MUDAH terlupa sesuatu peristiwa atau topik perbualan yang baharu saja berlaku antara tanda-tanda yang sering dikaitkan dengan penyakit alzheimer.
Selain faktor penuaan, penyakit itu bermula secara perlahan-lahan dan memburuk secara berperingkat dari masa ke masa.
Jika ia dibiarkan berlanjutan, seseorang yang dilanda alzheimer akan mengalami gangguan ingatan yang teruk sehingga akhirnya kehilangan keupayaan dalam melaksanakan aktiviti harian.
Penyakit alzheimer adalah salah satu bentuk demensia yang paling biasa dalam kalangan orang dewasa berumur lebih daripada 65 tahun. Demensia merujuk kepada kemerosotan fungsi kognitif yang menjejaskan keupayaan individu untuk menjalankan rutin hariannya.
Menurut Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM), kira-kira 204,000 hingga 264,000 warga emas Malaysia iaitu 8.5 peratus hingga 11 peratus daripada jumlah penduduk menghidap alzheimer pada tahun 2020. Angka tersebut dianggarkan meningkat kepada 637,500 hingga 825,00 orang menjelang 2050, unjuran peningkatan sebanyak 312 peratus.
Menurut Pengerusi European Wellness Biomedical Group, Prof Datuk Sri Dr Mike Chan, alzheimer adalah salah satu penyakit yang sering berlaku dalam kalangan penyakit neurodegeneratif. Ia bermaksud, keupayaan otak seseorang itu mula merosot seiring dengan peningkatan usia kerana jangka hayat otak biasanya sekitar 60 hingga 70 tahun.
Selepas memasuki usia 40 tahun, kita akan kehilangan sekitar 10,000 sel otak dan neuron setiap hari. Itu menyebabkan seseorang secara perlahan-lahan lupa akan perkara tertentu. Sebagai contoh, terlupa nama namun masih mengenali wajah.
Bagi pesakit alzheimer, mereka akan mula kehilangan kualiti hidup kerana tidak dapat mengingati sesuatu perkara. Keadaan tersebut sangat menakutkan kerana mereka tidak lagi mempunyai kualiti hidup yang baik. Malah, mereka juga tidak dapat mengenali ahli keluarga mereka dan mungkin akan tersesat jika keluar rumah sendirian.
"Alzheimer merupakan situasi yang mana otak mula mengecut. Otak kita mempunyai 52 bahagian lobus dan 67 jenis sel otak yang berbeza.
"Dalam hal ini, pesakit masih mempunyai ingatan jangka panjang. Sebagai contoh, jika seseorang itu berusia 80 tahun, dia masih boleh mengingati sesuatu yang berlaku 75 tahun lalu, ketika dia masih kecil, namun tidak dapat mengingati hal-hal lain dalam jangka masa pendek.
"Malah, dalam tempoh 10 atau 15 minit, dia mungkin tidak dapat mengingati apa-apa lagi. Inilah masalah yang berlaku kepada pesakit alzheimer,” jelas beliau.
Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan alzheimer. Antaranya:-
- Faktor genetik.
- Pendedahan kepada persekitaran seperti logam berat yang boleh merosakkan sel stem otak.
- Pengambilan alkohol.
- Sel stem bantu rawat
Walaupun dalam perubatan konvensional mengatakan tiada penyelesaian atau rawatan untuk penyakit tersebut, namun sebenarnya ia boleh pulih pada tahap tertentu.
"Saya merawat ramai pesakit alzheimer dan Parkinson di Amerika Syarikat dan seluruh dunia. Ini kerana, otak adalah subjek kegemaran kerana saya sendiri adalah bekas kanak-kanak autistik.
"Saya telah banyak mengkaji tentang otak. Dalam organ ini, terdapat gangguan perkembangan saraf (neurodevelopmental disorder) yang biasanya menyerang kanak-kanak, tetapi bagi orang dewasa, ia adalah penyakit neurodegeneratif, iaitu sel otak yang semakin merosot. Parkinson, Huntington dan Alzheimer termasuk dalam kategori tersebut,” jelas beliau.
Tambah pakar itu lagi, apabila mencapai umur 65 tahun, risiko untuk mendapat alzheimer adalah sebanyak 25 peratus. Risiko tersebut terus meningkat kepada 35 peratus apabila usia mencecah 75 tahun. Sementara pada umur 85 tahun pula, ia boleh mencapai 45 peratus. Jadi, risiko untuk mengalami alzheimer adalah sangat tinggi.
"Ini berkaitan dengan lobus depan dan korteks hadapan, iaitu bahagian depan otak yang bertanggungjawab menyimpan ingatan jangka pendek.
"Justeru, jika seseorang itu kehilangan ingatan jangka pendek, kita perlu merawatnya dengan menggunakan sel stem otak dari lobus depan dan korteks hadapan. Itu antara kaedah yang betul untuk merawat pesakit berkenaan,” ujarnya.
Menurut Dr Mike lagi, terdapat banyak penyelesaian yang baik untuk masalah ini, tetapi mesti menggunakan jenis sel stem otak yang tepat. Dalam pusat saraf tubuh manusia terdapat 67 jenis sel stem yang berbeza. Oleh itu, doktor perlu meneliti keadaan dan mengenal pasti bahagian otak yang perlu dirawat dan organ lain yang mungkin terlibat kerana badan manusia mempunyai 68 jenis organ yang berbeza.
Proses rawatanProses rawatan bermula dengan penilaian pesakit melalui MRI atau pengimbas pengimejan resonans magnetik untuk mengetahui tahap gangguan otak yang dialami. Selepas itu, sel-sel yang diperlukan akan disediakan yang mana ia akan didatangkan dari Eropah.
Sel stem otak yang diambil dari lobus depan, akan diberikan secara suntikan intramuskular di bahagian yang terpilih seperti punggung kerana ia lebih selamat dan adanya banyak tisu otot di situ.
Jika kaedah IV (Intravena) iaitu aliran darah melalui urat digunakan, sel stem mungkin akan terperangkap di paru-paru. Oleh itu, kaedah IV bukanlah penyelesaian terbaik kerana ia tidak dapat memberikan dos sel stem yang mencukupi.
Walaupun tidak terlalu muda, sesetengah individu berusia sekitar 40 tahun ke atas mungkin mengalami alzheimer awal seperti Parkinson.
"Seperti yang saya sebutkan tadi, selepas umur 40 tahun, kita kehilangan 10,000 neuron setiap hari. Otak, yang terdiri daripada 67 jenis sel stem, sebenarnya mula menua sejak usia 20 tahun.
"Pada umur tersebut, proses penuaan otak telah bermula, tetapi lobus depan, yang berkaitan dengan alzheimer dan kecerdasan atau IQ kita hanya berkembang sepenuhnya pada umur 24 tahun.
"Jika kita merangsang lobus depan, mereka boleh menjadi lebih tajam dalam berfikir. Kita semua akan mengalami penuaan, tetapi yang paling penting adalah kita masih memiliki otak yang berfungsi dengan baik. Dengan otak yang sihat, kita dapat bertindak balas dengan cepat dan melakukan tugas dengan cekap,” ulas Dr Mike.
Dalam pada itu, beliau yang juga seorang saintis, penyelidik, pengarang, dan pendidik dalam sel stem, imunologi dan perubatan bioregeneratif selama 39 tahun di Eropah memberi contoh bekas Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pada usia 99 tahun, masih mampu memandu kereta.
Jika beliau menghidap alzheimer, tentu sukar untuk melakukannya. Ini menunjukkan otaknya masih sihat.
"Apa yang saya cuba sampaikan ialah seiring usia, kita mesti menjaga kesihatan otak. Tidak mustahil untuk menjadikan otak seseorang itu lebih muda.
"Semakin muda otak kita, semakin tajam ia berfungsi. Anda akan lebih fokus. Ini kerana pesakit alzheimer sukar untuk fokus. Jika kami memberikan sel stem dari lobus depan dan korteks hadapan, keupayaan fokus anda akan meningkat,” jelasnya lagi.
Amalan pemakanan
Dalam pada itu, pakar berkenaan turut memberi tip untuk elak diri daripada mengalami alzheimer.
"Perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah cara pemakanan kita kerana ia boleh memberi kesan kepada kesihatan. Amalkan pemakanan yang baik untuk otak seperti kacang walnut atau apa-apa sahaja yang mengandungi omega seperti ikan.
"Peringkat awal alzheimer, anda akan mula menjadi seorang pelupa. Bila perkara ini terjadi, sebaiknya jalani pemeriksaan pada peringkat awal. Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi lebih teruk. Kebanyakan ahli keluarga membawa pesakit alzheimer pada peringkat yang sangat lewat. Hakikatnya, pesakit lebih mudah untuk dirawat pada peringkat awal.
"Pencegahan harus bermula pada umur 30 tahun. Apabila berada pada usia itu, lebih berhati-hati dalam pemakanan dan perkara yang anda terdedah,” ujar beliau menutup bicara.