SUKAR untuk digambarkan dengan kata-kata, betapa luluhnya hati Fallarystia Sintom tatkala puteri bongsu kesayangan disahkan menghidap kanser ovari tahap tiga.
Apatah lagi, Daneen Auni Riksi yang berusia setahun lapan bulan itu masih belum mengerti apa-apa, namun sudah diduga dengan ujian penyakit yang cukup berat.
Kepada SinarPlus, Fallarystia memberitahu, berita memeranjatkan itu hanya diketahui selepas si manja yang disapa Auni berkenaan kerap mengalami masalah kembung perut dan sembelit.
Mahu dijadikan cerita, anak bongsu daripada dua beradik tersebut mengadu sakit perut sejak Ogos lalu dan pernah diperiksa di klinik berhampiran. Namun jawapan menghampakan.
"Makin lama dia kerap merengek dan selalu minta dukung. Tak mahu berjalan macam dia aktif dulu sehingga membuatkan saya terpaksa merujuk ke hospital,” katanya yang menetap di Kampung Mangin, Kota Marudu, Sabah.
Pada mulanya, ‘sakit’ yang dialami Auni masih belum dapat dikenal pasti, sehinggalah satu hari bacaan level oksigen dan tekanan darah si kecil itu turun mendadak.
Lagi membuatkan jiwa si ibu tak keruan apabila kanak-kanak perempuan itu lemah longlai sebelum dikatakan pengsan selepas terjatuh ketika berada di dalam wad berkenaan.
Dari Hospital Kota Merudu, si kecil tersebut dikejarkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) yang juga dikenali Hospital Likas untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil beberapa ujian dilakukan pakar, barulah penyakit Auni diketahui. Namun berita mencemaskan berkenaan pada awalnya terlalu sukar untuk diterima ibu dua anak tersebut.
"Apatah lagi, ukuran ketumbuhan sudah mencecah lebih 13.5 sentimeter sehingga Auni terpaksa menjalani satu pembedahan kadar segera termasuk membuang organ ovari kanan,” ujarnya dengan nada sebak.
Sebaik sahaja pembedahan selesai dan sampel ketumbuhan dibawa ke makmal untuk ujian lanjut, akhirnya pakar mengesahkan Auni menghidap kanser ovari tahap tiga.
lagu Moments divine age (soundstripe)
Akur dengan penerangan doktor, Fallarystia bersetuju dengan satu-satunya rawatan iaitu kemoterapi demi memastikan sel-sel kanser dalam badan Auni dapat dimusnahkan.
"Meski sedih rambut Auni sudah gugur dan banyak meragam, namun saya kena kuat untuk lihat dia cepat sembuh seperti dulu,” katanya yang kini menumpang di rumah mertua di Pekan Goshen, Kota Marudu bagi memudahkan urusan berulang-alik ke dua hospital.
Rawatan
Selain menjalani rawatan kemoterapi untuk enam kitaran di Hospital Likas, si kecil yang kuat semangat itu juga perlu menjalani rutin ujian darah setiap tiga hari di Hospital Kota Marudu.
Cerita suri rumah sepenuh masa tersebut, anaknya perlu menjalani ujian darah yang kerap bagi membolehkan kondisi Auni betul-betul kuat untuk rawatan kemoterapi seterusnya.
"Sebab itu, saya terpaksa menumpang rumah mertua buat sementara waktu sebab dekat dengan hospital. Kalau Auni demam atau tak sihat, kena bawa terus ke unit kecemasan,” ujarnya.
Berulang-alik ke dua hospital berbeza dengan hanya bergantung dengan pendapatan suami sebagai anggota bomba bantuan membuatkan hati Fallarystia sering gundah-gulana.
Bukan mahu meminta-minta, namun suri hati kepada Riksi Tahir, 25, berkenaan turut menjaga seorang lagi anaknya, iaitu Zayyad Rizqi yang berusia empat tahun disahkan autisme.
"Saya juga berterima kasih kepada orang ramai yang membantu meringankan beban kami. Hanya ALLAH saja dapat membalas jasa kalian semua,” tuturnya penuh rendah diri.
Jauh dari sudut hati ibu berusia 25 tahun itu, beliau hanya mengharapkan anaknya dapat sembuh dan bebas daripada sel-sel kanser sepenuhnya, walaupun disahkan tahap tiga.
"Tipulah kalau saya tak menangis mengenangkan nasib anak-anak tapi kena kuat dan terus berjuang sebab mereka perlukan saya. Mohon doakan Auni cepat sembuh dan aktif seperti dulu,” ungkapnya penuh berharap.
Kepada orang ramai yang ingin membantu menceriakan adik Auni sekeluarga, dana sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1299541100001114 atas nama Fallarystia Sintom.