'Takkan nak tunggu jadi mayat baru bertindak?' Tam Spider bengang anak dibuli, polis sahkan terima 12 laporan

Iklan

ISU buli bagaikan tidak berkesudahan terutama di sekolah berasrama. Anak penyanyi Tam Spider juga tidak terkecuali dipercayai menjadi salah seorang mangsa.

Menerusi portal berita tempatan, penyanyi itu menyuarakan kekecewaan apabila pihak sekolah anaknya mengekalkan enam pelajar dipercayai pembuli walaupun sudah bersetuju untuk bertindak mengeluarkan mereka dari asrama ketika sesi perjumpaan dengan ibu bapa, Sabtu lalu.

Iklan
Iklan

Memetik laporan Harian Metro, penyanyi kumpulan Spider berusia 51 tahun itu kecewa dengan tindakan pihak sekolah bagi menangani masalah buli di sekolah anaknya.

Tam atau nam sebenarnya Rustam Mustafah berkata, pihak sekolah membuat pusingan U atau ‘u-turn’ apabila membenarkan pelajar dipercayai pembuli anaknya masuk semula dan tinggal di dalam bilik warden asrama kerana bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Iklan

"Perkara ini selalu terjadi pada kita. Dah jadi baru nak bertindak. Hari itu mesyuarat, ada keluarga cakap takkanlah nak tunggu sampai anak kami jadi mayat baru nak bertindak?” katanya.

Iklan

Tambah Tam, walaupun kes berkenaan didakwa sudah mendapat campur tangan daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun pihak sekolah masih tiada jalan penyelesaian.

Malah, katanya keluarga pembuli tidak tahu anak mereka mempunyai masalah di sekolah dan terkejut apabila dikeluarkan dari asrama.

"Saya lihat pihak sekolah ada masalah dan cuba sembunyikan perkara sebenar sebelum ini.

"Malah, ada guru menasihatkan pelajar yang menjadi mangsa buli jangan memberitahu keluarga mengenai perkara itu.

"Sebaliknya dia sendiri yang akan sampaikan aduan itu kepada pembuli. Jadi, pengadu (mangsa buli) akhirnya menjadi sasaran pembuli untuk balas dendam,” katanya lagi.

BULI MELIBATKAN SENTUHAN

Tam berkata, adalah tidak menjadi masalah sangat setakat mereka pecahkan gitar anaknya atau mencuri kasut, namun tidak membabitkan sentuhan atau memukul.

"Tapi kalau dah pukul sampai ada mangsa yang telinga pekak dan lebih teruk lagi trauma, memang tak seronok. Lebih teruk kalau anak-anak kami hilang nyawa, adakah boleh dicari ganti?

"Anak saya dan Khir Rahman (pelakon) memang tak teruk kena sentuh berbanding anak orang lain.

"Memandangkan saya dan Khir selebriti, kami secara tak langsung mewakili mangsa yang lain kerana mereka kawan anak-anak kami.

"Walaupun saya mulanya keberatan nak ke depan tapi saya tak kisah apabila dipetik nama demi keselamatan anak-anak. Percayalah, perkara ini serius,” tegas Tam.

Difahamkan, Tam mengambil keputusan untuk tidak menghantar anaknya ke asrama sehingga perjumpaan kedua ibu bapa dengan pihak sekolah pada 14 Oktober ini.

MANGSA CEDERA PADA TELINGA, LEBAM KAKI DAN TANGAN

Dalam perkembangan berkaitan, PDRM mengesahkan sudah merekod keterangan beberapa pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah berasrama penuh dekat sini bagi membantu siasatan kes buli.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan selepas menerima 12 laporan polis.

Rusdi mendedahkan siasatan awal pihaknya mendapati kesemua mangsa terdiri daripada pelajar berusia antara 14 hingga 16 tahun manakala pembuli pula terdiri daripada pelajar berusia 17 tahun.

"Dua kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan ia dikembalikan semula untuk dikemas kini, manakala satu lagi kertas siasatan belum lengkap dalam proses siasatan kerana pelajar (pelaku) terbabit sedang menjalani peperiksaan percubaan SPM.

"Pihak sekolah telah memohon untuk menangguhkan proses bagi memberi ruang pelajar terlibat hadir peperiksaan percubaan SPM," katanya.

Dalam pada itu, dijangkakan lima hingga enam pelajar (pelaku) ini akan direkod keterangan pada 13 dan 14 Oktober.

Selain itu, polis telah merekod keterangan seorang warden asrama sekolah terbabit disyaki terlibat dalam kes ini.

"Berdasarkan laporan, ada mangsa mengalami kecederaan di telinga, lebam di tangan dan kaki. Tiada senjata digunakan dalam kejadian buli itu, pelaku hanya menggunakan tangan dan kaki.

"Bagaimanapun, polis mengambil berat mengenai kes buli yang tidak boleh dibiarkan berpanjangan. Banyak insiden yang berlaku dan sudah ada pelajar yang dituduh di mahkamah walaupun menggunakan tangan dan kaki tetapi boleh menyebabkan kecederaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian, Harian Metro