“PAJI..ibu takut jumpa doktor!”
LUAHAN ringkas itu cukup menggambarkan keadaan terkini ibu kepada penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, Datin Paduka Umi Kalsom Abdol Latibyang kini berdepan ujian kesihatan apabila mengalami demensia atau lebih dikenali sebagai nyanyuk.
"Buat yang mengenali ibu saya, Datin Paduka Umi Kalsom, beginilah keadaan ibu sekarang. Dia telah ada dementia atau orang melayu kita panggil nyanyuk. Hanya memori-memori lama ibu masih mampu ingat," kongsinya.
Menerusi perkongsian di Instagram, Fazley mendedahkan ingatan ibunya semakin merosot sejak dua hingga empat bulan kebelakangan ini sehingga memori jangka pendek dikatakan hanya mampu bertahan sekitar 30 saat.
Artikel berkaitan:
Menurutnya, keadaan itu bermula apabila Umi Kalsom terlupa tempat meletakkan tuala sebelum mula melupakan kejadian yang berlaku seminggu sebelumnya.
Lebih meruntun hati, perkara harian seperti membuka televisyen juga menjadi sesuatu yang asing buat ibunya meskipun baru sahaja diajar beberapa saat sebelum itu.
Bagaimanapun, di sebalik kemerosotan daya ingatan itu, terdapat satu ungkapan yang masih tidak pernah dilupakan Umi Kalsom.
Bagi Fazley, ungkapan berkenaan membawa makna cukup besar apatah lagi dia menyedari kemungkinan suatu hari nanti ibu tersayang juga akan terlupa siapa dirinya.
“Seolah-olah tahu bahawa pengakhirannya nanti, saya pun dia akan lupa siapa. Setiap hari ibu lafazkan ayat yang sama pada saya, supaya saya kenang kata-kata keramat itu sampai bila-bila.
“Sedih, terlalu sedih. Hinggakan air mata saya tak berhenti mengalir sambil saya menulis kapsyen ini,” luahnya.
Dalam perkongsian sama, Fazley turut menceritakan pengalaman membawa ibunya mendapatkan rawatan di klinik.
Mengakui ibunya takut berjumpa doktor, dia tetap memujuk dan memeluk wanita kesayangannya itu.
"Saya tetap pujuk dan peluk ibu sambil doktor ambil darah dan suntikkan ubat. Syurga saya dunia akhirat, ibu saya," kongsinya.
Dalam pada itu, bapa kepada empat cahaya mata itu mengakui sentiasa meluahkan kasih walaupun kini keadaan telah berubah.
“Paji pun saaayang ibu sangat tau,” demikian balasnya setiap kali ibunya memeluknya.
Bukan itu sahaja, Fazley turut merakamkan penghargaan kepada insan yang sudi membantu menguruskan keperluan rawatan ibunya, termasuk menyediakan pembantu khas bagi menemani Umi Kalsom sepanjang hari.
Dalam pada itu, pelantun lagu Asmara Ini menyatakan prinsip yang menggambarkan kedudukan penting ibu dan anak-anak dalam kehidupan Fazley.
“You wanna win my heart permanently? Win me through my ibu and my kids first, and maintain that," titipnya.
Mengakhiri perkongsian, Fazley menitipkan doa agar ibunya terus tabah menghadapi ujian kesihatan berkenaan.
“Semoga ibu tabah menghadapi ujian ini, tanda ALLAH menyayangi ibu,"kongsinya.
Hantaran Fazley berkenaan menerima reaksi menyentuh hati daripada rakan selebriti dan para peminat.
Rata-rata menyatakan simpati dan mendoakan agar urusan Fazley dan keluarga menjaga bonda tercinta dipermudahkan.