan

Tatkala ditanya mengenai kondisi kesihatan yang dialami sejak lahir itu, anak kepada pasangan Halid Ahmad, 57, dan Noor Sa'Adah Mashuddi, 54, tersebut mengakui, dirinya kerap bertanyakan hal tersebut kepada ibunya.

Iklan

"Ibu selalu pesan, jangan sedih kerana ini adalah anugerah. Sebab itu, saya selalu letakkan ALLAH dalam hati dan ingatlah ALLAH sentiasa bersama kita,” tulisnya.

Cerita bekas penuntut Politeknik Ibrahim Sultan Pasir Gudang itu, doktor yang merawatnya sebelum ini pernah mengesyorkan prosedur pemasangan cochlear implant sebagai alternatif untuk mendengar semula.

Kredit: fyfa09

Namun, disebabkan kos terlalu tinggi hingga mencecah RM90,000 dan keluarga pada waktu itu menghadapi kekangan kewangan membuatkan mereka reda dengan ketentuan takdir.

"Ada juga yang mengejek bisu dan pekak masa zaman sekolah, tapi saya okay saja dan tetap jalani hidup dengan ceria sebab tak dengar pun apa yang orang kata semua itu,” tulisnya dengan penuh optimis.

Rezeki bakat

Benarlah kata orang, usaha tidak pernah mengkhianati hasil.

Begitu jua dengan Nurin apabila minat melukis mendorongnya untuk lebih mendalami ilmu mencanting batik sejak sekolah rendah lagi, sekali gus membuka rezeki yang tak disangka-sangka.

"Nak dijadikan cerita, saya dapat sambung belajar untuk jurusan seni pembuatan batik di Kolej Vokasional Shah Alam ketika tamat tingkatan tiga dan alhamdulillah banyak teknik dapat dipelajari,” kongsinya yang kemudian melanjutkan pelajaran dalam jurusan rekaan fesyen tahap tiga.

Saat berkongsi bagaimana idea Rinleed Batik tercetus, Nurin memberitahu, ibu bapa berat untuk melepaskannya keluar bekerja di bandar selepas tamat belajar.

"Asbab itu, kami diterima untuk mendaftar di bawah Kraftangan Malaysia dan menerima bantuan peralatan dan geran untuk pembinaan bengkel untuk projek penghasilan batik,” tulisnya.

Kreativiti Nurin bersama keluarganya yang memperkenal desain signatur canting dan blok bermotifkan lada hitam, bunga gambir, tradisional dan geometri membawa mereka terbang lebih jauh.

Lebih membanggakan, usaha keras tersebut mendorong Nurin merangkul beberapa anugerah termasuk Anugerah Tokoh OKU Negeri Johor 2023.

Anak ketiga daripada enam beradik itu juga penerima Ikon Insan Madani 2023 anjuran ICU JPM dan Anugerah Sumber Inspirasi sempena majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia Murid Berkeperluan Pendidikan Khas 2024.

Melihat portfolio membanggakan berkenaan, pengasas Rinleed Batik itu turut berhasrat untuk memperkenal label sendiri untuk pasaran lokal dan luar negara dengan produk eksklusif.

Mana tidaknya, sentuhan magis beliau diperakui dan diberi kepercayaan untuk menghasilkan batik untuk golongan ternama seperti Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anuar Ibrahim bersama isteri.

Nurin sempat menitipkan pesanan buat mereka yang senasib dengannya supaya sentiasa yakin dan minat dengan apa jua yang ingin dilakukan.

"Jangan putus asa kerana kegagalan sekali dua itu adat biasa. Kita perlu bangkit berusaha hingga berjaya. Jangan berhenti belajar dan mudah puas hati. Sentiasa mencari ilmu baharu dan tajamkan bakat melalui pelbagai program kemahiran,” pesan gadis cekal itu.