PELAKON Nur Fazura telah selesai memfailkan persetujuan berkaitan nafkah anak perempuan tunggal mereka yang telah dipersetujui bersama bekas suami, Fattah Amin.
Peguam syarie yang mewakili Fazura iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan memaklumkan proses berkenaan dilakukan pada Isnin di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
"Baharu selesai rekodkan persetujuan berkaitan iddah dan nafkah anak.
"Rekod tersebut adalah seperti yang telah dipersetujui oleh mereka berdua dalam proses perceraian sebelum ini," katanya.
Memetik mStar, peguam tersebut dilaporkan turut berkata kes hadanah telah difailkan terhadap Fattah.
Sekadar info, hadanah bermaksud penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian, terutama anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian serta perlindungan.
Terdahulu, Fattah dan bekas isteri, Fazura sah bercerai talak satu selepas aktor itu melafazkan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Subang Bistari pada 7 Oktober selepas tujuh tahun berkahwin.
Pada 13 September lalu, media melaporkan, Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Untuk rekod, pasangan yang popular dengan singkatan Fattzura itu diijabkabulkan pada 27 November 2017 dan dikurniakan cahaya mata perempuan bernama Nur Fatima Aisya, 4.
Sumber: mStar