Pernah ditipu sampai hangus modal RM100,000, usahawan wanita ini tetap percaya rezeki ALLAH & kembangkan jenama warisan keluarga

Iklan

BUKAN mudah untuk menaikkan nama Zai Seri Gemilang. Apatah lagi, ia hanya bermula daripada sebuah premis restoran yang menghidangkan masakan kampung asli Johor.

Pun demikian, Norhafizah Abd Karim tidak terus mengalah dan mengorak langkah lebih berani dengan menerokai dunia katering untuk pakej perkahwinan.

Iklan
Iklan

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Zai Seri Gemilang itu, meski sudah menawarkan servis katering secara kecil-kecilan sejak tahun 2013, namun ketika itu tiada sambutan menggalakkan.

"Paling saya tak lupakan, jenama warisan keluarga 'meletup' selepas menerima tempahan katering untuk majlis perkahwinan artis popular tanah air,” katanya.

Iklan

Segmen 1

Iklan

Bercerita tentang sejarah bisnes tersebut, bekas pembantu akaun itu memberitahu, sebelum itu perniagaan makanan yang diusahakan datuknya dengan jenama HS Katering cukup dikenali pada tahun 80-an.

"Kami menyediakan aneka lauk-pauk dengan resipi keluarga untuk puaskan hati pelanggan. Pada masa sama, rezeki dapat tender kantin dan tempahan makanan untuk pejabat kerajaan,” ceritanya dengan nada teruja.

Berkat rezeki tempahan yang melimpah-ruah dan sentiasa menjaga kualiti masakan yang dipantau sendiri ibunya, Datin Zaiton Abdul Rahman, label Zai Seri Gemilang semakin berkembang.

Bermula sebuah restoran, kini perniagaan keluarga itu sudah memiliki dua lagi cawangan iaitu Restoran Zai Seri Gemilang dan Seri Gemilang Cafe yang masing-masing terletak di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Hangus modal RM100,000

Bersembang dengan ibu kepada empat cahaya mata itu rupa-rupanya menyingkap satu kisah memilukan apabila pernah ditipu pelanggan hingga hangus modal mencecah RM100,000.

"Bila orang tipu tak bayar bayaran katering, memang down masa itu tapi saya percaya rezeki ALLAH,” katanya yang turut terjejas ketika negara dilanda wabak Covid-19.

Saat itu ujarnya, keadaan cukup terkesan tanpa sebarang tempahan dan kedai terpaksa ditutup yang mana beliau bergantung kepada duit simpanan untuk survival hidup.

"Paling laris, nasi minyak dengan ayam masak merah, daging masak beriani dan kambing masak kuzi. Kambing golek pun banyak orang tempah untuk majlis,” ujarnya.

Meski berpangkalan di Shah Alam, Selangor, namun suri hati kepada Mohd Faisal Rosli, 43, itu tetap memenuhi tempahan hingga ke Janda Baik, Pahang dan Johor.

"Apa yang membuatkan saya nekad selepas kami menerima pensijilan halal untuk produk makanan. Itu satu peluang untuk kami lebih dipercayai pada masa akan datang,” tuturnya penuh semangat.

Sebelum menutup perbualan, Norhafizah sempat menitipkan kata-kata nasihat buat mereka yang masih tercari-cari idea untuk memulakan bisnes sendiri.

"Tak salah kalau tak mahu sambung belajar tapi diri kena ada ilmu. Saya sendiri, misalnya masih banyak belajar dengan ibu termasuk mewarisi resipi keluarga supaya lebih maju lagi,” nasihat anak sulung daripada empat beradik itu.