Mula dari minat, akhirnya miliki perniagaan sendiri! Wanita tak lokek ilmu kongsi resipi royal Thai butter cake

Iklan

Menurut pemilik nama Nor Iffah Zulkifli, perbezaan kedua-dua kek berkenaan adalah bermula dari teknik mengadun, membakar sehinggalah cara penyimpanan kek.

SEJAK beberapa tahun ini, sering berlegar-legar di media sosial kek mentega dari negara jiran, iaitu royal Thai butter cake. Jika dilihat sekilas, ia mungkin menyamai kek mentega biasa yang selalu buat di rumah. Namun, sebenarnya ada perbezaan antara kedua-duanya.

Menurut pemilik nama Nor Iffah Zulkifli, perbezaan kedua-dua kek berkenaan adalah bermula dari teknik mengadun, membakar sehinggalah cara penyimpanan kek.

Iklan
Iklan

Royal Thai butter cake menggunakan bahan-bahan berkualiti tinggi seperti mentega tulen.

Selain itu, teknik pembakaran juga berbeza yang mana royal Thai butter cake menggunakan teknik water bath.

Iklan

Dalam pada itu, untuk menjadikan kek gebu, cara mengadun dan penyimpanan juga memainkan peranan penting. Adunan harus diputar lama sehingga gebu. Kek yang disimpan semalaman di dalam peti sejuk akan lebih halus teksturnya.

"Saya sangat suka belajar benda baharu dan biasanya mendapat inspirasi untuk membuat dan menjual melalui pembelajaran dan pembacaan di sosial media serta mencuba sendiri resipi tersebut.

Iklan

"Setelah itu, saya akan mengolah mengikut acuan dan cita rasa yang tersendiri. Saya juga ada menyertai beberapa kelas pembelajaran jarak jauh untuk menambah ilmu dan kemahiran dalam bidang pembuatan kek," kongsinya.

Ditanya kenapa bidang itu menjadi pilihan. Ini jawapan tuan punya badan.

"Pada awalnya masuk bidang ini sekadar suka-suka kerana melihat orang mengadun dan menghias kek. Kemudian, saya cuba untuk membuat jualan sendiri melalui saudara-mara, rakan-rakan dan guru ibu saya di sekolah.

"Lama-kelamaan produk yang saya hasilkan ini semakin mendapat sambutan," katanya yang mula berkecimpung pada penghujung 2018.

Bukan itu sahaja, beliau juga tidak lokek berkongsi resipi dan tip kepada pengikutnya terutama di media sosial Facebook.

"Rezeki ALLAH itu luas dan setiap manusia telah ditetapkan rezekinya, jadi kita tidak perlu risau. Andai sudah tertulis itu rezeki kita, maka kita akan menerimanya juga sebagaimana yang dikehendaki.

"Selain itu, dengan berkongsi resipi dan teknik, secara tidak langsung saya mendapat kepercayaan daripada bakal pelanggan akan kemahiran dan kualiti produk yang dihasilkan," tambahnya yang turut menjual pelbagai jenis pencuci mulut.

Ketika ditanya tentang penerimaan pelanggan, akui wanita berusia 33 tahun itu, sambutan cukup menggalakkan dan ada yang membuat tempahan lagi selepas kali pertama membeli.

Resipi royal thai butter cake

Bahan-bahan:

220 gram tepung naik sendiri (diayak)

1 sudu teh serbuk penaik

1 sudu teh perisa vanila

4 biji gred A telur

160 gram mentega

130 gram gula aising (diayak-boleh tambah atau kurangkan ikut selera sendiri)

1 Sudu besar ovalette

60 gram susu penuh krim

Cara-cara:

  • Putar mentega dan gula sehingga sebati, kemudian masukkan ovalette.
  • Putar sehingga adunan menjadi agak putih.
  • Masukkan telur satu per satu, putar sehingga sebati lebih kurang lapan hingga 10 minit.
  • Masukkan susu penuh krim, perisa vanila dan tepung sedikit demi sedikit sehingga semua sebati.
  • Masukkan adunan ke dalam loyang 8x8 inci yang disapu dengan marjerin dan bakar guna kaedah water bath (isi loyang dalam bekas berisi air). Bakar suhu 150 darjah selama 45 minit hingga satu jam (bergantung ketuhar masing-masing). Apabila kek siap masak, sejukkan sebentar dan balut dengan plastik. Masukkan ke dalam peti sejuk selama empat hingga lima jam. Kemudian, potong cantik sebelum hidang.