TENANG ketika di mahkamah hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan untuk pemohonan pengesahan rujuk, aktor dan pengarah Farid Kamil hanya sempat memaklumkan ingin menyambut hari lahir anak kedua, Nur Aurora.
Beliau yang memakai songkok berlilit kain putih mencuri tumpuan enggan memberi sebarang komen berkaitan prosiding mahkamah pada hari ini dan isu perceraiannya dengan isteri, Diana Danielle.
"Sebenarnya, hari ini saya sangat bersyukur. Saya mahu menjemput anak pulang dari sekolah untuk menyambut hari lahirnya.
"Saya harap orang beri doa-doa yang terbaik buat anak saya Nur Aurora Robe'ah.
Malah pelakon Anak Halal dan Lagenda Budak Setan itu bersyukur urusan berjumpa anak-anak dipermudahkan memandangkan baharu sahaja bertemu pada pagi tadi.
"Jumpa anak-anak tiada masalah. Kami dapat bertemu seperti biasa. Kali terakhir saya jumpa mereka pun hari ini.
"Aurora dan Muhammad, alhamdulillah mereka dalam keadaan baik-baik sahaja,” katanya.
Ditanya tentang kesediaan Farid untuk melepaskan Diana buat kali kedua, peguam syarie yang mewakilinya, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, aktor itu sudah bersedia melalui prosiding di mahkamah.
Diana sebelum ini menfailkan penceraian buat kali kedua pada 4 November lalu selepas mendakwa wujud pergaduhan berpanjangan atau ‘shiqaq’ yang tidak boleh diperbaiki.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.
Sebelum ini, Diana dan Farid pernah berhadapan dengan krisis rumah tangga yang berpanjangan sebelum disahkan bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu. Bagaimanapun, kedua-dua mereka rujuk semula pada 31 Ogos tahun sama.
Sumber: Sinar Harian (Nur Ezzatul Aqmar Mustaza)