KEBELAKANGAN ini sosial media heboh dengan keretakan rumah tangga selebriti dan pempengaruh. Setiap hari, pasti ada cerita baru yang kita dengar dan sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan seharian kita bila mana ada sahaja yang menyelitkan isu tersebut untuk diborakkan.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut berkongsi nasihat agar pasangan suami isteri mengelak dari membuka aib dan kekurangan antara satu sama lain lebih-lebih lagi selepas berlaku perpisahan.
"Setiap Islam mengingatkan bahawa meskipun perceraian itu dibenarkan, ia adalah perkara yang paling dibenci oleh Allah dalam kalangan yang pasangan pasti pernah melalui cabaran ini. Oleh itu, ia sewajarnya menjadi pilihan terakhir setelah segala usaha untuk memperbaiki keadaan telah dilakukan.
"Jika perpisahan itu tidak dapat dielakkan, Islam mengajar kita untuk melepaskan pasangan dengan cara yang baik dan penuh ihsan. Sikap ini penting agar tidak mencalarkan maruah mana-mana pihak serta memastikan hak-hak kedua-dua suami dan isteri tetap terjaga.
"Sebagai manusia, kita digalakkan untuk mengelakkan daripada mengungkit keaiban atau kekurangan pasangan, terutama selepas perpisahan. Islam mengajarkan untuk melihat kebaikan dan mengingati jasa pasangan sepanjang perkahwinan.
"Ini kerana ketika cinta masih ada, segala kekurangan tidak dihiraukan, namun ketika perasaan berubah, kekurangan yang kecil sekali pun menjadi hal yang diangkat-angkat. Justeru, setelah berpisah, berilah ruang untuk masing-masing memulakan kehidupan baru dengan cara yang lebih baik, tanpa menyimpan dendam," tulis beliau.
Dalam pada itu, beliau juga menyentuh perihal anak-anak yang sedikit sebanyak terkesan dengan perpisahan ibu ayah dan dikhuatiri akan mencederakan emosi mereka.
"Selain itu, sangat penting untuk sentiasa menjaga hati anak-anak yang mungkin menjadi mangsa dalam perpisahan ibu bapa. Jangan sekali-kali mencederakan emosi mereka kerana mereka juga mempunyai hak untuk merasai kasih sayang kedua-dua ibu bapa.
"Anak-anak adalah amanah dari ALLAH dan kita wajib menjaga kebajikan mereka dengan penuh perhatian," tambah beliau.
Pada masa yang sama, beliau juga mengingatkan supaya sentiasa memanjatkan doa dan meletakkan pengharapan pada YANG ESA di atas ujian yang mereka lalui ini.
"Dalam menghadapi perpisahan, doa dan munajat kepada ALLAH SWT adalah sandaran utama kita sebagai hamba-NYA. Berdoalah agar kita diberikan kekuatan, kesabaran, serta petunjuk dalam melalui ujian ini. Doa juga menjadi penghubung rohani antara kita dan Tuhan, menjadikan kita insan yang lebih kuat dalam menghadapi apa jua cabaran hidup.
"Akhir sekali, jadilah seorang yang sentiasa mendamaikan dan menasihati dengan kebaikan, bukan sekadar menjaga kesolehan diri sendiri.
"Di dalam situasi yang penuh dengan konflik, sebaiknya kita berusaha untuk menjadi orang yang mendamaikan dan memperbaiki keadaan. Firman Allah dalam surah al-Hujurat mengingatkan kita untuk mendamaikan dua saudara yang bertelingkah kerana sesungguhnya umat Islam itu bersaudara.
"Perkahwinan adalah satu institusi yang amat berharga dan ia memerlukan pengorbanan, keikhlasan, serta kesabaran dari kedua-dua belah pihak. Namun, jika perceraian adalah jalan yang terbaik, lakukanlah dengan cara yang paling baik, menjaga maruah dan harga diri masing-masing," ujar beliau.
Kita doakan yang terbaik buat mereka. Setiap orang berbeza ujian yang mereka hadapi. Mungkin kita nampak mereka diuji dengan perpisahan, tetapi kita juga sama-sama diuji untuk menjaga iman dari berkata hal orang lain di belakang. Wallahualam.