Tahniah! Fedtri Yahya dinobat Ikon Bahasa, terima 5 pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2024. 'Saya memang gila bahasa sejak kecil'

Iklan

SIAPA yang tak kenal personaliti TV yang selalu menuturkan bait-bait puitis ini? Tahniah buat pengacara TV dan penulis lirik tersohor Malaysia Ahmad Fedtri Yahya, bukan calang-calang ni kerana berjaya mencipta sejarah dalam dunia penyiaran apabila menerima lima pencalonan di Anugerah Seri Angkasa 2024!

Pengacara program-program ikonik seperti Jejak Rasul, Malaysia Hari Ini, Aduan Jiwa, dan Soal Rakyat itu dicalonkan dalam empat kategori berprestij di Anugerah Seri Angkasa 2024 iaitu Bicarawara TV Terbaik melalui Aduan Jiwa '(Gelap Duniaku)', Montaj TV Terbaik ‘Aduan Jiwa’, dua pencalonan melalui Pengacara TV, Terbaik ‘Jejak Rasul 2023’ dan ‘Aduan Jiwa’, dan Pengulas TV Terbaik ’Aduan Jiwa: Hati Tertinggal di Syria’.

Iklan
Iklan

"Saya sendiri tidak menyangka akan tercalon dalam empat kategori serentak pada tahun ini, apatah lagi pada usia yang semakin meningkat. Semestinya saya sangat teruja dan berdebar kerana ini juga merupakan pencalonan yang terbanyak buat saya.

"Sewaktu mendapat tahu tercalon dalam keempat-empat kategori ini, sejujurnya malam itu saya demam akibat terkejut. Saya kira ini adalah demam kegembiraan. Jadi harapan saya hanyalah untuk tersenarai dalam top lima sahaja dan itu pastinya sudah memadai..‘’ kongsi Fedtri dengan penuh rasa syukur.

Iklan

Menyifatkan pencalonan ini sebagai motivasi untuk terus memperbaiki mutu karyanya, anak kelahiran Pantai Remis, Perak itu bercita-cita untuk kekal berkarya sepanjang hayat dan berhasrat untuk melakukannya dengan cara pendekatan yang lebih matang di masa akan datang.

Iklan

Salah satu impian bapa anak empat itu ialah untuk memiliki podcastnya sendiri yang mana akan membenarkan beliau mengekspresikan idea dan kreativitinya dengan lebih bebas, seiring dengan kehendak semasa.

Memulakan kerjaya sebagai hos Malaysia Hari Ini, Fedtri mengagumi Usman Awang sebagai tokoh memperjuangkan bahasa Melayu.

Malah Usman Awang banyak mempengaruhi pemikirannya melalui karya-karya yang mendalam selain seorang lagi tokoh hebat, Jalaluddin Rumi Beliau yang dikenali dengan kebijaksanaan dan keindahan bahasa dalam puisi-puisinya. Kedua-dua tokoh berkenaan memberikan inspirasi yang sangat kuat dalam kecintaan beliau terhadap bahasa dan juga sastera.

"Sebenarnya tiada dorongan yang spesifik kerana bagi saya, memang ikhlas dalam berbahasa.. Tetapi jika ditanya, saya memilih kedua-dua tokoh ini sebagai penanda aras bagi saya ketika berbahasa. Harapan saya juga pada masa akan datang adalah agar bahasa Melayu sentiasa diguna pakai dengan betul dan sentiasa disanjung tinggi di kalangan seluruh orang melayu kita..."kongsi Fedtri Yahya.

Dalam perjalanan kerjaya sejak tahun 2004, Fedtri juga menghadapi pelbagai cabaran, termasuk ketika kehilangan suara selama sebulan semasa mengacarakan Jejak Rasul pada tahun 2022.

"Waktu itu, saya takut sebenarnya sebab kehilangan suara campur pula dengan cuaca yang panas. Namun, saya bersyukur kerana penat dan lelah waktu itu ditukarkan dengan kegembiraan apabila rating bagi program Jejak Rasul melonjak naik kerana waktu itu PKP.

"Sehinggakan saya pergi ke bazar Ramadan pun ada anak-anak kecil menegur saya dan memberikan kata-kata semangat terhadap saya.. Kenangan ini akan saya simpan selamanya.’’ ulas Fedtri.

Penggambaran di Syria turut meninggalkan kesan mendalam apabila beliau menyaksikan sebuah sekolah dibakar di hadapan matanya sendiri. Walaupun berdepan cabaran berat, Fedtri berpegang kepada sokongan rakan sekerja dan fokus pada mesej yang ingin disampaikan, menjadikannya lebih positif dalam mendepani cabaran.

Menjunjung martabat bahasa yang luhur. Fedtri Yahya ibarat perwira kalam, menggubah mutiara makna dalam setiap lafaz.

Syabas kepada beliau atas penerimaan Anugerah Ikon Bahasa pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Pusat Konvensyen Ipoh, baru-baru ini.

Majlis penganugerahan ini telah disempurnakan dan disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus mengiktiraf dedikasi Fedtri dalam memperkasa bahasa dan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menjulang warisan bahasa sebagai jati diri bangsa.

Menurut Fedtri, pengiktirafan ini adalah kemuncak dari kecintaannya yang mendalam terhadap dunia bahasa, yang sudah bermula sejak kecil.

"Saya memang seorang yang gila bahasa. Sejak kecil lagi, saya akan catat perkataan yang unik dan belajar maksudnya. Minat itu berkembang seiring pencapaian dalam pertandingan dan peperiksaan, sehingga menjadi percintaan saya terhadap bahasa.”

"Sebelum darjah satu lagi saya dah minat dengan bahasa walaupun waktu itu saya tidak begitu faham dengan bahasa sangat tetapi dek kerana obses dengan bahasa, setiap kali saya mendengar radio atau television, saya akan salin beberapa perkataan yang saya rasa unik dan cuba untuk mencari maksud disebalik perkataan tersebut.

"Jadi lama-kelamaan apabila menyertai beberapa pertandingan dan mendapat markah yang cemerlang dalam bahasa Melayu, di situ bermulanya titik indah percintaan saya dalam bahasa..’’ ulas Fedtri.

Terkenal dengan bait-bait pantun dalam ucapannya, karyawan berusia 43 tahun itu menyeru generasi muda untuk lebih menghargai dan memartabatkan bahasa Melayu.

"Saya akan terus turun padang dan memberi sokongan. Setiap kali saya memberi ceramah atau berkunjung ke sekolah, saya sentiasa mendorong mereka untuk mencintai bahasa, sama seperti saya.”

Ayuh gemerlapkan cinta bahasa, sebelum tiba gerhana mati rasa...

Kalau tidak kerana kerawang,

Tidaklah mahligai coraknya berseni,

Kalau tidak bahasa dijuang,

Tidaklah hamba bersimpuh di sini.

"Terima kasih kepada pihak pengurusan TV3 & Media Prima yang tidak pernah jemu memberi sokongan dalam usaha murni memartabatkan bahasa dalam era teknologi penuh mencabar," katanya.