Bekerja sejak usia 17 tahun, Nelissa Edreena realisasi impian sambung belajar – ‘Ibu pesan cari duit sendiri dahulu’

Iklan

MEMBESAR dalam keluarga yang serba sederhana bukan alasan untuk membataskan impian. Sebaliknya, didikan seorang ibu tunggal yang mengutamakan sikap berdikari menjadi bekalan buat pelakon, Nelissa Edreena Nizam, membina kehidupan sendiri, termasuk merealisasikan hasrat menggenggam segulung ijazah.

Bukan sekadar sibuk mengejar peluang dalam dunia lakonan, anak seni itu turut membuktikan bahawa kerjaya dan pendidikan boleh bergerak seiring jika disertai kesungguhan serta disiplin tinggi.

Iklan
Iklan

Menariknya, keinginan untuk melanjutkan pengajian sebenarnya sudah tertanam sejak awal. Malah, hasrat tersebut menjadi antara sebab wanita berusia 38 tahun itu sanggup bekerja seawal usia remaja bagi mengumpul wang untuk membiayai pengajiannya sendiri.

Menurut graduan Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Komunikasi Antarapersonal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) tersebut, ibunya sering mengingatkan agar dia mempunyai sumber pendapatan sendiri sebelum menyambung pelajaran.

Iklan

“Ibu saya selalu pesan, kalau nak belajar, cari duit sendiri dahulu. Bila dah ada duit, barulah sambung belajar.

“Sebab itu saya mula bekerja. Saya cari duit kerana memang dari awal lagi saya nak belajar,” kongsinya.

Iklan

Bermula dengan iklan

Mengimbas perjalanan awalnya dalam industri hiburan, Nelissa mula mengenali dunia seni selepas ibunya menggalakkan dia menghadiri sesi uji bakat iklan ketika berusia sekitar 17 tahun.

Peluang membintangi iklan produk Safi menjadi antara pengalaman pertama yang membuka ruang buat dirinya mengenali industri berkenaan sebelum mengembangkan langkah ke bidang lakonan drama dan filem.

Walaupun pada awalnya tidak pernah memasang impian untuk bergelar pelakon, pengalaman memperoleh pendapatan sendiri memberikan kepuasan tersendiri, apatah lagi apabila dia mampu menguruskan perbelanjaan peribadi dan membantu keluarga.

“Saya bukan datang daripada keluarga yang senang. Ibu saya membesarkan kami sebagai ibu tunggal dan dari kecil memang dia ajar kami untuk berdikari.

“Bila mula bekerja dan dapat duit sendiri, saya rasa seronok kerana boleh menanggung perbelanjaan sendiri dan membantu keluarga,” ujarnya.

Berbekalkan pengalaman bekerja serta kelayakan akademik yang dimiliki, Nelissa mengambil inisiatif mencari maklumat mengenai peluang kemasukan ke UiTM berdasarkan pengalaman dan pencapaiannya.

Usahanya membuahkan hasil apabila permohonan untuk menyambung pengajian dalam bidang Komunikasi Antarapersonal diterima.

“Saya terus mohon dan Alhamdulillah, saya berjaya diterima masuk,” katanya.

Siapkan tugasan tempat shooting

Menjadi pelakon dan mahasiswa secara serentak bukan perjalanan yang mudah. Sepanjang kira-kira empat tahun setengah pengajian, Nelissa perlu bijak mengatur masa bagi memastikan kedua-dua tanggungjawab dapat dilaksanakan.

Jadual penggambaran yang berubah-ubah, ditambah pula dengan tugasan dan kelas universiti, menuntut komitmen yang bukan sedikit.

Namun, daripada membiarkan kesibukan menjadi alasan, dia memilih untuk memanfaatkan setiap ruang masa yang ada, termasuk ketika menunggu giliran di lokasi penggambaran.

“Kalau dalam sehari ada beberapa babak, biasanya jadual penggambaran itu terbahagi kepada beberapa sesi. Jadi, bila ada masa menunggu, saya akan keluarkan komputer riba dan siapkan tugasan.

“Bila orang panggil untuk berlakon, saya pergi ke set. Bila selesai, saya sambung semula kerja universiti. Begitulah cara saya cari masa untuk belajar,” jelasnya.

Pelaksanaan pembelajaran dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut memberi sedikit kelegaan kepadanya untuk menyusun komitmen kerja dan akademik.

Bagaimanapun, apabila kelas bersemuka kembali dilaksanakan, Nelissa tetap memastikan tanggungjawab sebagai mahasiswa tidak diketepikan.

“Kalau ada kelas yang memerlukan kehadiran fizikal, saya akan maklumkan lebih awal kepada pihak produksi kerana saya perlu hadir ke kelas.

“Walaupun susah, kita kena faham bahawa sebagai pelajar, kita juga ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Ilmu bentuk keyakinan

Lebih daripada sekadar memperoleh kelayakan akademik, pengalaman menuntut ilmu di UiTM turut memberikan perubahan positif terhadap perkembangan dirinya.

Nelissa mengakui pernah berdepan kesukaran untuk berkomunikasi dengan orang lain. Namun, proses pembelajaran, sokongan pensyarah serta pergaulan dengan individu daripada pelbagai latar belakang membantunya membina keyakinan diri.

Malah, ilmu Komunikasi Antarapersonal yang dipelajari mempunyai kaitan rapat dengan kerjayanya sebagai pelakon, terutama dalam memahami emosi, tingkah laku dan cara seseorang berinteraksi.

Baginya, seseorang pelakon bukan sekadar perlu menghafal dialog dan menghayati watak, sebaliknya perlu mempunyai kepekaan untuk memahami pengalaman serta sudut pandang orang lain.

Pengalaman itu juga mengukuhkan kepercayaannya bahawa proses menuntut ilmu tidak seharusnya terhenti selepas seseorang meninggalkan alam universiti.

Mengulas mengenai kepentingan pendidikan, Nelissa berharap perjalanan hidupnya dapat memberikan semangat kepada golongan muda, khususnya mereka yang perlu bekerja terlebih dahulu sebelum mempunyai peluang menyambung pengajian.

Katanya, setiap individu mempunyai laluan tersendiri dan tidak perlu mengukur kejayaan berdasarkan perjalanan hidup orang lain.

“Nasihat saya kepada generasi muda, terutama yang baru habis SPM atau sekolah, teruskan mencari ilmu dan belajar.

“Universiti bukan sekadar tempat mendapatkan ijazah, tetapi juga tempat membentuk karakter serta cara kita berfikir dan berkomunikasi.

“Sebagai pelakon pun, kami belajar setiap hari. Kami perlu memahami perasaan dan pengalaman orang lain, termasuk perkara yang kami sendiri tidak pernah lalui,” ujarnya.

Bekas ahli kumpulan The Gadys itu turut mengingatkan, pendidikan merupakan satu bentuk pelaburan jangka panjang yang bermanfaat, tanpa mengira bidang pekerjaan atau kerjaya pilihan seseorang.

“Pastikan setiap hari kita belajar sesuatu yang baharu. Pilihlah UiTM sebagai tempat untuk melanjutkan pengajian kerana ia sebuah universiti yang baik,” ungkap pelakon drama Budak Tebing 2 itu lagi.