Riena Diana akui rapat dengan famili, jurang usia tak halang jalin hubungan dengan Keith Foo

Iklan

JIKA sebelum ini, ke mana sahaja kaki melangkah, pasti ada sahaja yang memanggilnya Lailer, satu watak yang cukup dekat dengan dirinya.

Namun, sebagai pelakon yang mahu versatil, Riena Diana cuba mencari rentak baharu dalam dunia lakonannya.

Iklan
Iklan

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, tawaran bagi drama Salju Rindu Di Bumi Aukland seolah-olah membuka lembaran baharu dalam kamus lakonannya.

Manakan tidak, watak Juraini memberikan kesan cukup mendalam buat wanita berusia 27 tahun itu.

Iklan

Dedah beliau, awal-awal ditawarkan watak itu, beliau menolak kerana tidak yakin mampu menggalas tanggungjawab tersebut, apatah lagi terpaksa memegang dua watak yang berbeza dalam drama berkenaan.

Cabaran pastinya dalam menjiwai karakter berbeza yang memerlukan beliau menampilkan kelainan dalam drama tersebut.

Iklan

"Saya cuba menukar intonasi percakapan untuk nampak satu dewasa dan satu lagi lebih keanak-anakan. Alhamdulillah peminat boleh terima karakter tersebut.

"Sebelum ini saya sudah dikenali dengan watak lemah-lembut, tetapi untuk drama ini watak saya keras kepala. Bahkan, banyak bermain dengan emosi, setiap hari kena menangis dan sebagainya,” kongsinya.

Pada masa sama, beliau bimbang dan tidak yakin dapat berbuat demikian."Namun pengarah banyak bantu beri semangat dan yakinkan diri saya boleh bawa dan warnai watak tersebut dengan baik.

"Justeru, saya cuba lakukan sebaik mungkin. Alhamdulillah, Kak Emelda dan Keith Foo serta pelakon lain banyak bantu,” ujarnya ketika ditemui usai mempromosikan drama lakonan terbaharunya itu.

Enggan dibayangi Lailer

Pada masa sama, beliau gembira memandangkan dirinya tidak lagi dibayangi watak Lailer.

"Alhamdulillah, akhirnya peminat sudah boleh move on dan tidak lagi ‘tersekat’ pada watak tersebut. Kalau dahulu orang tengok muka saya asyik panggil Lailer, kini bertukar kepada Ju pula.

"Sebagai pelakon, saya gembira dan bersyukur dengan penerimaan peminat. Memang menjadi hasrat saya untuk mencuba semua jenis watak dan tidak hanya mahu ditakuk yang sama sahaja,” kongsinya sambil tertawa.

Drama penuh emosi hasil terbitan Global Station dan diarahkan oleh Riza Baharudin itu berlatar belakangkan keindahan bumi Auckland. Ia mengisahkan tentang kekeluargaan, cinta, dan juga penebusan.

Ditanya akan pandangan peribadinya berkenaan drama tersebut yang dilihat mempunyai kaitan rapat dengan isu semasa, ini jawapan Riena.

"Saya tak nafikan dalam masyarakat kita memang wujud famili toksik. Sejujurnya drama ini memang banyak pengajaran dan cukup dekat kita. Umum tahu, status seorang anak tidak boleh melawan walau buruk bagaimana sekali pun layanan ibu bapanya.

"Namun, watak Ju ini berbeza. Dia bukan sahaja melawan bahkan sanggup tinggalkan keluarga. Natijahnya, lihat balasan yang diterima. Sebab itu, banyak pengajaran dalam drama ini dan ia tidak hanya fokus cinta semata-mata sebaliknya nilai kekeluargaan itu yang menjadi keutamaan,” jelasnya panjang lebar.

Sisi seorang kakak

Bicara akan drama itu tidak ternoktah di situ, sebaliknya penulis cuba mengaitkan situasi tersebut dengan statusnya sebagai kakak sulung dalam keluarga.

"Ya, sebagai kakak sulung saya boleh katakan memang pentingnya hubungan baik dalam keluarga. Saya sendiri walaupun sibuk dengan kerjaya dan shooting sana-sini, namun kami (keluarga) selalu berhubung. Biasanya WhatsApp dan panggilan video menjadi penghubung kami adik-beradik.

"Walaupun rasa macam sudah lama tidak lepak dengan famili kerana sibuk kerja, tetapi kalau ada majlis keraian misalnya, saya yang akan ketuai dan uruskan. Jika tidak, memang tak ada masa untuk berkumpul bersama.

"Sisi sebagai seorang kakak dalam keluarga dengan pelakon tidak banyak berbeza. Sebagaimana saya seorang yang easy going manja dan happy go lucky di luar sana, demikian juga apabila berada dengan adik-beradik yang lain.

"Orang anggap anak sulung jenis yang garang, kan.. Memang saya sedikit tegas, namun tidaklah disiplin sangat, karakter seorang kakak itu tetap ada,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, penulis sempat melontarkan persoalan mengenai hubungan istimewa beliau dengan Keith Foo, yang juga hero dalam drama tersebut.

Senyuman manis dihadiahkan buat pemilik nama sebenar Nur Qamarina Diana Zulreal yang mengakui mereka berdua masih dalam fasa mengenali hati budi masing-masing.

Biarpun hubungan tersebut mula bercambah ketika masing-masing memasuki set penggambaran drama Salju Rindu Di Bumi Auckland, mereka bagaimana pun memilih untuk tidak menyembunyikan percintaan daripada pengetahuan umum.

Ditebak dengan pertanyaan, tidakkah jurang usia dan status duda anak satu memberikan kesan dalam perhubungan mereka, Riena mengakui selesa berkawan dengan Keith.

"Walaupun masih terlalu awal untuk memperkata lebih lanjut mengenai hubungan kami, namun pada saya, usia bukan penghalang. Awal-awal perkenalan kami sudah ‘ngam’ walaupun saya anak sulung dan dia anak bongsu.

"Karakter kami berdua mungkin sedikit berbeza, namun dalam hal hal-hal tertentu, dia tiada masalah untuk ikut cara dan kepala saya. Sebab itu, saya anggap perbezaan umur dan status tidak banyak memberi impak dalam hubungan kami berdua‚” ungkap anak kelahiran Petaling Jaya itu lagi.

Hadiah istimewa

Perbualan kami kemudiannya beralih pula kepada peluangnya dalam bidang pengacaraan. Bagi yang menonton Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 baru-baru ini, pasti nampak kelibatnya yang bergandingan bersama Didie Alias dan Haniff Hamzah sebagai hos dalam program tersebut.

Biarpun ada suara-suara ‘nakal’ yang mempersoal akan kredibilitinya mengacarakan program segah itu sedangkan beliau masih hijau dalam bidang tersebut.

Enggan melatah, jauh sekali mahu membidas tanggapan negatif tersebut, Riena mahu bersangka baik dan positif dengan setiap kritikan.

"Setiap kritikan itu saya terima dan cuba perbaiki untuk kebaikan masa depan. Mana tahu ada lagi tawaran akan datang.

"Peluang mengacara ABPBH baru-baru ini saya ibaratkan sebagai satu peluang keemasan dalam membina peluang baharu kerana takkan selamanya saya mahu jadi pelakon, kan.

"Apatah lagi dapat tumpang dan belajar ilmu baharu dengan mereka yang lebih berpengalaman. Malah, saya ambil ia sebagai satu cabaran,”

"Pernah sebelum ini saya cakap tak boleh menyanyi, hanya berlakon sahaja. Sementara mengacara pula belum ada peluang yang besar. Alhamdulillah, ia seperti satu doa, akhirnya apa yang saya hajati tercapai kini.

"Sementelah berlakon dan mengacara dua dunia yang berbeza, apabila diberi tanggungjawab besar itu, saya teruja dan betul lah orang kata, kalau sudah rezeki takkan ke mana, kan!” ungkapnya sambil tertawa.

Lebih manis lagi, kekasih hatinya turut memberikan kejutan yang cukup manis buat Riena bersempena untuk meraikan pencapaiannya sebagai pengacara bagi program berprestij itu.

Kongsinya lebih lanjut, Keith Foo adalah insan istimewa yang sentiasa memberikan semangat, lebih-lebih lagi ketika dirinya mula goyah dan kurang yakin dengan kemampuan sendiri.

"Saya tidak sangka dia (Keith) akan hadiahkan telefon sebagai motivasi untuk buat lebih baik. Kalau diikutkan, sebelum ini waktu dapat tawaran teater, ikutkan saya tak nak tapi dia yang beri semangat dan akhirnya saya terima.

"Terbaharu, saya dapat jadi hos pula. Jadi, boleh dikatakan ini sebagai hadiah motivasi dan semangat untuk saya,” katanya yang turut menyatakan nekad untuk membuktikan keupayaan dan kemampuan diri sebagai hos.