Gadis 'guni' terima hadiah rakyat Malaysia, influencer dedah Rafida anak yang baik. 'Dia harapan keluarga, SPM 8A, matrikulasi 4 flat'

Iklan

GADIS yang membawa guni ketika pendaftaran universiti, Rafida Zaiddin terus menjadi inspirasi.

Iklan
Iklan

Aktivis masyarakat dan pempengaruh, Adrian Edy tidak ketinggalan bertemu dengan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dan menyerahkan hadiah komputer riba dan tablet.

Menerusi perkongsian di laman sosial, Edy memaklumkan laptop tersebut adalah dari rakyat Malaysia bagi memudahkan urusan pembelajaran gadis itu di universiti.

Iklan

"Syukur hari ini ke UMS bertemu dengan Rafida. Terharu dengan kisahnya yang tular dan menyampaikan hadiah daripada rakyat untuk Rafida berupa sebuah komputer, tablet dan sedikit wang.

Iklan

"Saya juga sempat berikan kata-kata semangat untuk terus berjaya dalam pengajian seterusnya dapat capai cita-cita sebagai akauntan.

"Ternyata, Rafida anak yang baik dan taat kepada ibu bapa. Walaupun hidupnya susah dia tetap mahu bahagiakan keluarga dan ingin bantu lebih ramai yang memerlukan,” titipnya.

Tambah Edy, keputusan yang diraih Rafida bukan calang-calang. Mahasiswa Fakulti Perniagaan, Ekonomi Dan Perakaunan itu mempunyai rekod pendidikan yang membanggakan.

Menurut Edy, Rafida berpewatakan ceria dan murah dengan senyuman. Beliau sempat mencungkil kisah karung guni, keluarga dan perjalanan gadis itu ke UMS yang menjadi tular.

"Rafida berasal dari Kampung Sim Sim, Sandakan telah menaiki bas bersama bapanya dari Sandakan ke Kota Kinabalu.

"Beliau anak kedua dari dua beradik dan bercita-cita mahu menjadi seorang akauntan. Bapanya merupakan peniaga sayur di Sandakan manakala ibunya adalah suri rumah.

"Abangnya terpaksa berhenti belajar kerana faktor kewangan, kini Rafida lah menjadi satu-satunya harapan keluarga untuk berjaya di menara gading," kongsi Edy.

Perkongsian tersebut telah mencuri perhatian ramai dan rata-rata meninggalkan komen mengucapkan terima kasih kepada Edy menjadi pengantara memudahkan urusan Rafida di universiti.

Warganet dalam masa yang sama menitipkan doa agar gadis berkenaan terus cemerlang dan dapat membanggakan keluarga.

Rafida dalam temu ramah bersama Sabah Media baru-baru ini menyatakan keazamannya untuk belajar bersungguh-sungguh demi keluarga.

"Ibu bapa saya sudah bekerja keras, saya mahu usaha sungguh-sungguh.

"Masih ramai di luar sana mahu belajar tetapi tidak ada peluang. Bagi saya inilah peluang saya dan ia tidak akan disia-siakan,” katanya.

Terdahulu, gambar karung guni yang berisi barangan keperluan milik pelajar tersebut ketika hari pendaftaran tular di media sosial sehingga mendapat perhatian Menteri Pelajaran Malaysia, Fadhlina Sidek.

Rafida menjelaskan membawa barangan di dalam guni adalah idea bapanya bagi memastikan barang yang dibawa tidak tercicir memandangkan mereka menaiki bas dan menempuhi perjalanan selama enam jam untuk sampai ke universiti.

Sumber: TikTok, Sabah Media