BERSAMA DR MOHD RUSDI DRAMAN@YUSOF Pakar Pembedahan Ortopedik Trauma Lanjutan, Pantai Hospital Ayer Keroh (Beliau dijemput sebagai panel program DNA yang membicarakan topik Kepatahan Tulang Pinggul dalam Kalangan Warga Emas)
Patah tulang pinggul adalah keretakan atau patah pada bahagian atas tulang paha yang membentuk sendi pinggul. Dalam kalangan warga emas, perkara itu sering terjadi akibat kemalangan yang sederhana seperti terjatuh dari posisi berdiri ataupun terduduk.
Bahkan pergerakan sekadar untuk memusingkan badan juga boleh menyebabkan berlakunya masalah tersebut. Biasanya ia terjadi dalam kalangan orang tua kerana osteoporosis atau tulang lemah sehingga individu dengan situasi ini terdedah dengan situasi tersebut.
SOALAN 1
Apakah faktor utama yang menyebabkan patah tulang pinggul dalam kalangan warga emas?
JAWAPAN
- Osteoporosis. Ia salah satu situasi atau kondisi yang mana tulang kita mula rapuh dan mereput. Hal itu biasa berlaku pada wanita selepas menopaus. Sementara, kaum lelaki jarang berlaku kerana andropaus tidak terlalu terjejas.
-Usia lanjut. Apabila usia semakin bertambah, secara semula jadi kepadatan tulang akan berkurangan. Keadaan itu tidak boleh dielak kerana faktor usia. Segala aktiviti semakin menurun. Ditambah pula jika kurang bersenam, maka tulang kita semakin lemah.
- Ada sejarah atau selalu jatuh. Risiko untuk jatuh lagi selepas ini, semakin tinggi. Pesakit yang pernah mengalami situasi tersebut ada potensi untuk mengalaminya berulang kali. Justeru, perlu berjaga-jaga.
- Mereka yang ada gangguan keseimbangan. Individu yang pernah ada masalah saraf, otot atau mengalami strok, keseimbangan diri menjadi tidak sama. Keadaan tersebut membuatkan individu itu berisiko untuk jatuh dan mengalami kepatahan.
SOALAN 2
Apakah jenis rawatan yang biasanya disarankan untuk patah tulang?
JAWAPAN
Ia terbahagi kepada dua. Pertama, rawatan peringkat kecemasan. Pesakit datang, pihak hospital akan pastikan kesakitan terkawal dengan ubatan. Biasanya doktor atau jururawat akan letak skin traction (ditarik dengan menggunakan pemberat bagi membolehkan sendi direhatkan). Jadi, apabila tulang itu sudah kembali pada asal, ia akan mengurangkan rasa sakit dan kerosakan di sekitar tempat patah itu.
Selain mengurangkan kesakitan yang dialami pesakit, doktor juga pada masa sama akan menyiasat latar belakang kesihatan mereka sama ada terdapat tekanan darah tinggi atau masalah gula yang tinggi atau rendah. Ini kerana, ia juga boleh jadi punca pesakit jatuh.
Pihak perubatan juga akan memeriksa jantung menggunakan elektrokardiogram (ECG) bagi menilai pesakit untuk mendapatkan rawatan yang sesuai atau membuat persediaan seperti pembedahan misalnya.
Seterusnya, rawatan difinitif iaitu rawatan muktamad untuk pesakit. Ini bagi menentukan apa matlamat rawatan terhadap pesakit. Matlamat perubatan untuk kembalikan pesakit kepada keadaan asal yang sihat sebelum patah secepat mungkin.
Bagi situasi tersebut, rawatan yang sesuai adalah penggantian tulang pinggul, bergantung kepada jenis patah yang dialami.
Jika patah berlaku di leher tulang paha yang membentuk sendi itu, doktor akan menggantikannya dengan tulang pinggul.
Selepas itu, pesakit akan mulakan proses fisioterapi pada hari pertama atau seawal yang mungkin bergantung kepada kekuatan atau keadaan pesakit itu.
Jika pesakit itu sudah cukup cergas, hari pertama rawatan berkenaan dilakukan, mereka akan dibekalkan dengan tongkat sebagai kaki palsu. Ini bagi mengekalkan kekuatan atau mencegah otot-otot itu daripada cepat lemah. Pada masa sama, dapat meningkatkan fleksibiliti sendi dan mencegah sebarang komplikasi.
Situasi yang merisaukan melibatkan kepatahan adalah pesakit hanya mahu baring di katil disebabkan sakit yang dialami dan enggan bergerak, ini boleh mengundang kepada banyak komplikasi.
Contohnya, darah tersumbat dan keadaan itu mengundang kepada bahaya yang mana darah beku tadi telah pergi ke jantung dan paru-paru sehingga menyebabkan berlakunya mati mengejut.
Selain itu, risiko apabila baring dalam tempoh lama boleh menyebabkan berlakunya luka-luka di pinggul atau kaki. Seterusnya, jangkitan kuman di paru-paru.
Langkah perubahan gaya hidup warga emas
Oleh itu, warga tua perlu melakukan perubahan dalam gaya hidup mereka seperti mengamalkan diet sejak awal lagi.
Pilih makanan yang kaya kalsium seperti susu, yogurt, sayuran hijau, vitamin D dan sebagainya.
Selain itu, riadah secara tetap dan teratur. Berhenti merokok dan mengambil alkohol jika ada. Kenal pasti persekitaran rumah supaya selamat untuk orang tua. Pastikan cahaya terang, lantai tidak licin atau permaidani tidak terlipat untuk elak terjatuh.
Akhir sekali, penting melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk memantau kekuatan tulang, pemeriksaan osteoporosis untuk tahu kepadatan tulang. Pada masa sama, pantau kesihatan lain juga seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.