MEMPUNYAI pengaruh yang kuat, bukan sahaja produk sendiri, malah mempromosikan barangan orang lain juga mencatatkan jualan yang tertinggi, itulah dia pempengaruh dan usahawan Khairul Aming.
Baru-baru ini, seorang individu berkesempatan berjumpa dengan pemuda berusia 32 tahun itu untuk bertanyakan nasihat tentang perniagaan.
Namun begitu, jawapan yang diberikan oleh pengasa Sambal Nyet dalam video di Tiktok Hasya Hassan itu sememangnya bertepatan soal rezeki dan jujur dalam perniagaan.
Kata beliau, sesetengah produk makanan yang dihantar dan tidak menepati cita rasanya tidak akan dimuat naik.
"Ramai orang hantar makanan minta review, tetapi ada yang saya tak review sebab memang tak sedap. Ia melibatkan duit orang.
"Kadang-kadang kita lupa pasal keberkatan usaha kita. Semua orang sibuk nak doa, betul ianya bagus tetapi kalau kita doa sahaja tapi cara kita berusaha itu tak ada keberkatan tak boleh juga," katanya.
Dalam pada itu, anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut turut menjelaskan sifat segelintir individu yang hanya berdoa untuk mendapatkan keuntungan.
Namun pada masa sama, mengabaikan kebajikan orang yang menyokong mereka.
"Sebagai contoh kita amalkan doa nak untung juta-juta, tetapi dalam berniaga kita tipu orang, menzalimi staf, tak bayar duit orang, kita curi hak orang ataupun khianat.
"Saya akan memilih produk dan ramai juga yang saya ‘reject’ sebab memang tak sedap, saya perlu jujur.
"Orang ramai berkata, ‘murahnya rezeki Khairul Aming, apa amalannya?’
"Tapi sebenarnya bagi saya ia tidaklah terlalu suka, cuma kita jangan terlepas pandang dengan perkara yang penting iaitu menjaga keberkatan dalam mencari rezeki," jelas beliau lagi.
Nasihat berguna untuk individu lain di luar sana yang mencari rezeki terutama yang menjual produk sendiri ataupun melalui perniagaan affiliate supaya jujur dalam mempromosi barangan dan tidak memperdaya orang lain demi keuntungan diri.