SIAPA pun pasti seronok melihat anak cucu memiliki pencapaian akademik dan menamatkan pengajian dengan cemerlang.
Demikian juga pelakon Wan Hanafi Wan Su, 73, yang turut meraikan hasil usaha dan penat lelah cucu mendapatkan segulung ijazah.
Aktor veteran itu tidak ketinggalan hadir meraikan kejayaan, Khairina Syamimi Khairul Anuar dalam sesi Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ke-19 baru-baru ini.
Comelnya aksi datuk dan cucu ini. Khairina yang lengkap memakai jubah konvokesyen berserta mortar board tersipu-sipu malu serta dalam masa sama kelihatan tersentuh apabila Wan Hanafi menyatakan bahagia melihat kejayaannya.
"Bila bercakap tentang kebahagiaan bila tengok konvo cucu, rasa (seronoknya) tak boleh nak lawan.
"Syukur Alhamdulillah. Itulah dia, maknanya kita boleh berikan contribute kepada generasi akan datang melalui keturunan.
"Saya mengharapkan dia (Khairina Syamimi) akan membuat kebaikan dan kebaikan sampai bila-bila," katanya.
Khairina yang merupakan graduan Fakulti Sains dan Teknologi Industri menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri dengan Kepujian yang disampaikan oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin.
Warga maya tidak ketinggalan mengucapkan tahiah buat pelakon Jogho dan Hikayat Merong Mahawangsa itu. Tidak ketinggalan, ramai yang mengimbau kembali lagu Aku Hanya Serangga yang pernah ditulis Wan Hanafi untuk kumpulan rock BPR.
Ujar mereka:
"Bestnya Atuk sempat tengok cucu terima ijazah. Tahniah."
"Legend actor. Terbaik.. Beruntung cucu mempunyai datuk yang antara berjasa dalam dunia perfileman Malaysia."
"Jarang Atuk hadir konvo cucu. Tahniah."
"Harapn seorang datuk kepada cucu yang disayangi. Moga Khairina terus maju jaya."
Sekadar info, Wan Hanafi pernah membintangi filem Apprentice arahan pengarah Singapura, Boo Junfeng.
Kejayaan filem itu membuka peluang beliau ke festival filem berprestij dunia iaitu Festival Filem Cannes pada tahun 2016.