HILANG keupayaan mendengar dan bertutur akibat demam panas semasa usia setahun tidak melemahkan semangat Nor Adzleen Abdul Karim untuk mencipta kejayaan tersendiri dalam dunia pastri serta bakeri.
Malah, Ketua Cef Pastri Restoran Gastrohub yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan itu tidak sedikit pun menjadikan kekurangan diri sebagai batu penghalang untuk mengejar cita-citanya.
Kepada SinarPlus, Nor Adzleen atau mesra disapa Cef Leen berkata, minat yang mendalam dalam bidang masakan seawal usia 11 tahun membuatkan dirinya nekad.
"Ini kerana pada ketika itu, bidang kulinari ada ditawarkan untuk golongan kurang upaya (OKU) di institusi berkenaan,” beritahunya menerusi aplikasi WhatsApp.
Tatkala ditanya tentang insiden hitam yang mengubah 360 darjah dunianya, cerita Cef Leen, pada awalnya doktor memaklumkan dirinya mungkin hanya boleh berjalan pada umur lapan tahun.
Bagaimanapun, dengan izin ALLAH, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ibrahim Yaacob, Kuala Lumpur itu dapat berjalan selepas usia mencecah dua tahun.
"Namun, masa nak masuk tadika, barulah doktor sahkan saya OKU. Alhamdulillah saya tidak sesekali menyalahkan takdir dan kemurungan sebab dikelilingi ahli keluarga yang cukup mengambil berat,” ceritanya.
#inanaim #pengantin #kahwin #sinarplus #lifestylesinarharian
Bahkan, yang membuatkan anak jati Kuala Lumpur itu terus cekal menempuh dugaan berat adalah kerana berkat sokongan tidak berbelah bahagi tiga insan penting yang hadir dalam bahtera hidupnya.
"Kedua, suami saya yang banyak membantu sebagai tulang belakang untuk terus maju. Akhir sekali, sudah tentu anak-anak kerana mereka menjadi sumber kekuatan untuk saya gigih mencari rezeki,” kata suri hati kepada Mohd Shaiful Nizam Mohd Khamis, 40.
Bekas murid Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Kampung Baharu Kuala Lumpur itu juga tidak menafikan, dirinya pernah dibuli gara-gara tidak boleh mendengar dan bercakap sejak kecil.
"Bagi saya, mungkin mereka tidak faham situasi saya kerana tidak mendengar dan tidak boleh berkomunikasi dengan elok seperti mereka semua,” tulisnya dengan tegas.
Motivasi diri
Bercerita tentang pencapaian diri yang cukup membanggakan, ibu kepada dua cahaya mata itu sudah menempah nama di restoran ternama sejak empat tahun lalu.
"Sebenarnya sukar nak sesuaikan diri masa kerja kerana saya berdepan masalah berkomunikasi dengan orang normal. Namun, alhamdulillah, asbab ilmu yang dipelajari di politeknik membentuk saya menjadi pelajar cemerlang dan cepat tangkap,” tulisnya.
Berbual secara maya nampaknya tidak menghalang kami untuk mengetahui kebolehan Cef Leen yang terkenal dengan signatur menu seperti Istanbul kunafa, Coklat Dubai, San Sebastian Cheesecake, Korean Cheese Bun dan Apple Strudel.
Boleh dikatakan wanita berusia 40 tahun itu menjadi ikon untuk pelajar OKU yang mahu mengikut jejak langkahnya dan berjaya dalam bidang kulinari.
Selain sibuk dengan tugas hakiki, anak kedua daripada empat beradik itu juga rajin berkongsikan video dan penstriman langsung tentang motivasi diri di media sosial serta resipi masakan setiap minggu.
Tidak kedekut berkongsi ilmu dan menitipkan kata-kata semangat, Cef Leen turut menasihatkan golongan senasib jangan sesekali membezakan kehidupan mereka dengan orang lain.
"Kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa, berikanlah didikan sempurna dan tunjuk ajar yang cukup supaya mereka dapat berdikari bila dewasa kelak,” nasihatnya.
Sebelum menutup perbualan, wanita cekal itu juga menyimpan harapan besar untuk memiliki kilang pastri dan bakeri dengan jenama sendiri suatu hari nanti.
"Saya terpaksa menutup jualan dan bisnes shoplot sendiri. Insya-ALLAH, jika diizinkan-Nya, saya ingin membina semula perniagaan dan kilang untuk bantu golongan OKU seperti saya,” kongsinya dengan penuh harapan.