"AMI, terima kasih jadi anak yang baik."
Demikian luahan Azza Asyariena Azhar, 27, yang baharu kehilangan adik tersayang, Konstabel Ahmad Azza Fahmi, 22, dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi tadi.
Memuat naik video bersalaman di ruangan Insta Story, Azza Asyariena meluahkan kesedihan pemergian adik tersayang yang mesra disapa Ami.
Lebih menyedihkan, ujarnya hasrat niat pemuda itu untuk membawa keluarga bercuti dan pulang ke kampung halaman bapa di Kelantan tidak kesampaian.
Percutian bersama ibu bapa dan tujuh adik-beradiknya itu terdahulu telah dirancang Allahyarham untuk 'menebus' masa bersama keluarga yang tidak dapat dipenuhi pada Aidilfitri baru-baru ini kerana tuntutan tugas.
Baca juga: 4 tragedi berdarah, serangan pengganas ke atas balai polis yang pernah menggemparkan negara
"Dia memang cakap nak balik bercuti hujung bulan Jun ini dan bawa keluarga pergi jalan-jalan,” katanya.
Anak kedua daripada lapan beradik itu juga menyifatkan Ahmad Azza Fahmi seorang yang sangat baik dan murah dengan senyuman selain tidak pernah berkira dengan keluarga.
"Dalam kalangan rakan-rakannya, mungkin Ami seorang yang pendiam, tetapi dalam keluarga mulut arwah paling riuh dan arwah ini sangat ringan tulang.
Azza Asyariena berkata, kenangan berbuka puasa beramai-ramai dua bulan lepas merupakan kali terakhir mereka bertentang mata secara fizikal dengan anak keempat itu.
"Kami memang boleh dikatakan hari-hari akan (buat) panggilan video dengan semua adik-beradik. Kami akan kemas kini urusan harian masing-masing. Arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian,” katanya.
Beliau berkata, jenazah Ahmad Azza Fahmi dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor di Perak hari ini atau awal pagi esok selepas proses bedah siasat selesai.
Sementara itu, sahabat Allahyarham, Mohammad Munsyi Aziz Abdullah, 21, pula tidak menyangka panggilan video antara mereka dua hari lepas adalah yang terakhir.
Baca juga: 72 tahun tragedi Bukit Kepong, imbas kembali perjuangan wira-wira negara menentang komunis
"Kami mempunyai minat yang sama berkaitan motosikal, selalunya kami akan sembang berkaitan perkara itu (motosikal) dan cerita kehidupan semasa masing-masing.
"Arwah seorang yang sangat baik dan dia tidak kedekut dengan kawan-kawan. Semenjak dia bekerja sebagai polis, setiap kali keluar makan (jika balik bercuti), dia akan belanja makan,” katanya yang membesar bersama Allahyarham di Kampung Poh.
Dalam kejadian 2.30 pagi itu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun dan suspek, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera.
Sumber: Bernama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!