TIDAK dapat digambarkan dengan kata-kata, betapa pilunya hati dua insan tersayang pergi sekelip mata dalam keadaan tragis.
Isteri dan ibu dikenali sebagai Khalida kehilangan suami, Zulkifli Ibrahim, 62 serta anaknya, Siti Zulaila, 30, yang maut ditikam dalam kejadian di hadapan lif sebuah pangsapuri di Lengkok Angsana, Bandar Baru Farlim, Ayer Itam, Pulau Pinang.
"Kita tak tahu kematian kita macam mana, kematian mereka (anak dan suami) dah tahu dah macam mana," katanya di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang.
Biarpun menyedihkan, namun Khalida reda dan menganggap ajal suami dan anak perempuannya sebagai ketentuan takdir.
Pihak keluarga masih trauma dengan kejadian itu meminta orang ramai tidak buat spekulasi yang mengaibkan arwah dan keluarga.
Sebelum itu, timbul pelbagai andaian susulan kejadian tragis yang menimpa Zulkifli dan Zulaila. Namun pihak keluarga menegaskan suspek bukan kekasih mangsa.
"Keluarga mangsa masih terkejut kerana kejadian berlaku sangat pantas.
"Mereka tidak bersedia untuk komen kerana trauma, mereka kehilangan dua orang tersayang dalam masa sama," katanya lagi.
Difahamkan mangsa wanita sudah berumah tangga dan mempunyai tiga anak berusia lingkungan 18 bulan hingga 10 tahun.
Kakak, Khadijah Ibrahim berkata, Zulkifli menghubunginya beberapa minit sebelum kejadian.
"Saya baru bercakap (telefon) dengan dia jam 12.47 tengah hari semalam (Khamis), tiba-tiba dapat tahu dia dah meninggal dunia.
"Arwah baik, sangat disenangi keluarga," katanya.
KRONOLOGI KEJADIAN
Susulan kejadian kejam itu, seorang suspek lelaki direman dari 8 ini hingga 14 November (Khamis) depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek berusia 32 tahun yang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) berada dalam keadaan stabil.
Berikut adalah info kejadian yang menyayat hati:
1-Kejadian berlaku pada 12.54 tengah hari Khamis, 7 November 2024.
2-Difahamkan, ketika kejadian Zulaila baru pulang dari tempat kerjanya sebelum didatangi suspek bersenjatakan pisau dan menikamnya.
3-Bapanya, Zulkifli yang menyedari kejadian berkenaan cuba meleraikan tindakan suspek terhadap anak perempuannya namun dia juga turut ditikam.
4-Dua beranak itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
5-Suspek kemudian mengelar dan menikam dirinya beberapa kali sebelum dikejarkan ke HPP untuk rawatan.
6-Sebelum itu, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang individu membawa pisau dan berada dalam keadaan mencurigakan di pangsapuri berkenaan.
Buat masa ini, pihak polis sedang menyiasat motif kejadian daripada pelbagai sudut dan meminta saksi awam yang melihat kejadian secara jelas untuk tampil membantu dalam siasatan.
Kredit: Sinar Harian, 2