VIDEO memaparkan dua beranak berpimpinan tangan mengharung banjir di Kuala Nerang, Kedah beredar di laman sosial.
Terdahulu, dua beranak iaitu Salmah Mat Zain, 46, dan anaknya, Muhammad Rosman yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika meredah banjir untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Tanjung Kanan kira-kira pukul 8.15 pagi Sabtu lalu.
Lebih memilukan, video berkenaan yang berdurasi 25 saat itu berakhir dengan deraian air mata penduduk kampung yang menyaksikan dua beranak itu dibawa arus yang deras paras dada dalam kawasan ladang kelapa sawit itu.
Berikut kronologi kisah yang menyayat hati ini:
1-Dalam kejadian pada 8.15 pagi Sabtu, dua beranak berkenaan dipercayai baru pulang dari membeli nasi lemak dan cuba meredah air banjir untuk pulang ke rumah mereka.
2-Penduduk kampung yang melihat situasi itu cuba menjerit mengarahkan mereka berpatah balik.
4-Salah seorang daripadanya, Mohd Sofi Rhazalee, 39, saksi kejadian dua beranak dihanyutkan arus deras banjir.
5-Rosman dilihat memegang tangan ibunya dan mereka juga berpelukan sebelum sama-sama hilang dihanyutkan arus deras.
"Saya menjerit minta mereka berpatah balik, namun ketika itu (tangan) si ibu yang berpaut pada pokok getah itu tiba-tiba terlepas, dan anaknya yang juga orang kelainan upaya (OKU) lembam cuba menarik ibunya.
6-Sementara itu, saksi lain, Mohd Amir Mohd Sougelail, 28, berkata beliau bersama beberapa penduduk kampung sudah memberi amaran supaya jangan meredah banjir sebab arus deras, namun mereka tetap teruskan perjalanan.
6-Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan menemukan jasad Muhammad Rosman pada jam 5.25 petang pada Sabtu.
7-Manakala jasad Salmah pula ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi mayat anaknya pada jam 7.30 pagi Ahad.
8-Mayat ibu tunggal itu didapati tersangkut di bawah timbunan sisa pelepah kelapa sawit dan tunggul kayu di kawasan ladang kelapa sawit yang masih ditenggelami banjir.
9-Lokasi mayat mangsa ditemui kira-kira 200 meter dari tempat mangsa dipercayai dihanyutkan arus.
10-Mayat kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk proses bedah siasat sebelum dituntut dan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Aisyah, Kampung Tanjung, Kuala Nerang.
SENTIASA BERSAMA HINGGA KE AKHIR HAYAT
"Salmah dan anaknya sentiasa bersama, malah sehingga akhir hayat mereka dilihat berpegangan tangan dan berpelukan”.
Demikian luah bapa saudara Salmah, Md Tajuddin Awang Muhammad, 47, yang turut mengakui dua beranak itu sangat rapat selain hanya tinggal berdua sahaja di rumah mereka.
"Mereka tidak pernah berpisah dan seperti sudah janji mereka meninggal pun bersama," katanya.
Difahamkan, Allahyarham Muhammad Rosman ialah OKU lembam mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Terap.
Bagi menyara hidup mereka anak beranak, Salmah mencari rezeki dengan menoreh getah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar mengingatkan orang ramai agar tidak sesekali meredah banjir bagi mengelak kejadian sama berulang.
Semua mangsa banjir juga diminta untuk segera berpindah jika diarah berbuat demikian demi keselamatan diri dan keluarga.