'Belum kena 'sondol', Tuhan masih jaga niat & pandangan saya...' Aeril Zafrel & Wawa Zainal dedah pillow talk, bercuti sekeluarga rahsia bahagia

Iklan

SEBUT sahaja nama Wawa Zainal dan Aeril Zafrel, pasti ramai yang terbayang kaletah suami isteri itu yang cukup romantik dan harmoni.

Pasangan merpati sejoli tersebut bukan sahaja dikenali kerana pencapaian dalam bidang bisnes, tetapi juga kerana hubungan mereka yang penuh kasih sayang dan menjadi contoh kepada ramai pasangan lain.

Iklan
Iklan

Wawa yang merupakan anak kelahiran Sabah yang cukup dikenali sebagai seorang wanita yang sangat penyayang dan penuh perhatian terhadap keluarga. Wawa sering berkongsi momen bahagia bersama suami dan anak-anak di media sosial, yang menambahkan lagi kecintaan peminat terhadap dirinya.

Sementara Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, pelakon, model dan usahawan yang memiliki personaliti yang sederhana, karisma yang menyenangkan, dan sangat setia terhadap keluarganya.

Iklan

Sejak mendirikan rumah tangga, Aeril sering menunjukkan sokongan dan kasih sayangnya terhadap Wawa. Bahkan kedua-duanya saling menyokong antara satu sama lain, saling menghormati, serta memperlihatkan sikap saling mempercayai.

Dalam setiap kesempatan, baik di media sosial mahupun dalam kehidupan seharian, pasangan itu sering meluahkan rasa cinta mereka secara terbuka, dan ini memberi inspirasi kepada banyak pasangan muda lain.

Iklan

Tatkala pasangan selebriti lain dihantui pergolakan rumah tangga, pertikaian nafkah dan perebutan hak menjaga anak-anak, Wawa dan Aeril tetap utuh membina bahagia.

Kahwin rahsia

Lebih sedekad melayari bahtera perkahwinan, pelbagai pahit manis dilalui Wawa dan Aeril. SinarPlus baru-baru ini berkesempatan menemu bual pasangan tersebut yang menjadi tetamu jemputan menerusi program Borak Bibir Merah (BBM) Eksklusif Bersama Rozita Che Wan.

Bertemakan ‘love story’, program yang mendapat tajaan Courts Malaysia, Padangs Hot Wheel, Abaro, Bella Clinic, Hyatt Palce KL, Bukit Jalil, Szblooms, tudung ruffle, Mr muscle, Telekung Siti Murni, TudungSiComel dan air minuman tenaga Ctah itu berlangsung di Dewan Karangkraf, Shah Alam dengan kehadiran lebih 150 penonton.

Bagi anda yang ingin menyaksikan perkongsian pasangan tersebut, jangan lepaskan peluang untuk menonton video penuh BBM pada 28 November jam 8.30 malam di platform media sosial SinarPlus. Turut tampil dalam program berkenaan ialah penyanyi dan komposer terkenal, Ajai dan PU Ustaz Amin.

Menerusi segmen Borak No Limit bersama Che Ta, Wawa dan Aeril menyingkap kembali momen sewaktu mereka dihambat dek kontroversi gara-gara dikatakan ‘menyembunyikan’ status perkahwinan.

Dalam perkongsian tersebut, Aeril mengakui mereka sama sekali tidak berniat berbuat demikian, sebaliknya perkara kontroversi yang berlaku itu disebabkan ada individu lain yang terlebih dahulu mendedahkan perkara tersebut.

"Sebenarnya kami bukan kahwin secara rahsia kerana kedua belah pihak keluarga tahu. Cuma, waktu itu Wawa terikat dengan kontrak syarikatnya. Sementara saya tak mahu hubungan kami tanpa ikatan yang sah. Lagipun saya nak cepat-cepat ‘ikat’ dia sebelum orang lain sambar,” seloroh Aeril.

Pun demikian, beliau dalam nada tegas mengakui sudah merancang untuk mengumumkan perkara tersebut namun tidak sangka ia didedahkan oleh orang lain.

"Waktu itu memang kami berdua dihentam hebat namun dugaan itu rupa-rupanya membuatkan masing-masing kuat sehingga sampai ke tahap sekarang.

"Kalau orang sekarang sebut anxiety dan sebagainya, sejujurnya itulah dugaan hebat yang pernah kami lalui bersama dulu.

"Namun, saya bersyukur kerana kami saling melengkapi dan itu yang membuatkan hubungan makin erat dan mengecapi kebahagiaan tersendiri dalam kehidupan berumah tangga,” ungkap Aeril lagi.

Pillow talk

Wawa yang senada dengan suaminya memberitahu, jatuh bangun bersama antara resipi rahsia mereka bertahan sehingga kini.

"Aeril seorang yang tenang, saya pula dulu sebaliknya. Namun, lama-kelamaan saya jadi terikut-ikut dengan perangainya.

"Lagipun, kami bukan jenis yang suka bergaduh lama-lama atau ego tak nak mengalah. Biasanya kalau berlaku perselisihan faham, sekejap sahaja sudah berbaik kembali.

"Cuma satu benda yang kami tetap praktik dan mungkin itu antara rahsia hubungan kami bertahan adalah walau merajuk macam mana sekali pun, kami tetap akan tidur dalam satu bilik bersama,” dedah Wawa sambil tersenyum manis menampakkan lesung pipitnya.

Aeril dalam pada itu mendedahkan, setiap malam mereka akan berborak sebelum tidur.

"Kami praktikkan ‘pillow talk’ dan berkongsi pelbagai perkara. Untungnya juga kami bekerja di tempat yang sama jadi itu memudahkan banyak benda. Walaupun orang kata ada baik buruk kalau suami isteri bekerja satu tempat, tapi sehingga kini kami bersyukur tidak wujud sebarang masalah.

"Cuma dalam hubungan suami isteri, kena saling melengkapi, ada benda saya dan Wawa sendiri kena berubah untuk kebaikan bersama, itu rahsia bahagia kami bersama,” ungkap Aeril lagi.

Malah, Wawa dalam nada bercanda memberitahu suaminya itu tidak boleh bergaduh lama-lama dengannya.

"Dia (Aeril) boleh diibaratkan seperti ‘mayat hidup’ di rumah, terus tak ada mood kalau bergaduh. Jadi, bayangkan kalau kami ada masalah besar, tak tahu lah bagaimana anxiety dia kelak. Sebab tu, jangan buat hal,” pesan Wawa sambil disambut ketawa oleh Aeril, Che Ta dan juga Ustaz Amin.

Menyentuh tentang aktiviti yang sering dilakukan bersama, akui Aeril, sejak dahulu lagi mereka suka bercuti sekeluarga.

"Banyak benda yang kami lakukan adalah demi anak-anak. Kalau nak kata ‘sweet’ pada saya tidaklah sangat, cuma mungkin kami jarang bergaduh. Bab kejutan untuk isteri itu, biasanya setahun dua kali wajib buat (ketawa).

"Cuma dalam soal panggilan antara kami berbeza dengan pasangan lain. Kami sudah terbiasa dengan kau aku. Mungkin pada pandangan orang nampak kasar dan tak elok, namun itulah yang membuatkan kami lebih akrab,” ujar Aeril yang juga mempraktikan ‘dating’ bersama isteri cara eratkan lagi kasih sayang.

Memiliki pakej lengkap; kacak, bergaya, kaya dan berjaya pastinya Aeril tidak dapat lari daripada ‘dihimpit’ oleh wanita di luar sana.

Tatkala persoalan ‘panas’ berkenaan isu penyondol diajukan, ini jawapan yang diberikan tuan punya badan:"Alhamdulillah saya belum ke arah itu. Tuhan masih jaga niat dan pandangan saya. Jadi, setakat ini belum lagi (disondol).

"Saya sendiri selalu fikirkan tentang anak yang masih kecil dan kami berdua ada banyak benda atau projek yang mahu diusahakan bersama.

"Saya tidak mahu segala yang dirancang tak menjadi disebabkan hadirnya insan ketiga yang boleh porak perandakan hubungan suami isteri dan keluarga harmoni kami. Pada masa sama, saya tak mahu anak menyaksikan pergaduhan antara saya dan Wawa dan kalau kami berpisah, nanti anak-anak akan alami kesukaran nak kena pilih duduk dengan mak atau ayah.

"Waktu itu, kehidupan sudah tak sama. Jadi, lebih baik saya hanya fokus pada Wawa dan matlamat kami bersama daripada terbabit dengan isu sedemikian,” ulas Aeril dengan panjang lebar.

'Projek tambah anak'

Diusik tentang 'projek tambah anak' dalam keluarga kecil mereka, ibu bapa kepada empat cahaya mata iaitu Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 8; Ahmad Fakhruddin Attar, 10; Ayya Soffya, 4, dan Muhammad Fahri, 3 mengakui belum terfikir ke arah itu buat masa sekarang.

"Saya memang nak anak ramai tapi buat masa sekarang fokus kami lebih kepada menjadikan jenama produk pilihan nombor satu rakyat Malaysia. Untuk itu, kami kena kerja keras lagi dan bertungkus lumus memastikan impian tersebut terlaksana.

"Untuk itu, kami bakal mengeluarkan produk terbaharu WAWA Sunkids! Sunscreen untuk kanak-kanak. Bukan itu sahaja, saya dan Aeril juga sibuk dengan projek lain seperti membangunkan resort dan juga rumah baharu,” kongsi Wawa.

Pemilik nama sebenar, Nur Hawa Zainal Abidin dalam masa sama turut mengimbau penghijrahan daripada daripada industri seni kepada dunia bisnes.

"Dulu selalu tak cukup duit dan gaji pun tak tetap macam orang lain. Itulah cabaran yang perlu dilalui oleh selebriti. Jadi, saya rasa kena ada alternatif lain. Lagi pun, saya tak mahu asyik meminta duit suami sahaja.

"Walaupun waktu itu sama-sama tak ada pengalaman dan ilmu berniaga kosong, tapi kami tetap mencuba. Awal-awal berniaga semua benda kami buat sendiri termasuk kerja-kerja pembungkusan barang, pos barang dan sebagainya termasuklah membalas mesej pelanggan.

"Mungkin waktu itu, mereka (pelanggan) tak tahu yang balas mesej itu sebenarnya Aeril,” jelas Wawa sambil melafazkan kesyukuran kerana jenama mereka dikenali ramai kini dan berusaha memastikan setiap produk yang dihasilkan memberi manfaat pada orang lain.